Friday 2 September 2011

Semakin tua dimamah usia, tapi masih merasa muda

Perjalanan masa begitu pantas berlalu. Sehari terasa sekejap sekali. Sebulan rasanya singkat sangat. Setahun bagaikan tak terasa. Masa terus berlalu dan serentak dengan itu usia pun semakin bertambah dan meningkat. Orang yang lahir tahun 1920-an umurnya sekarang ialah 90 tahun ke atas. Orang yang lahir tahun 1930-an, umurnya sekarang ialah 80 tahun ke atas. Orang yang lahir tahun 1940-an, umurnya sekarang ialah 70 tahun ke atas. Orang yang lahir tahun 1950-an, umurnya sekarang ialah 60 tahun ke atas. Mereka yang lahir tahun 1960-an, umurnya sekarang ialah 50 tahun ke atas. Mereka yang lahir tahun 1970-an, umurnya sekarang ialah 40 tahun ke atas. Mereka yang lahir tahun 1980-an, usianya sekarang ialah 30 tahun ke atas. Yang lahir tahun 1990-an, umurnya ialah 20 tahun ke atas dan mereka yang lahir pada tahun 2000-an, usianya telah meningkat 10 tahun ke atas. Sedar tak sedar umur kita terus meningkat dan bertambah tanpa boleh dihentikan. Umur seseorang akan terhenti di persadanya pada hari kita dicabut nyawa oleh malaikat suruhan Allah SWT.
       Walau pun masa berlalu dan usia terus meningkat dan kita semakin tua, ramai orang tidak mengambil kisah terhadap episod ini. Orang tetap merasakan dirinya masih muda dan sukar untuk menerima hakikat yang dirinya sudah tua dan semakin tua. Sebagai contoh, kalau orang perempuan, jika diberitahu kepadanya awak saya nampak semakin tua. Apakah reaksinya? Dia terus menarik muka masam dan tak mahu bertegur sapa lagi. Betapa sensitifnya perkataan tua yang ditujukan kepada mereka. Orang lelaki mungkin agak berlainan sedikit, mereka boleh menerima hakikat tua ini, kerana ia merupakan satu fenomina dan lumrah alam. Sebab itu kaum wanita selalu bermake-up dengan pelbagai jenama kosmetik muka supaya wajahnya sentiasa nampak ceria dan muda. Kaum wanita sanggup membelanjakan wang beribu ringgit untuk tujuan ini, iaitu supaya wajahnya nampak muda dan ceria sepanjang zaman. Lebih-lebih lagi apabila wanita itu berstatus janda beranak lima.
       Mengapa orang tidak suka menerima hakikat tua dan marah apabila dikatakan kepadanya sudah agak tua? Banyak sebab dan faktornya. Untuk melihat yang diri kita ini sudah tua atau masih muda mudah sahaja. Dalam puisi Melayu tradisional ada sejenis rangkait yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu bertujuan untuk menggambarkan ketuaan seseorang. Rangkait itu berbunyi di antaranya:
kalau rambut sudah gugur
kalau gigi sudah bertabur
kalau mata sudah kabur
kalau kita selalu uzur
kalau kita sentiasa makan bubur
itu tanda hendak ke kubur.
