Thursday, 7 June 2012

Persediaan Pengurusan Guru Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu Sebelum Masuk Kelas


KERTAS PANDANGAN


  1. Tajuk

          Persediaan Pengurusan Guru Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu 
          Sebelum Masuk Kelas

  1. Latar Belakang

2.1.  Guru berperanan sebagai pengajar, pendidik, penasihat, penunjuk cara, penyelesai masalah, mentor, pembimbing, motivator, penilai, rakan, ayah dan ibu di sekolah atau di kelas.
2.2. Pelajar/murid merupakan sasaran, pelanggan atau pesakit yang perlukan suntikan ( ilmu/pengetahuan, semangat, bimbingan, nasihat, petunjuk, teguran, larangan dan sebagainya ).
2.3.    Kelas merupakan lokasi atau gelanggang pertemuan, perbicaraan, perbincangan dan interaksi di antara murid dengan guru.
2.4.  Pertemuan di antara guru dengan murid di kelas yang dikawal oleh jadual waktu atau masa untuk menyampaikan suntikan ilmu atau bahan ilmiah secara terancang dianggap sebagai pendidikan formal ( Pendidikan formal dikawal oleh pelbagai elemen )
2.5.   Produk atau 'out put' daripada hasilan pendidikan formal ialah berlakunya perubahan ke atas diri pelajar sama ada  berupa fakta yang dapat dilihat atau pun sebaliknya.
2.6.  Terdapat tiga tahap/peringkat dalam proses pengajaran dan pembelajaran formal, iaitu peringkat sebelum masuk kelas, semasa dalam kelas dan selepas tamat kelas )

  1. Takrifan
Persediaan Pengurusan Guru Sebelum Masuk Kelas bermaksud guru seharus dan semestinya  terlebih dahulu mempunyai persediaan yang mantap dalam segala aspek sebelum menjejak kaki ke kelas untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran  bersama dengan pelajar.



  1. Rasional

4.1.     Beban tugas guru di sekolah yang semakin bertambah dan mencabar.
4.2.     Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ).
4.3.     Kumpulan pelajar yang ditawarkan mata pelajaran ini terdiri daripada pelajar lemah atau kumpulan kelas ketiga.
4.4.     Bilangan pelajar atau peratusan yang mendapat keputusan kecermalangan A+, A dan A- di peringkat peperiksaan SPM di sebahagian besar sekolah amat kecil.
4.5.     Masih terdapat sekolah yang pencapaiannya di bawah par/SPR ( sekolah pencapaian rendah ). Peratusan umum di bawah 50% di peringkat peperiksaan SPM.
4.6.     Banyak aspek dan maklumat yang perlu didokumentasikan.
4.7.      Kurikulm KM Semakan Semula 2002, penambahbaikan Sukatan Pelajaran, aras teks yang tinggi, kesukaran format soalan baru dan skema jawapan peperiksaan yang tidak konsisten mempengaruhi pencapaian keputusan peperiksaan pelajar.
4.8.     Tanggapan luar yang menganggap kelemahan pelajar berpunca daripada guru yang tidak berkualiti dan bersedia.
4.9.     Profesion guru ialah gelanggang akademik dan professional.

  1. Objektif

5.1.     Guru sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.
5.2.     Proses pengajaran dan pembelajaran di kelas akan berjalan dengan lancar dan berkesan.
5.3.     Menyakinkan pihak pentadbir sekolah.
5.4.     Memenuhi kehendak sekolah, PPD, JPN dan KPM.
5.5.     Memudahkan semua pihak yang memerlukan maklumat segera.
5.6.     Dapat menambah dan menarik minat pelajar.
5.7.     Menjadi  ‘rolle of model’ kepada guru-guru lain.
5.8.     Memberi keyakinan kepada diri  sendiri.
5.9.     Menepati kehendak Kurikulum dan Sukatan Pelajaran Semakan Semula 2002.
5.10. Menepati ciri-ciri profesionalisme keguruan. 

  1. Matlamat

Matlamat yang hendak dicapai melalui tahap persediaan pengurusan guru sebelum masuk kelas ialah supaya proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di kelas dapat menghasilkan produk yang  cemerlang baik dari segi sasiah pelajar mahu pun pencapaian dalam semua jenis peperiksaan.

  1. Aspek-Aspek Persediaan Pengurusan Guru

7.1.     Ilmu/Pengetahuan Sastera

·         Teori/asas sastera ( definisi, jenis, bentuk, ciri-ciri dan peranan )
·         Sejarah perkembangan ( sastera tradisional dan sastera moden )
·         Genre/Teks/Cerita semasa yang digunakan
·         Istilah sastera
·         Konsep istilah sastera 
·         Kandungan Kurikulum Semakan Semula 2002
·         Kandungan Sukatan Pelajaran 2002
·         Huraian Sukatan Pelajaran 2002 

7.2.     Dokumen Wajib

·         Buku Persediaan Mengajar Guru
·         Sukatan Pelajaran
·         Huraian Sukatan Pelajaran
·         Rancangan Pelajaran Tahunan 
·         Rancangan Pelajaran Harian 
·         Jadual Waktu Pengajaran Persendirian/Kelas
-    Perancangan/Program Tahunan Mata Pelajaran/Panitia 

7.3.     Personaliti/Peribadi Guru

·         Fizikal  ( sihat, cergas, kemas )
·         Mental ( bersih, tenang, tiada gangguan )
·         Sikap ( yakin diri, bersungguh, bertanggungjawab, berwawasan, intergiri dan bersemangat )
·         Disiplin ( menepati masa, patuh kepada arahan dan peraturan/pekeliling iktisas )

7.4.     Kemahiran Membina Soalan dan Skema Jawapan Ujian/Peperiksaan

·         Ujian bulanan
·         Peperiksaan pertengahan tahun
-    Peperiksaan akhir tahun/percubaan



Pantun empat kerat berkait menuntut ilmu


Budak-budak kejar-mengejar,
     Layang-layang putus tali.
Kita pelajar kena belajar,
    Masa muda cuma sekali.

Layang-layang putus tali,
    Lalu tersangkut di atas pokok,
Masa muda cuma sekali,
    Jangan tunggu badan bongkok.

Lalu tersangkut di atas pokok,
    Pokok rendang daun menari,
Jangan tunggu badan bongkok,
    Masa muda ilmu dicari.

Pokok rendang daun menari,
     Tempat bersarang burung merpati,
Masa muda ilmu dicari,
    Seusia ini sangat bererti.

Tempat bersarang burung merpati,
     Bertelur sebiji di dahan mati,
Seusia ini sangat bererti,
    Bila dah tua menyesal nanti.

Bertelur sebiji di dahan mati,
     Ditiup angin jatuh ke bumi,
Bila dah tua menyesal nanti,
    Tolong fikir sila renungi.

Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu: Kaitan dengan Penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan di Bilik Darjah Dapat Melahirkan Modal Insan yang Berkemahiran


Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu sebenarnya telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara sejak zaman penjajahan British lagi berdasarkan Laporan Barnes tahun 1951. Pada peringkat awal, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu diajarkan di sekolah-sekolah bertujuan untuk memantapkan pendidikan Bahasa Melayu di samping memberi kesedaran kepada rakyat untuk mengenali diri dan budaya mereka di Tanah Melayu pada waktu itu. Dalam Laporan Razak 1956, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diasingkan daripada mata pelajaran Bahasa Melayu. Pada tahun 1957 mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sebagai mata pelajaran pilihan dalam peperiksaan FMC ( Federation of Malay Certificate ) yang setaraf dengan peperiksaan SPM  ( Sijil Pelajaran Malaysia ) sekarang. Pada tahun 1984, iaitu tahun bermulanya  KBSM, mata pelajaran ini telah dijadikan mata pelajaran elektif di peringkat sekolah menengah tingkatan empat dan lima ( SPM ) sehinggalah sekarang.
            Kesusasteraan Melayu merupakan mata pelajaran yang diajar di peringkat tingkatan empat dan lima sekolah-sekolah menengah seluruh negara. Bagi memantapkan lagi kandungan dan pengisiannya, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah mengalami beberapa kali semakan dan perubahan sukatan pelajaran. Semakan semula dan perubahan sukatan pelajaran telah dilakukan pada tahun 1984, 1991 dan terakhir pada tahun 2002 yang pelaksanaannya pada tahun 2003.Penyemakan terhadap sukatan pelajaran ini dilakukan bagi memenuhi tuntutan perubahan dalam dunia pendidikan selaras dengan era globalisasi dan perubahan zaman.
            Dari segi falsafahnya, pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia bertujuan untuk menjana minda dan emosi. Mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa, dan memupuk sikap berdaya saing ke arah pembinaan insan bestari ( KBSM, Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu, PPK, KPM, 2002 ). Dan dari segi takrifnya, Kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan ialah karya asal yang tertulis dalam bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada dalam bentuk novel, cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional bagi mengimbangi perkembangan intelek, rohani, emosi, dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan, dan citra masyarakat selaras dengan intipati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kedudukan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat menengah atas ( tingkatan 4 dan 5 ) peperiksaan SPM adalah sebagai mata pelajaran elektif kumpulan 1: kemanusiaan ( SPI, Bil.6/1991 ). Peruntukan masa untuk mata pelajaran ini ialah tiga kali dalam seminggu ( SPI, Bil.17/1988, SPI Bil. 8/1990 ). Kurikulum dan sukatan pelajaran terakhir yang diguna pakai sehingga sekarang ialah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu ) Semakan Semula  2002  yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 di tingkatan empat.
Dalam KBSM 1988 ( PPK, KPM ) aspek ilmu, kemahiran dan nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran  hendaklah disampaikan secara gabungjalin, tidak diajar secara terpisah, supaya wujud keseimbangan dalam diri pelajar atau modal insan yang hendak dilahirkan. Tetapi di sini, saya cuba menghuraikan secara terpisah supaya aspek yang hendak ditonjolkan  akan nampak lebih jelas. Namun begitu, aspek penggabungjalinan ketiga-tiga unsur iaitu ilmu, kemahiran dan nilai tetap wujud dan berlaku.
Sharifah Alwiah Alsagoff ( 1983 ), mentakrifkan  bilik darjah ialah tempat yang   merumahkan murid buat sementara waktu, iaitu selama lima hingga enam jam dalam satu hari, dan untuk lima hari dalam seminggu. Bilik ini merupakan persekitaran pembelajaran yang paling penting kerana ketika murid berada di sekolah, hampir semua daripada masanya dihabiskan di bilik ini.
Pada saya, bilik darjah ialah tempat khas di sekolah yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk guru mengajar dan murid belajar. Dengan erti kata lain tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran secara formal. Untuk mencapai tahap pengajaran dan pembelajaran berkesan, sesebuah bilik darjah mestilah berada dalam keadaan  ceria dan mempunyai tampalan-tampalan bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang kondusif   dan ceria akan  menimbulkan rangsangan dan  minat belajar yang tinggi di kalangan  pelajar . 
Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 ) mendefinisikan penyampaian ialah perihal menyampaikan sesuatu. Pengajaran ialah perihal segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar seperti cara atau sistem mengajar. Pembelajaran ialah proses ( kegiatan ) belajar. Berkesan ialah menimbulkan hasil yang diharapkan, membawa kepada sesuatu perubahan. Mendatangkan sesuatu pengaruh kepada pemikiran seseorang atau sesuatu golongan seperti mengubah sikap, membangkitkan sesuatu kecenderungan atau perasaan. Menurut Mok Soon Sang ( 2004 ), pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu. Juga ditakrifkan sebagai sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan murid. Beliau mengatakan pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran.
