Sunday 3 March 2013

Majlis Perpisahan Persaraan DRS. AB. AZIZ BIN HAJI OMAR ( Bekas GC Sastera DG54 ) SMKSI 1, Pasir Mas, Kelantan

Majlis perpisahan persaraan saya ( Drs. Ab. Aziz Bin Haji Omar ),  secara rasminya telah dibuat oleh pihak SMK SI 1 pada 28 Februari, 2013. Majlis agak terlambat satu bulan dari tarikh bersara sebenar ( 1 Februari, 2013 ) disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan oleh pihak sekolah. Pertama kerana surat rasmi persaraan terlambat sampai ke sekolah/kepada saya, iaitu sehari sebelum tarikh  bersara sebenar. Sebab kedua kerana sekolah bercuti  selama 9 hari sempena  menyambut perayaan Tahun Baru Cina 2013. Jadi pihak sekolah menghadapi kekangan masa untuk membuat perpsiapan ke arah itu. Walau bagaimana pun majlis perpisahan persaraan saya telah selesai dibuat oleh pihak sekolah  dengan jayanya. Aturcara majlis bermula pada jam 12.00 tengah hari ( Selepas Tuan Pengetua  menyampaikan ucapan penutup dan penyampaian hadiah hari merentas desa sekolah 2013 kepada para pelajar ) sehinggalah jam 2.00 petang. Aturcara seterusnya bersambung di rumah kediaman saya dari jam 2.00 petang sehingga ke jam 6.00 petang, iaitu kenduri kesyukuran ( Jamuan nasi ).
        Saya dan keluarga semua mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak sekolah, terutama Tuan Pengetua ( Haji Abd. Halim Bin Che Hassan ), Pengerusi KGKT ( Cikgu Che Man Masan ) beserta AJK KGKT dan semua pihak yang turut terlibat dalam merancang dan menjayakan majlis ini. Sokongan moral dan kerjasama yang diberikan oleh semua guru, staff sokongan dan pelajar SMK SI 1 pada majlis tersebut  sangat dialu-alukan dan dihargai. Tiada kata yang lebih bermakna untuk dilafazkan, melainkan Allah SWT juga yang dapat membalas jasa baik semua pihak. 
          Saya dan keluarga juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua undangan yang sempat hadir ke rumah  bagi memeriahkan lagi suasana majlis kenduri kesyukuran. Saya dan keluarga meminta maaf banyak daripada semua tetamu yang hadir jika di sepanjang majlis kenduri kesyukuran itu terdapat sebarang kekurangan dan cacat cela yang kami tidak sedari. Mohon maaf banyak.
         Aturcara majlis pada hari tersebut ialah ketibaan saya pada jam 11.30 pagi di pekarangan sekolah telah disambut dengan mesra oleh AJK KGKT. Saya terus dibawa ke bilik mesyuarat koperasi sekolah dan kemudian dihidangkan dengan sarapan pagi yang teridiri daripada pelbagai jenis kuih-muih dan roti jala. Bersarapan pagi buat kali terakhir bersama dengan Tuan Pengetua dan para pentadbir SMKSI 1. Selepas bersarapan pagi, saya dibawa menaiki beca berhias yang dikayuh oleh Pengerusi KGKT menuju ke dewan besar SMK SI 1 dengan diiringi pasukan kompang sekolah dan pasukan pelajar pembawa bunga mangga. Di sepanjang jalan yang jaraknya lebih kurang 50 meter pula, berbaris di kiri dan kanan jalan para pengawas sekolah yang beruniform lengkap sambil memberikan penghormatan. 
         Aturcara di dewan dimulakan dengan nyanyian tiga buah lagu rasmi ( Negaraku, Selamat al-Sultan  Kelantan dan lagu sekolah. Kemudian diikuti dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh al-ustaz Roslan Bin Abdullah. Di dalam dewan semua guru dan pelajar duduk ( Guru duduk di kerusi dan pelajar duduk bersila di atas lantai simen ). Aturcara seterusnya Tuan Pengetua yang mewakili pelbagai unit dijemput untuk menyampaikan cendera hati.                                                                       
         Kemudian dimulakan dengan ucapan wakil pelajar, diikuti wakil guru dan Tuan Pengetua. Pengerusi membaca dengan panjang lebar biodata pegawai bersara dan seterusnya ialah ucapan perpisahan oleh pegawai bersara. Terakhir sekali ialah menonton tayangan klip video khas pegawai bersara selama lebih kurang lima belas minit. Selepas selesai menonton tayangan video khas, majlis dianggap selesai dan bersurai.
         Saya bersalaman dengan para guru dan pelajar sambil meminta maaf. Sempat bergambar dengan guru-guru dan para pelajar. Di luar dewan, saya diminta sekali lagi menaiki beca berhias yang dikayuh oleh Pengerusi KGKT untuk dihantar ke kereta BMW Cikgu Sabri Muhammad yang sedang menunggu bersama dengan beberapa orang guru lain.. Sewaktu beca berhias yang dinaiki sedang bergerak untuk meninggalkan dewan, para pelajar memberi penghormatan terakhir kepada saya dengan berbaris panjang di kiri dan kanan jalan yang menuju ke pintu pagar besar sekolah.  Para juru gambar/kamera men ( pelajar ) sibuk mengambil gambar saya bersama beca berhias dari pelbagai sudut karya seni foto.
          Saya bersama-sama dengan rombongan guru pengiring tiba di rumah kediaman pada jam 2.15 petang. Di bawah khemah khas yang didirikan di pekarangan rumah kediaman, saya dapati sudah ada para jemputan yang diundang khas ke majlis kesyukuran perpisahan sedang menikmati makan tengah  hari yang disediakan. Selepas itu mereka beritahu kepada saya ' masakan dan gulainya sangat sedap'. Terima kasih dan alhamdulillah.

Selamat tinggal SMK SI1, guru-guru dan para pelajar yang tercinta.

Ikan keli dalam perigi,
Lain kali jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment