Saturday 2 February 2013

Tema dan persoalan-persoalan dalam Hikayat Indera Nata ( Teks Seuntai Kasih Secebis Harapan )

Tema

Keberanian dan kebijaksanaan seorang putera Raja. Indera Nata iaitu  putera Raja Rom berani dan bijak menentang/berperang dengan raksasa yang menyerang negeri Rom untuk mengambil tujuh orang puteri Raja-Raja besar yang dirampas oleh Indera Nata. Raksasa  marah kepada Indera Nata kerana membunuh anaknya Si Batu Kembar, tetapi dengan keberanian dan kebijaksanaannya, Indera Nata telah berjaya menangkap dan membunuh raksasa tersebut.

Persoalan-persoalan

  1. Amalan berpoligami dalam masyarakat/di kalangan raja, contoh: Raja Rom beristeri dua orang iaitu Tuan Puteri Cenderawati dan Si Batu Kembar/Indera Nata berkahwin dengan empat orang puteri raja-raja besar.
  2. Sifat hasad dengki/dendam terhadap orang lain, contoh: Si Batu Kembar, isteri kedua Raja Rom dengki/dendam kepada madunya Tuan Puteri Cenderawati, iaitu isteri pertama Raja Rom.
  3. Bertindak zalim/kejam/tidak berperi kemanusiaan terhadap orang lain, contoh: Si Batu Kembar bertindak zalim/kejam terhadap Tuan Puteri Cenderawati/Tuan Puteri Cendera Kesuma/Indera Nata dengan menolak jatuh ke dalam laut untuk membunuh mereka sewaktu belayar ke Pulau Pelinggam untuk mengambil buah-buahan dan bunga-bungaan.
  4. Tolong-menolong/bantu-membantu terhadap orang yang dalam kesusasahan, contoh: Betara Gangga tolong menyelamatkan Tuan Puteri Cenderawati/Tuan Puteri Cendera Kesuma/Indera Nata yang terjatuh ke dalam laut ditolak oleh Si Batu Kembar dengan memberikan mereka hikmat kesaktian/Tuan Puteri Cendera Kesuma tolong menghidupkan semula Raja Rom yang mati terbakar dengan bantuan hikmat kesaktian dan takdir Allah Taala.
  5. Kepatuhan/ketaatan/kesetiaan isteri terhadap suami, contoh: Tuan Puteri Cendera Kesuma patuh/taat/setia kepada suaminya Indera Nata yang menyuruhnya menghidupkan semula Raja Rom/ayahandanya yang mati terbakar.
  6. Kasih sayang dalam keluarga/suami isteri, contoh: Indera Nata kasih/sayang kepada isteri-isterinya/ayahanda dan bondanya/Raja Rom/Tuan Puteri Cenderawati.
  7. Hormat-menghormati di antara satu sama lain, contoh: Raja-Raja besar dari tujuh buah negeri menghormati Indera Nata/Indera Nata menghormati Raja-Raja besar yang datang ke negeri Rom.
  8. Keberanian menentang musuh/mempertahankan hak, contoh: Indera Nata dan rakyatnya berani menentang/berperang dengan raksasa yang menyerang negeri Rom untuk merampas balik tujuh orang puteri Raja-Raja besar yang diambil oleh Indera Nata.
  9. Kebijaksanaan menewaskan musuh, contoh: Indera Nata bijak berperang, menangkap dan membunuh raksasa yang menyerang negeri Rom untuk merampas balik tujuh orang puteri yang dirampas oleh Indera Nata.
  10. Bertindak secara terburu-buru tanpa berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan/tindakan, contoh: Raja Rom berkahwin dengan Si Batu Kembar anak raksasa dengan membuang Tuan Puteri Cenderawati dan Indera Nata tanpa berfikir panjang/menyiasat terlebih dahulu.
  11. Memberi kemaafan/keampunan kepada seseorang yang melakukan kesilapan/kesalahan, contoh: Indera Nata memaafkan kesilapan ayahandanya Raja Rom/Tuan Puteri Cenderawati memaafkan kesilapan suaminya Raja Rom.
  12. Menyesal/insaf di atas kesilapan/kesalahan diri sendiri yang bertindak secara terburu-buru, contoh: Raja Rom insaf/kesal/merasa bersalah dengan sikapnya yang tidak berfikir panjang berkahwin dengan Si Batu Kembar anak raksasa dan membuang Tuan Puteri Cenderawati dan Indera Nata.
  13. Memberi sedekah/bersedekah kepada fakir miskin, contoh: Raja Rom memberi sedekah emas/jamuan makan minum kepada para fakir miskin di negerinya.
  14. Beriman/bertaqwa/mempercayai kuasa/kebesaran Allah Taala terhadap sesuatu yang berlaku, contoh: Indera Nata/Raja Rom/Tuan Puteri Cenderawati percaya bahawa sesuatu yang berlaku ke atas diri manusia adalah ditakdirkan Allah Taala/Indera Nata mengatakan hanya Allah Taala yang tidak lupa dan lalai.
  15. Kejujuran/keikhlasan seorang putera raja, contoh: Indera Nata, iaitu putera Raja Rom jujur/ikhlas dengan menyerah balik tujuh orang puteri Raja-Raja besar yang dirampas daripada raksasa kepada Raja-Raja besar dari tujuh buah negeri.