Daripada  definisi dan takrifan di atas, saya berpendapat bahawa penyampaian pengajaran dan pembelajaran berkesan ialah suatu proses pemelajaran di bilik darjah yang menyeronokkan, menimbulkan rangsangan dan menarik minat para pelajar. Suatu proses pemelajaran yang berakhir dengan kepuasan dan meninggalkan kesan perubahan minda, kemahiran dan tingkah laku  positif kepada pelajar.
Untuk mencapai taraf pengajaran dan pembelajaran berkesan di kelas, ia harus bermula dengan guru. Guru perlu mempunyai persediaan yang rapi selain daripada mempastikan bilik darjah senantiasa dalam keadaan ceria. Sikap guru yang berpakaian kemas ( SPI Bil.13, 1969: SPI Bil. 6, 1985 ), berdisiplin, yakin diri, adil, bersungguh-sungguh merupakan asas utama ke arah pengajaran dan pembelajaran berkesan di kelas. Guru harus menguasai  mata pelajaran yang akan diajar kepada pelajar. Menguasai kurikulum, sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran terkini. Menguasai pedagogi (  pendekatan, kaedah, teknik, aktiviti, aplikasi kemahiran bernilai tambah, sistem penilaian, aspek pengisian kurikulum dan sebagainya ). Guru mesti mampu merancang dan menyediakan rancangan pengajaran tahunan dan rancangan pengajaran harian yang memenuhi spesifikasi KBSM sesuai dengan tajuk, aspek, objektif, HPU, HPK dan HHP yang hendak dicapai. Di samping itu, guru juga harus memiliki dokumen-dokumen rasmi pengajaran dan pembelajaran seperti sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran terkini dan buku rekod mengajar guru. Guru seharusnya boleh mencipta teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran baru atau paling kurang mengadaptasikan daripada teknik-teknik yang sedia ada. Dan untuk lebih memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran berkesan di bilik darjah, guru seharusnya mampu membina sendiri  alat bantu mengajar  sama ada dalam bentuk dokumen bertulis, audio visual seperti pita rakaman, cakra padat CD atau DVD.
Sebagai kesimpulan, dalam rangka untuk menzahirkan pengajaran dan pembelajaran berkesan di bilik darjah, guru tidak boleh mengabaikan beberapa strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah ditetapkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, KPM ( 2002 ), yakni pendekatan berpusatkan murid, kepelbagaian pendekatan, kaedah dan teknik, kepelbagaian sumber dan pembacaan luas.     
Modal insan ialah warga negara atau rakyat,  dan dalam konteks pendidikan ialah pelajar. Dalam Wawasan 2020,  ditegaskan bahawa dalam usaha kita untuk maju, tidak ada yang lebih penting daripada pembangunan sumber manusia ( Dr. Mahathir Bin Mohamad,  Perdana Menteri Malaysia, 1991 ). Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Ke-9 telah menetapkan “ Pembangunan modal insan berminda kelas pertama “ sebagai salah satu daripada lima teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020 ( Datuk Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, PIPP, 2006-2010 ).                   Berhubung dengan modal insan di atas, YB. Menteri Pelajaran Malaysia telah menggariskan ciri-ciri modal insan yang hendak dilahirkan oleh Kementerian Pelajaran melalui PIPP 2006-2010, antara lain ialah modal insan yang   seimbang dari aspek jasmani, intelek, rohani, emosi, kepercayaan kepada Tuhan, berilmu, berkemahiran, berakhlak mulia, berpegang kepada nilai-nilai murni, berkeyakinan tinggi, berketrampilan dan mengamalkan gaya hidup sihat ( Perutusan Tahun Baru 2008, Menteri Pelajaran Malaysia ).
Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 ), mendefiniskan berkemahiran ialah mempunyai kemahiran, terlatih untuk mengerjakan sesuatu, mempunyai kecekapan, kelancaran dan kepandaian. Jadi modal insan yang berkemahiran ialah sumber tenaga, rakyat, warga negara atau tenaga kerja yang mempunyai kemahiran, kecekapan, kepandaian serta  mampu melakukan, dan dapat  menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik. Konsep berkemahiran ini ada ditegaskan dalam Dasar Wawasan 2020 untuk Malaysia mencapai status negara maju, bahawa kita tidak  boleh tidak  perlu berhasrat untuk mencapai taraf paling tinggi dari segi kemahiran rakyat kita ( Dr. Mahathir Bin Mohamad, Wawasan 2020, 1991 ). Ke arah untuk membangun modal insan yang berkemahiran, PIPP 2006-2010 telah menegaskan bahawa bagi meningkatkan kualiti murid dari segi bina upaya insan ( human capacity building ) perlu adanya sistem pentaksiran peringkat sekolah. Sistem pentaksiran holistik ini memberi tumpuan kepada pemupukan nilai-nilai yang menyeluruh seperti nilai kreatif, inovatif, kritis, berdisiplin dan berakhlak mulia di kalangan pelajar ( Kad Laporan Kedua PIPP 2006-2010, KPM ).
Melalui mata pelajaran Kesusasteraan Melayu,  banyak aspek kemahiran yang boleh  dibina  untuk pembangunan pelajar atau modal insan. Di antaranya ialah kemahiran membaca, bercakap, berdialog, mendengar, menghayati, mendeklamasi sajak, melagukan syair, berpantun, berlakon, mencipta puisi ( sajak, pantun, syair dan seloka ), menghasilkan skrip drama, membuat projek sastera dan sebagainya. Daripada pengalaman saya mengajar di bilik darjah, kesemua kemahiran di atas boleh dibina di kalangan pelajar, iaitu melalui penyampaian pengajaran dan pembelajaran berkesan.