      Rangkait ciptaan masyarakat Melayu dahulu kala ini memang ada rasionalnya. Fizikal orang yang sudah tua, rata-rata kita lihat rambutnya tiada atau dengan bahasa yang lebih manis kepalanya botak di tengah ( bagi lelaki ). Rambutnya hanya tinggal di sekeliling bahagian tepi kepala sahaja. Kalau tidak licin atau botak pun, warna rambutnya pula yang akan berubah, iaitu daripada warna hitam menjadi putih. Giginya yang dahulu berbaris cantik di atas dan di bawah, hanya tinggal beberapa batang sahaja. Itu pun telah bergoyang-goyang dan tidak mampu lagi untuk memamah makanan yang agak keras, bimbang tercabut atau pun patah. Kalau semuanya sudah menggunakan gigi palsu di atas dan bawah, ini amat jelas seseorang itu sudah tua. Mata pula terpaksa berdindingkan cermin, kalau tidak apa pun tak boleh dibaca lagi. Segala sendi tulang dan urat saraf akan terasa lengoh, kebas, sengal dan sakit-sakit sama ada ketika hendak bangun daripada tidur, rukuk dan sujud dalam sembahayang, duduk bertinggung sewaktu memberus gigi dan sebagainya. Makan pula tak ada selera lagi. Kebanyakan menu makanan harian pula ialah makanan yang lembut-lembut dan berkuah. Misalnya bubur, nasi air, mee kuah, laksa, burger dan lain-lain. Kalaulah suasana seperti yang dirakamkan ini benar dialami  oleh seseorang, bermakna memang orang itu berada pada posisi golongan tua.
          Tetapi yang anehnya, walau pun fizikalnya sudah cukup untuk menggambarkan dirinya tua, seseorang itu masih juga merasa muda. Mengapa? Diri manusia ini terbina dari dua paksi yang besar iaitu roh dan jasad atau fizikal dan rohani. Yang tua itu ialah fizikalnya iaitu persekiran luaran diri manusia seperti wajah muka, telinga, mata, rambut dan lain-lain. Dari segi aspek rohani, yakni bahagian dalamannya yang terdiri daripada hati, perasaan, minda, nafsu, emosi, angin, pemikiran dan lain-lain tidak berubah. Terutama nafsu dan emosi. Nafsu dan emosi tidak akan tunduk kepada ketuaan kerana ketuanya ialah iblis dan syaitan. Sebab itu kita lihat terutama di kota-kota besar ramai golongan lelaki yang berusia di antara 60 tahun ke 70 tahun masih leka berhibur di pusat-pusat hiburan dengan pelbagai kesukaan dan maksiat. Melakukan kerja-kerja laknat yang bertentangan dengan agama Islam seperti membunuh kanak-kanak tidak berdosa, merogol anak cucu dan sebagainya. Mereka yang dalam usia 60-an dan 70-an ini masih ramai yang bercita-cita untuk beristeri muda jika ada peluang. Fenomina seperti ini terjadi di serata tempat. Punca utama kerana terlalu ikut nafsu dan emosi serta tidak insaf yang dirinya sudah tua renta menunggu giliran untuk dijemput kembali ke rahmatullah. Wassalam.

