Thursday 20 June 2013

Bekas Guru Cemerlang Sastera ( DG54 ) jadi penternak biri-biri

Selepas bersara pilihan 57 dari jawatan guru di Kementerian Pelajaran Malaysia pada awal Februari, 2013 ( 28 tahun berkhidmat ), saya telah cuba mencebur diri dalam satu bidang profesion yang baru, iaitu dengan membuka ladang ternakan biri-biri. Dan sekarang jadilah saya sebagai penternak biri-biri.
     Projek ini telah mendapat dokongan dan sokongan yang kuat daripada keluarga terutama sokongan moral, tenaga dan kewangan daripada anak sulung dan isteri. Projek ini telah bermula pada awal Januari, 2013 di atas tapak tanah pertanian seluas 1.2 ekar  milik isteri pemberian orang tuanya. Projek ini melibatkan modal sebanyak RM60 ribu lebih yang dilaksanakan berdasarkan 4 fasal. Fasal pertama bermula pada Januari hingga Mac, 2013, iaitu kerja membersihkan tapak dan membina pagar celing di seluruh kawasan dengan kos RM25 ribu.
 Fasal kedua ialah kerja membina bangsal/rumah biri-biri yang bermula pada awal April hingga Mei, 2013 dengan kos RM24 ribu dengan keluasan 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang. Fasal ketiga ialah menyediakan kawasan khas dan menanam rumput dengan kos RM2 ribu. Seribu keping rumput minyak ( rumput makanan rusa ) telah dibeli di Rong Chenok, Alor Pasir, Tanah Merah. Pada masa sekarang, rumput yang ditanam hampir sebulan lebih itu sedang tumbuh dengan segarnya. Fasal keempat ialah membeli secara borong 23 ekor biri-biri ( jantan, betina, kecil dan besar ) dengan kos RM6,200.00 daripada penternak kambing biri-biri di Kubang Telaga, Bachok, Kelantan.
Proses terakhir yang sedang dilaksanakan di tapak ternakan ialah menyediakan pejabat operasi dengan membaik pulih rumah lama yang telah sedia ada dalam kawasan tersebut. Juga akan meratakan kawasan tempat letak kereta bagi kemudahan rakan-rakan pengunjung dan pelanggan. Insya-Allah Ta'ala jika tiada apa-apa halangan dijangka boleh disiapkan sebelum tibanya bulan Ramadan ini.
      Jadual kerja saya bersama dengan isteri ialah akan berada di ladang ternakan pada jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 petang. Dari jam 5.30 hingga 7.00 malam. Masih banyak kerja sampingan yang perlu dilakukan seperti membersihkan pokok kemang yang tumbuh dan mengganggu rumput minyak yang baru ditanam.
        Bidang penternakan biri-biri dan kambing merupakan satu bidang kerjaya baru dalam kehidupan saya dan keluarga. Tanpa sebarang pengalaman dan pengetahuan dalam industeri ini saya cuba memberanikan diri.Justeru itu, tunjuk ajar daripada semua pihak sangatlah diharapkan.
        Tercetus idea untuk membuka ladang ternakan biri-biri ini ialah kerana dorongan yang kuat daripada isteri ( Puan Norhayati Binti Ab. Ghani ) yang sangat berminat dalam bidang perkebunan/perladangan terutama bidang ternakan.
          Proses ke arah merealisasikan ladang ternakan biri-biri ini sebenarnya mengambil masa yang agak panjang juga dengan melalui peringkat-peringkat tertentu. Peringkat pertama ialah peringkat berfikir secara kritis, kreatif, inovatif dan dan imaginatif. Sesuatu perancangan kerja yang hendak dibuat, lebih-lebih lagi projek yang bakal menelan belanja besar semestinya dimulakan dengan tahap ini terlebih dahulu. Peringkat kedua perbincangan dengan keluarga ( anak, isteri dan keluarga ) bagi mendapatkan pandangan dan respon. Seterusnya berbincang dengan kawan-kawan rapat dengan mengemukakan idea yang hendak dilaksanakan. Melawat ladang-ladang ternakan biri-biri dan kambing di kawasan sekitar dan berbincang dengan pemilik ladang tersebut mengenai masalah dalam bidang ternakan biri-biri. Mendapat khidmat nasihat daripada kaki tangan pejabat Haiwan Daerah Pasir Mas dan kaki tangan  Pusat Ternakan Rusa di Rong Chenuk, Alor Pasir, Tanah Merah. Berbincang dengan jiran-jiran di sekitar tapak cadangan projek dan seterusnya membuat kajian melalui sumber internet berkenaan dengan ternakan kambing biri-biri. Daripada sumber kajian, hasilnya semua menjurus ke arah yang positif. Semua pihak memberi sokongan dan galakan yang meransangkan. Dari segi pasaran, semua pihak memaklumkan tiada masalah kerana bilangan manusia yang semakin bertambah sedangkan sumber makanan negeri dan negara  semakin berkurangan.