Salah satu daripada kemahiran yang perlu diajar kepada pelajar tingkatan empat dan lima seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, KBSM ( Sukatan Semakan Semula 2002 ) ialah menghasilkan dan mempersembahkan puisi ( KBSM, PPK, KPM ). Aspek menghasilkan dan mempersembahkan puisi ( sajak, pantun, syair, gurindam dan seloka ) merupakan perkara asas yang perlu diajar kepada pelajar. Untuk mengaplikasi dan merealisasikan aspek kemahiran membina dan mempersembahkan puisi,  memerlukan kepakaran guru ( pengajaran dan pembelajaran berkesan). Misalnya selepas tajuk dan objektif  p & p  telah ditetapkan, iaitu pelajar boleh membina dan mempersembahkan sajak dengan baik. Proses p & p seterusnya ialah aktiviti guru dan pelajar mencipta dan mempersembahkan sajak. Tema sajak yang hendak dibina dan dipersembahkan ialah ‘ Kebesaran Tuhan’. Aspek pedagogi yang digunakan ialah pendekatan berfokus, kaedah mendengar pita rakaman, soal jawab, teknik penerangan, latihan, menggunakan lembaran kerja, aplikasi kecerdasan pelbagai, aktiviti melengkapkan lembaran peta grafik, mencipta dan mendeklamasikan sajak. Penilaian dibuat secara formatif ( lisan, pemerhatian dan penulisan ). Kerja pengukuhan ialah menjelaskan tema dan persoalan-persoalan sajak yang dibina.
Set induksi dimulakan dengan guru menyoal pelajar tajuk dan jumlah rangkap sajak yang dipelajari pada pelajaran lepas. Perkembangan pengajaran dan pembelajaran diteruskan dengan guru memperdengarkan pita rakaman deklamasi sajak berjudul ‘ Ibadat ‘ karya Sabar Bohari ( 1995 ) yang dideklamasikan oleh R. Azmi ( guru dari SMK. Machang ). Beberapa soalan seperti jumlah rangkap dan unsur agama yang terdapat dalam sajak tersebut dikemukakan kepada pelajar.  Seterusnya guru mengedarkan kepada setiap pelajar LPG ( carta pai ) yang tercatat tema  dan kunci kata untuk pembinaan setiap rangkap sajak.
                                  