Pesanan untuk anak-anakku dan para remaja di bangku sekolah

Pesanan ini dituju khusus kepada anak-anakku dan para remaja yang masih berada di bangku sekolah masa kini. Pesanan ini akan menjadi istimewa kepada para remaja yang suka melayari internet, membaca, berfikir, merenung dan muhasabah diri.
     Wahai anak-anaku dan para remaja yang masih berada di bangku sekolah! Percayalah bahawa perjalanan hidup kalian semua masih jauh ke hadapan. Banyak liku dan ranjau yang kalian semua harus tempohi.
     Bapamu yang masih bernafas sekarang lahirnya dalam tahun 1950-an, iaitu setahun sebelum negara mencapai taraf kemerdekaan. Ada pun kamu kalian lahirnya sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, yakni selepas negara mencapai kemerdekaan. Bapamu dahulu hidupnya miskin dan susah, sedangkan kamu semua hidup tanpa merasai susah dan miskin. Bapamu dahulunya pergi ke sekolah dengan membawa wang saku sebanyak di antara sepuluh sen dan lima belas sen, sedangkan kamu membawa wang saku ke sekolah sebanyak di antara tiga hingga lima ringgit sehari, bahkan kadang-kadang sepuluh ringgit. Bapamu dahulunya pergi ke sekolah dengan berjalan kaki, menyeberangi baruh padi dengan meniti di atas batang kelapa mati, tetapi kamu semua pergi ke sekolah dengan berbasikal, motorsikal, bas, kereta sapu dan dihantar dengan kereta oleh ibu bapa. Bapamu dahulunya pergi ke sekolah dengan berpakain lusuh tanpa bergosok dengan starika dan dengan sepasang kasut kain putih yang tidak ada jenama pun, tetapi kamu sekarang pergi ke sekolah dengan berpakain yang ceria, kemas, harga mahal dan kasut berjenama ternama. Bapamu dahalunya di sekolah tidak ada kemudahan infrastruktur canggih seperti yang ada sekarang. Belajar di atas lantai tanah dengan sebuah papan hijau dan kapur sahaja. Tetapi kamu sekarang belajar dalam bangunan konkrit yang bertingkat-tingkat dengan pelbagai kemudahan asas seperti makmal sains, makmal komputer dan ICT. Bapamu dahulu semasa belajar di sekolah tidak ada pun guru kaunselor, PIBG, kelas tambahan, teknik menjawab soalan dan sebagainya. Tetapi kamu sekarang di sekolah semuanya ada seperti yang tidak ada pada zaman bapamu belajar dahulu.
        Jarak perbandingan zaman bapa belajar dengan zaman kamu belajar seperti langit dengan bumi, seperti enggang dengan pipit. Tetapi dalam pada segala kekurangan dan serba ketiadaan itu bapa boleh berjaya dalam hidup. Berjaya dalam pelajaran, dalam masyarakat dan dapat memberi sumbangan kepada anak bangsa. Kamu semua bagaimana? Bolehkah juga mengikut jejak kejayaan seperti yang bapa capai pada hari ini? Jawabnya mudah sahaja sama ada boleh atau pun tidak boleh.Tidak boleh kalau kita leka dan tidak mengambil kesempatan daripada peluang yang ada dan tersedia tersebut. Boleh apabila kita mempunyai ciri-ciri seperti berikut: Pertama kena ada prinsip dan fasafah hidup iaitu prinsip aku boleh. Kedua kena ada visi dan wawasan dalam hidup iaitu untuk mencapai cita-cita dalam diri. Ketiga kita mesti bersemangat tinggi, berusaha dan berikhtiar. Yakin diri, berdoa kepada Allah SWT. Memohon restu daripada kedua ibu bapa dan jiran-jiran.
      Untuk menggapai kejayaan hidup pada masa hadapan kita harus ada perancangan dan pelan tindakan hidup. Kemudian disusuli pula dengan tindakan di samping usaha secara berterusan. Salah satu daripada pelan perancangan hidup kita ialah merancang penggunaan masa seharian kita. Kalau kita sebagai seorang pelajar, seharusnya masa kena banyak diperuntukan untuk belajar daripada bermain-main tanpa sebarang manfaat.
      Kejayaan hidup seseorang itu bergantung kepada sejauh mana ilmu yang ada pada dirinya sama ada ilmu duniawi mahu pun ukhrawi. Ilmu itu merupakan pengetahuan. Dan ilmu itu seharusnya diperoleh melalui sumber yang rasmi sama ada di sekolah, di pondok mahu pun di institusi-institusi pengajian. Dengan adanya ilmu anda akan dapat menentukan cara hidup yang sebenarnya, iaitu cara yang diredai oleh Allah SWT.
      Anda semua, bapa harap dapat mencapai taraf hidup seperti yang bapa alami dan lalui sekarang dengan syarat memenuhi sebahagian besar daripada ciri-ciri yang dibentangkan di atas.

Thursday 1 September 2011

Nasihat kepada muridku ( 5P2, 5P3 dan 5P4 ) calon SPM 2011 yang mengambil mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu di SMK SI ( 1 ) Pasir Mas, Kelantan