          Selepas mendapati hasil kajian yang menyakinkan, proses kerja dimulakan dengan kajian tapak untuk lokasi bangsal dan kawasan tanam rumput. Mereka dan membina pelan bangsal dengan keluasan 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang ( 800 kaki persegi ). Seterusnya berbincang dengan tukang/kontraktor untuk membina bangsal tersebut dengan kos upah RM8 ribu siap. Membuat tempahan kayu di Sawmill Jeli, Kelantan dengan kos RM5 lebih. Menempah rumput minyak di pusat ternakan rusa, Rong Chenok, Tanah Merah sebanyak 1000 keping ( semuanya telah ditanam ).
        Setakat ini kemudahan infrastuktur yang ada di ladang ternakan ialah sebuah bangsal rumah kambing, empat petak kawasan tanaman rumput dengan disediakan paip air ke setiap petak dan sebuah rumah lama bersaiz 20 kaki kali 30 kaki persegi yang sedang dalam proses baik pulih untuk pejabat operasi.
         Pada 4 Jun, 2013 ( selepas bercuti selama 4 hari pergi ke Dengkil. Kelang, Seremban dan Kemaman sambil berkunjung ke tempat anak ), seramai 23 ekor biri-biri telah dibeli dan dimasukkan ke ladang tersebut. Biri-biri kampung yang terdiri daripada pelbagai kategori ( ibu, bapak, anak dara dan anak kecil ).
         Pada hari ini ( Jumaat 21 Jun, 2013 ), genap dua minggu biri-biri tersebut berada di bangsal baru dari daerah Bachok ke daerah Pasir Mas. Dalam masa dua minggu ini, saya perhatikan biri-biri tersebut berada dalam keadaan ceria, cergas dan seronok di lokasi baru dengan meragut rerumput segar menghijau yang sedia ada. Telatah biri-biri ini berbagai ragam, tetapi jinak dan manja. Anak-anak yang berusia dua tiga bulan bermain lelumba lari, melompat dan melambung. Selepas penat berlumba lari dengan kawan-kawan sebayanya, bertebek-tebek pula mencari ibu untuk menyusu. Ibu biri-biri sangat bertanggungjawab dan penyayang, sedia bersedia melayani karenah anak-anaknya yang ganas menghisap susu di bawah perut.  Anak-anak dara pula sentiasa berlari-lari kerana dikejar oleh si bapa yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Bapak biri-biri memang ganas. Maklumat yang saya perolehi, seekor bapak biri-biri dapat memberi khidmat seks kepada nisbah 20 ekor ibu. Betul atau tidak wallah huwa'llam. Fiil bapak biri-biri pula pelek sikit dan amat melucukan. Sebaik sahaja dilepas  dari bilik kandang khasnya, terus berlari mengejar biri-biri betina tanpa mempedulikan rumput. Sedangkan biri-biri lain sebaik turun dari kandang  dan bila sampai di padang rumput, terus meragut rumput dengan lahapnya. Biri-biri jantan ini tidak menghiraukan rumput terlebih dahulu, tetapi lebih mendahulukan betina. Satu kelebihan semula jadi yang ada pada biri-biri jantan kurniaan Allah SWT, ialah ilmu kedoktorannya. Biri-biri jantan dengan mudah dapat mengesan biri-biri betina yang telah bunting dengan menghidu air kencing   biri-biri betina. Apabila biri-biri jantan tahu yang biri-biri betina tersebut bunting, biri-biri jantan tersebut menjauhkan diri dan tidak mahu mengorat lagi, apa lagi untuk berkecawan. Begitulah fiil dan karenah biri-biri peliharaan yang  dapat saya perhatikan dalam seminggu dua ini.
        Sebenarnya membuka ladang ternakan biri-biri ini sebagai mengisi masa lapang selepas bersara daripada perkhidmatan di samping untuk menambah pengetahuan dan pengalaman baru dalam bidang penternakan. Kalau dalam bidang perguruan dahulu boleh mencapai taraf tertinggi GC Sastera gred DG 54 dengan pelbagai cabaran dan dugaan, takkan  dalam bidang penternakan tak boleh cuba. Semua orang bermula dengan kosong, pengetahuan dan pengalaman akan diperoleh kemudian selepas kita alaminya. Yang penting nawaitu, disiplin, usaha, kejujuran, kemahuan, semangat dan berdoa kepada Allah SWT di samping ada modal dan tapak.
         Insya-Allah Taala pada tahun depan rakan-rakan yang berhajat kepada biri-biri dan kambing untuk majlis aqiqah dan kenduri bolehlah berhubung dengan saya di talian 012-9887630/011-12981722/09-7987795. Penjualan dan pembelian dengan harga mesra rakyat.