Berdasarkan kunci kata yang diberikan, pelajar diminta membina baris- baris ayat  dengan bahasa yang puitis dalam masa tiga puluh minit. Selepas setiap petak siap dibina dengan bimbingan guru,  dan sajak siap dicipta, satu dua orang pelajar diminta mendeklamasikannya di depan kelas. Guru menegur aspek kelemahan deklamasi pelajar seperti gaya, nada, suara dan penghayatan jika perlu.      
Kesimpulannya, potensi dan kemahiran pelajar  boleh dipupuk dengan bimbingan  guru di kelas secara berkesan dan bijaksana. Apabila pelajar sudah terbiasa dengan teori dan konsep kemahiran mencipta sesuatu, maka dengan mudah projek-projek tugasan lain di luar bilik darjah yang disuruh guru, pelajar boleh laksanakan dengan baik. Misalnya tugasan projek folio sastera yang mempunyai  lima puluh  tajuk yang diberikan,  telah dapat diselesaikan oleh pelajar dengan sempurna. Kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang seperti  dihuraikan inilah yang hendak dibina dan dicapai dalam PIPP 2006-2010, iaitu modal insan sebagai penyumbang dan bukan lagi sekadar pengguna.



Disediakan oleh,


DRS. AB. AZIZ HAJI OMAR,
Guru Cemerlang Sastera,
SMK. Sultan Ibrahim Satu,
17000 Pasir Mas, Kelantan.

Wednesday, 6 June 2012

Latar/gambaran/keadaan/suasana/imej/citra masyarakat dalam Hikayat Seri Kelantan ( Teks Seuntai Kasih Secebis Harapan )

  1. Masyarakat Melayu Kelantan beragama Islam, contoh: Tuan Puteri Sa'dung/Encik Siti/Sultan Abdullah/Sultan Ibrahim beragama Islam.
  2. Masyarakat Melayu Kelantan zaman dahulu/lampau/silam/sebelum merdeka, contoh: Zaman pemerintahan Encik Siti/Puteri Sa'dung/Sultan Abdullah/Sultan Ibrahim/keturunan Raja Jembal.
  3. Masyarakat istana/pemerintahan beraja/feudal, contoh: Encik Siti/Puteri Sa'dung/Sultan Abdullah/Sultan Ibrahim adalah sultan/pemerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan.
  4. Masyarakat yang penyayang, contoh: Sultan Abdullah sayang kepada isterinya Tuan Puteri Sa'dung, buktinya pada peringkat awal dia/baginda enggan menyerahkan Tuan Puteri Sa'dung kepada orang-orang Siam.
  5. Masyarakat yang suka menceroboh dan merampas hak orang lain, contoh: orang-orang Siam menceroboh negeri Kelantan dan merampas/membawa lari Tuan Puteri Sa'dung/isteri Sultan Abdullah ke benua Siam.
  6. Mayarakat yang berani mempertahankan hak/tanah air, contoh: Sultan Abdullah/Tuan Puteri Sa'dung bersama dengan rakyat negeri Kelantan berani berperang dengan orang-orang Siam yang menyerang negeri Kelantan untuk merampas Tuan Puteri Sa'dung.
  7. Masyarakat yang zalim/tidak berperikemanusiaan, contoh: Sultan Abdullah membunuh/memancung isterinya Tuan Puteri Sa'dung/Raja Tuan Long Pandak, Kubang Labu telah membunuh/menikam isterinya dengan zalim.
  8. Masyarakat yang mungkir/tidak menepati janji/tidak jujur, contoh: Sultan Abdullah mungkir janji dengan Tuan Puteri Sa'dung kerana telah berkahwin muda/lain sepanjang Tuan Puteri Sa'dung dibawa ke benua Siam.
  9. Masyarakat yang masih mengamalkan peranan/percaya kepada telahan ahli nujum, contoh: Raja Nang Cayang/negeri Pattani percaya kepada ahli nujum yang mengatakan penyakitnya berpunca daripada memelihara Long Yunus di istananya.
  10. Masyarakat pemerintah/raja yang memerintah dengan adil terhadap rakyat dan negeri, contoh: Encik Siti telah memerintah rakyat dan negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan dengan adil.