Muridku putera puteri tersayang ( Pelajar Tingkatan 5P2, 5P3 dan 5P4 ) yang mengambil mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu peperiksaan SPM tahun 2011  Ini sedikit nasihat daripada gurumu sebagai suntikan semangat menjelang peperiksaan SPM pada pertengahan bulan November ini.
        Selama hampir dua tahun saya gurumu bersama anda semua sejak dari tingkatan empat tahun 2010 sehingga September, 2011. Cikgu sudah tahu telatah setiap orang daripada kamu. Nampaknya prestasi mata pelajaran KM melalui keputusan peperiksaan PKBS kedua baru-baru ini tidak memuaskan hati cikgu. Banyak kelemahan yang perlu muridku perbaiki lagi. Korbankanlah sedikit masa terhadap pelajaran kerana masa peperiksaan itu terlalu hampir, cuma tidak sampai pun tiga bulan lagi. Sila gunakan saki baki masa yang tinggal tidak sampai tiga bulan itu untuk mengulangkaji mata pelajaran anda. Tolong jangan sia-siakan masa yang ada ini. Selepas ini masa yang berlalu tak akan berulang lagi. Menyesalnya pun tak ada gunanya lagi.
       Selepas hampir dua tahun anda berada di bangku kelas, akan tiba masa yang amat mencabar dan penting. Masa itu ialah masa peperiksaan SPM yang sebenar. Bayangkan jika anda tidak cukup persiapan untuk menduduki peperiksaan ini, apa akan jadi. Yang terjadi pastinya anda tidak boleh menjawab soalan-soalan dengan baik.Apabila tidak dapat menjawab soalan dengan baik sudah pastilah keputusan peperiksaan nanti tidak memuaskan. Oleh itu anda kena banyak membaca, mengulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, bertanya guru, hadir ke kelas harian biasa, ke kelas tambahan, program khas sekolah dan lain-lain. Buat latihan di rumah, siapkan tugasan yang guru berikan dan sebagainya yang menjurus kepada pembinaan pembelajaran. Kita pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting pada tahun ini tidak boleh berada sama status dengan pelajar lain yang tidak menduduki peperiksaan awam.
       Di negara kita Malaysia hari ini Sijil Pelajaran Malaysia amat penting sekali. Sesiapa yang tidak mempunyai sijil ini atau gagal dalam peperiksaan ini maka peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi akan terhenti di sini. Sijil ini bukan setakat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, bahkan amat berguna untuk seseorang memohon pekerjaan sama ada di sektor kerajaan, badan berkanun mahu pun badan swasta.
       Amat rugi jika anda gagal dalam peperiksaan SPM pada kali ini. Apabila anda tewas di sini, apa akan terjadi? Cuba bayangkan sejenak. Maknanya saluran rasmi untuk anda mendapat ilmu akan terputus. Sayang sekali peluang yang kerajaan kita sediakan terlalu banyak. Berpuluh buah IPTA dan IPTS dalam dan luar negara sedang menunggu-nunggu kehadiran anda. Pelbagai kemudahan biasiswa dan pinjaman disediakan oleh pihak kerajaan kepada anda. Peluang ini hanya akan diraih oleh mereka yang rajin dan berjaya dalam pelajaran. Dalam hidup ini, jika anda salah seorang rakyat Malaysia yang tak berkesempatan menjejak kaki ke menara gading, rasanya terlalu rugi sekali.Rugi dari segi pergaulan, ilmu, keistimewaan dan segala kemudahan infrastruktur yang kerajaan sediakan kepada kita sebagai rakyat di negara bertuah ini.
      Oleh itu, wahai anak-anak muridku tersayang, berfikir dan renunglah barang sejenak untuk kepentingan masa depan anda dan keluarga. Masa depan kita atau seseorang terletak pada diri sendiri. Bukan pada orang lain. Bagaimana kita menguruskan masa pada hari ini, itulah yang bakal kita lalui untuk masa hadapan. Masa hadapan kita sebenarnya bermula pada hari ini. Jika kita malas, tak bersemangat, tak bermotivasi dan tiada perancangan pada hari ini, maka sudah pasti akan menghadapi masa depan yang gelap.
      Cikgu bukan apa! cuma sekadar untuk memberi peringatan dan nasihat supaya pelajar tidak lalai dan leka dengan suasana semasa. Sebagai seorang guru tentu sekali akan merasa bersyukur dan bangga apabila seseorang muridnya berjaya dalam pelajaran dan  hidup. Itu sahaja.