  11. Masyarakat yang taat/patuh/setia/akur kepada suami, contoh: Tuan Puteri Sa'dung setia/taat/akur kepada suaminya Sultan Abdullah yang menyuruhnya pergi ikut orang-orang Siam ke benua Siam.
  12. Masyarakat yang mengamalkan kuasa sakti/luar biasa, contoh: Inang busu dan inang tua telah menghidupkan semula Tuan Puteri Sa'dung yang mati dibunuh oleh Sultan Abdullah dengan menyapukan air mawar di mata luka dan di seluruh tubuh Tuan Puteri Sa'dung.
  13. Masyarakat yang berpoligami, contoh: Sultan Abdullah beristeri muda selepas Tuan Puteri Sa'dung isteri pertamannya dibawa lari oleh orang-orang Siam ke benua Siam.
  14. Masyarakat yang kuat beriman/teguh pegangan agama Islam, contoh: Tuan Puteri Sa'dung menolak permintaan Raja Siam ( kafir ) yang hendak menjadikannya sebagai isteri dan menyetubuhinya dengan menyemburkan serampah pinang ke dada Raja Siam.
  15. Masyarakat pemerintah/raja/sultan yang zalim, contoh: Sultan Ibrahim memerintah rakyat dan negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan dengan zalim.
  16. Masyarakat yang suka membalas dendam/bertindak balas, contoh: Tuan Puteri Sa'dung yang dihidupkan semula telah membalas dendam dengan membunuh Sultan Abdullah yang membunuhnya/Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh, Lenggeh telah membunuh Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu yang terlebih dahulu telah membunuh adindanya.
  17. Masyarakat yang bermuafakat/bekerjasama antara satu sama lain, contoh: Sultan Abdullah telah bermuafakat dengan rakyat negerinya membina Kota Jelasin sebagai pusat pentadbiran baginda di negeri Kelantan.
  18. Masyarakat yang suka bertindak secara terburu-buru tanpa menyiasat terlebih dahulu, contoh: Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu telah menikam/membunuh isterinya tanpa menyiasat terlebih dahulu kain cukin yang dipinjam oleh isterinya daripada Long Jaafar.
  19. Masyarakat yang bertindak mengikut perasaan/emosi/membunuh diri, contoh: Tuan Puteri Kembang Bunga telah bertindak membunuh diri di dalam wangkang di Kuala Nama kerana runsing/risau ramai orang muda di negeri Pattani yang tergila-gila/meminatinya.
  20. Masyarakat ibu bapa yang tidak bertanggungjawab terhadap anak isteri, contoh: Long Sulaiman tidak bertanggungjawab terhadap anak isteri kerana telah melarikan dari dari negeri Pattani dengan meninggalkan anaknya Long Yunus kepada orang besar Pattani ( Datuk Long Yunus ). Long Sulaiman lari kerana sedih atas kematian kakandanya ( Tuan Puteri Kembang Bunga ) yang membunuh diri di dalam wangkang di Kuala Nama.
  21. Masyarakat yang suka tolong-menolong/bantu-membantu, contoh: Long Yunus telah menolong Long Jaafar menemukan dengan Raja Tuan Long Pandak di Kota Kubang Labu.
  22. Masyarakat yang suka berhibur/leka/cuai dengan permainan, contoh: Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu leka/asyik bermain catur dan tidak menghiraukan serangan daripada Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh, Lenggeh sehingga baginda terbunuh.
  23. Masyarakat yang bersimpati/belas kasihan kepada orang yang susah, contoh: Long Yunus merasa belas kasihan/bersimpati kepada Long Jaafar yang dihalau keluar oleh ayahandanya dari negeri Reman.
  24. Dan isi-isi lain yang sesuai........ sila rujuk teks/cerita/hikayat asal. 