Wednesday 31 August 2011

Suasana berhari raya di kampung

Nampaknya suasana berhari raya di kampung pada tahun ini semakin meriah berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Kemeriahan ketara yang dapat dilihat di antaranya sanak saudara dari jauh kembali berkumpul di rumah orang tua. Buktinya kalau kita lihat di hadapan rumah sesebuah keluarga penuh dengan pelbagai jenis kereta. Sesebuah keluarga saya lihat ada tiga hingga enam buah kenderaan. Kenderaan bersaiz kecil, besar dan sederhana. Kenderaan baru, buruk dan sederhana. Mereka ini kembali bercuti ke kampung dari bandar-bandar tempat mereka bekerja untuk saling bertemu dengan sanak saudara masing-masing. Ada yang kembali dengan kenderaan sendiri dan tidak kurang pula yang kembali dengan kenderaan awam seperti bas, keretapi dan kapal udara. Mereka tidak melepaskan peluang pada hari yang besar ini untuk saling berkumpul dalam keluarga. Suasana sambutan hari raya puasa berbeza dengan suasana hari raya korban. Pada hari raya korban tidak ramai sanak saudara yang pulang ke kampung.
         Pada pagi hari raya pertama pula di masjid, surau dan madrasah baik di bandar atau pun di kampung penuh dengan para jemaah. Orang tua, desawa, remaja dan kanak-kanak. Masing-masing tampil dengan pakaian terbaharu yang baru dibeli. Dan yang amat membanggakan kita semua ialah nilai jati diri masyarakat Melayu di kampung-kampung masih terus terpelihara, iaitu kaum lelaki dengan berpakaian baju melayu, bersongkok, berkain sarung, bercelana panjang dan bersongket. Kaum wanita pula dengan pakaian tradisi mereka sama ada berbaju kurung labuh atau pun berbaju kebaya. Makanan tradisi hidangan orang kampung pada hari raya seperti ketupat tiga bucu, lemang, rendang, tapai beras, nasi impit dan sebagainya masih terus dikekalkan.
        Pada hari raya kedua biasalah di semua bandar di negeri Kelantan ini penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Masing-masing dengan hala dan tujunya. Sejak dari pagi sampailah ke malam. Misalnya di bandar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah dan lebih-lebih lagi bandar kecil Rantau Panjang.  Semua jalan sama ada jalan bandar, jalan kampung penuh sesak dengan kenderaan. Misalnya di jalan Bunut Susu menghala ke Tendong. Kenderaan yang berbaris dari lampu isyarat cabang empat Tendong memanjang sehingga ke hadapan Sekolah Menengah Teknik Kota Bharu, kampung Manan hampir lebih kurang dua kilo meter. Di jambatan Tendong atau jambatan Sultan Ismail Petra kedua pula kenderaan berbaris bermula di tengah-tengah jambatan sehinggalah ke persimpangan lampu isyarat di cabang tiga. Meriah sungguh hari raya Aidilfitri pada tahun ini.
        Kebetulan pula sambutan hari raya Aidilfitri pada tahun ini jatuhnya sehari sebelum hari kemerdekaan negara yang kelima puluh empat tahun. Di kampung-kampung saya dapati bendera negeri dan negara terpasang di sepanjang jalan. Dan ada juga setengah-setengah kampung telah pun membuka peti undi. Di bangunan peti undi itulah mereka memacak dan memasang bendera negeri dan negara. Begitu kuat sekali semangat orang-orang kampung menyambut dua perayaan besar yang jatuh hampir serentak ini.
       Budaya ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjung ke rumah jiran dan sahabat handai memang tidak lekang di kalangan masyarakat kampung sejak dahulu sehingga sekarang, terutama di kalangan orang-orang tua dan dewasa. Tetapi di kalangan kanak-kanak dan remaja mereka lebih asyik berada di hadapan skrin komputer dan kaca televisyen. Apa boleh buat sudah budaya hidup mereka yang dibesarkan dalam zaman sains dan teknologi. Di semua kubur pula penuh dengan kenderaan dan para waris yang datang menziarahi arwah keluarga terdekat mereka. Ada yang membaca surah Yassin, bertahlil, berdoa, menyiram air mawar dan sebagainya. Satu budaya dan amalan tradisi sejak zaman berzaman masyarakat Melayu Islam yang perlu kita pertahankan. Perlu diwariskan kepada anak-anak cucu kita pada masa-masa hadapan. Orang-orang tua atau dewasa sepatut dan seharusnya kena bawa anak-anak cucu mereka menziarahi kubur arwah waris terdekat. Kalaulah tidak orang tua yang bertindak demikian, kepada siapa lagi harus kita wariskan.
       Kemeriahan hari raya pada tahun ini juga ialah adanya jemputan kenduri kahwin dan kenduri kesyukuran di rumah keluarga, jiran, sahabat handai dan para kenalan. Pendek kata bermula pada hari raya kedua sehinggalah ke hari buka cuti sekolah. Kunjungan ke rumah-rumah terbuka anjuran orang perseorangan, NGO dan pertubuhan politik pun tidak kurang hebat dan meriahnya. Pendek kata tak larat perut untuk mengisinya. Cuma satu nasihat daripada saya apabila makan dan minum di tempat kenduri janganlah terlalu mengikut ghairah selera makan, kerana kita harus ingat bahawa punca sesuatu penyakit bersumber dari makanan..
      Hai! tak boleh cerita panjang laa... sebab hari ini pun ada tiga  jemputan majlis kenduri di sekitar kampung ini. Besok dan lusa pun ada tiga dan empat jemputan juga. Jemputan ke majlis kenduri oleh seseorang atau sesuatu pertubuhan  ini kita kena hadir sesuai dengan tuntutan agama Islam kita di samping untuk menjaga hati si penjemput. Maklumlah kita duduk di kampung. Dan begitulah citra hidup di kampung.