Tuesday, 5 June 2012

Pengajaran/mesej/amanat/perutusan dalam Hikayat Seri Kelantan ( Teks Seuntai Kasih Secebis Harapan )

  1. Sebagai pemimpin/raja/sultan/pemerintah/pembesar/kerajaan hendaklah memerintah rakyat/negeri dengan adil, contoh: Encik Siti telah memerintah rakyat dan negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan dengan adil.
  2. Sebagai pemimpin/raja/sultan/pemerintah/pembesar/kerajaan janganlah bertindak/memerintah rakyat/negeri dengan kejam/zalim, contoh: Sultan Ibrahim telah memerintah rakyat dan negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan dengan zalim.
  3. Janganlah menceroboh dan merampas hak orang lain tanpa berperikemanusiaan, contoh: Raja/rakyat Siam telah menceroboh/menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan dan merampas/membawa lari Tuan Puteri Sa'dung ke benua Siam.
  4. Janganlah memaksa seseorang melakukan sesuatu tindakan terkutuk di sisi agama tanpa kerelaanya, contoh: Raja Siam memaksa Tuan Puteri Sa'dung berkahwin/menjadi isterinya dan cuba untuk menyetubuhinya/memperkosanya.
  5. Janganlah bertindak secara terburu-buru/hendaklah menyiasat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap sesuatu, contoh: Raja Tuan Long Pandak di Kota Kubang Labu telah bertindak menikam/membunuh isterinya disebabkan sehelai kain cukin kepunyaan Long Jaafar yang dipinjamnya.
  6. Janganlah kita bertindak membunuh diri disebabkan oleh sesuatu/tekanan perasaan, contoh: Tuan Puteri Kembang Bunga telah membunuh diri di dalam wangkang di Kuala Nama kerana runsing/risau ramai orang muda di negeri Pattani yang tergila-gila/meminatinya.
  7. Janganlah kita membalas dendam kerana marah kepada seseorang, contoh: Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh, Lenggeh, telah menyerang dan membunuh Raja Tuan Long Pandak, Kubang Labu kerana marah/dendam yang menyebabkan kematian adindanya.
  8. Kita hendaklah menepati janji/jangan mungkir janji kepada seseorang, contoh: Sultan Abdullah mungkir janji dengan Tuan Puteri Sa'dung kerana berkahwin muda/lain sepanjang Tuan Puteri Sa'dung dibawa lari ke benua Siam.
  9. Kita hendaklah bermuafakat/bekerja sama dalam melakukan sesuatu perkara, contoh: Rakyat di negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan telah bermuafat/bekerja sama membina Kota Jelasin sebagai pusat pemerintahan/pentadbiran Sultan Abdullah.
  10. Kita janganlah mempercayai kepada perkara-perkara khurafat/sakti/ahli nujum, contoh: Raja Nang Cayang dari negeri Pattani percaya kepada telahan ahli nujum yang mengatakan baginda jatuh sakit kerana memelihara Long Yunus di istananya.
  11. Kita hendaklah bersimpati/belas kasihan kepada orang yang dalam kesusahan, contoh: Long Yunus bersimpati kepada Long Jaafar yang dihalau keluar oleh ayahandanya dari negeri Reman.
  12. Kita/ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap anak-anak, contoh: Long Sulaiman ( bapa Long Yunus ) tidak bertanggungjawab kerana telah menghilangkan diri dari negeri Pattani dengan meninggalkan anaknya Long Yunus kepada orang besar negeri Pattani ( Datuk Long Yunus ).
  13. Kita hendaklah berani mempertahankan hak/negeri/tanah air daripada serangan pihak musuh, contoh: Sultan Abdullah/Tuan Puteri Sa'dung bersama dengan rakyat negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan berani menentang/berperang dengan orang-orang Siam yang menyerang negeri tersebut.
  14. Kita hendaklah mempertahankan adat-istiadat warisan Melayu, contoh: Tuan Puteri Sa'dung telah memerintahkan rakyat mengebumikan mayat/jenazah Sultan Abdullah secara adat-istiadat raja-raja di kubur Padang Tasik Layang.
  15. Kita/sebagai isteri hendaklah patuh/taat/setia/akur kepada suami, contoh: Tuan Puteri Sa'dung patuh/taat/setia kepada suaminya Sultan Abdullah yang menyuruhnya pergi ikut orang-orang Siam ke benua Siam.
  16. Kita hendaklah memberi bantuan/pertolongan kepada orang yang memerlukannya, contoh: Inang tua dan inang busu telah menolong menghidupkan semula Tuan Puteri Sa'dung yang mati dibunuh oleh Sultan Abdullah atau Long Yunus telah membantu Long Jaafar menemukan dengan Raja Tuan Long Pandak di istana Kota Kubang Labu.
  17. Kita janganlah suka berfoya-foya/leka/membuang masa dengan permainan/hiburan yang boleh merugikan diri sendiri, contoh: Raja Tuan Long Pandak, Kota Kubang Labu yang leka/asyik bermain catur semasa diserang oleh Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh, Lenggeh sehingga baginda terbunuh.
  18. Dan isi-isi lain yang sesuai ........................sila rujuk teks/cerita/hikayat asal.