Friday 1 February 2013

Sebab-sebab raksasa marah kepada Indera Nata dan menyerang negeri Rom, dalam Hikayat Indera Nata ( Teks Seuntai Kasih Secebis Harapan )

  1. Raksasa marah kepada Indera Nata kerana telah membakar istana Raja Rom yang menyebabkan anaknya Si Batu Kembar ( Isteri kedua Raja Rom ) mati terbakar.
  2. Indera Nata yang merampas 7 orang puteri Raja-Raja besar miliknya/tawanannya.

Urutan peristiwa-peristiwa penting dalam Hikayat Indera Nata ( Teks Seuntai Kasih Secebis Harapan )

  1. Raja Rom, Si Batu Kembar, Indera Jenaka dan dayang-dayang mati terbakar di istana kerana dibakar oleh Indera Nata.
  2. Tuan Puteri Cenderawati ( Bonda Indera Nata ) memberi tahu kepada Indera Nata bahawa yang mati terbakar iaitu Raja Rom ialah ayahandanya.
  3. Tuan Puteri Cenderawati menceritakan kepada Indera Nata kisah dia hampir mati terjatuh ke dalam laut kerana ditolak oleh Si Batu Kembar ( Isteri Kedua Raja Rom ) ketika dalam pelayaran ke Pulau Pelinggam Cahaya untuk mengambil buah-buahan dan bunga-bungaan tetapi bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh Betara Gangga dengan memberinya gemala hikmat kesaktian.
  4. Indera Nata menyuruh isterinya ( Tuan Puteri Cendera Kesuma ) dengan izin Allah menghidupkan semula ayahandanya ( Raja Rom ) yang telah mati.
  5. Dengan bantuan gemala hikmat kesaktian Betara Gangga dan takdir Allah Taala, Tuan Puteri Cendera Kesuma berjaya menghidupkan semula Raja Rom yang telah mati terbakar.
  6. Tuan Puteri Cendera Kesuma memberi tahu kepada Raja Rom yang dia ialah isteri kepada Indera Nata putera Raja Rom dengan isteri yang bernama Tuan Puteri Cenderawati yang juga digelar orang Si Piatu.
  7. Tuan Puteri Cendera Kesuma menceritakan kepada Raja Rom peristiwa dia bersama dengan Tuan Puteri Cenderawati ditolak jatuh ke laut oleh Si Batu Kembar tetapi bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh Betara Gangga dengan gemala hikmat kesaktian. Dan peristiwa Indera Nata disuruh mencari gajah bergading emas di tengah hutan rimba.
  8. Raja Rom menyuruh Tuan Puteri Cendera Kesuma memanggil Indera Nata bersama dengan isteri-isterinya untuk bertemu.
  9. Indera Nata bersama dengan isteri-isterinya ( Tuan Puteri keenam ) datang menemui ayahandanya Raja Rom.
  10. Raja Rom meminta maaf daripada Indera Nata di atas segala kesilapannya yang lalu.
  11. Raja Rom bertanya Indera Nata di manakah Tuan Puteri Cenderawati/bondanya?
  12. Raja Rom menyesal dan merasa bersalah kerana telah memilih Si Batu Kembar dengan membuang Tuan Puteri Cenderawati dan Indera Nata.
  13. Indera Nata menasihati ayahandanya Raja Rom supaya tidak menyesal kerana manusia memang sifatnya lupa dan lalai melainkan Allah Yang Maha Kuasa tidak lupa dan lalai. Sesuatu perkara yang hendak dibuat hendaklah diteliti dan difikirkan terlebih dahulu.
  14. Indera Nata telah membawa ayahandanya Raja Rom bertemu semula dengan bondanya Tuan Puteri Cenderawati.
  15. Raja Rom menyesal dan meminta maaf daripada Tuan Puteri  Cenderawati di atas kesalahannya telah memilih Si Batu Kembar/orang hutan sebagai isteri kedua dengan mengabaikan dirinya.
  16. Tuan Puteri Cenderawati menerima permintaan maaf daripada Raja Rom dengan berpendapat bahawa buruk baik sesuatu itu ditentukan oleh Allah Taala.
  17. Dengan rasa kesal Raja Rom menyatakan kepada Tuan Puteri Cenderawati bahawa manusia penuh dengan fitnah, lupa dan lalai, kecuali Tuhan juga yang tidak lupa dan lalai.
  18. Indera Nata sangat gembira kerana berjaya menyatukan semula ayahandanya Raja Rom dengan bondanya Tuan Puteri Cenderawati
  19. Raja Rom bersama dengan Tuan Puteri Cenderawati, Indera Nata dan para isterinya berangkat balik ke istana dengan penuh adat-istiadat.
  20. Raja Rom telah memberi jamuan makan minum kepada rakyatnya serta bersedekah emas kepada para fakir miskin.
  21. Indera Nata mengahwini empar orang isteri daripada tujuh orang puteri tersebut. 
  22. Raja Mesir, Raja Iraq, Raja Siam, Raja Keling dan Raja Peringgi mendapat tahu bahawa puteri mereka yang dirampas oleh raksasa sekarang berada di negeri Rom kerana telah diambil oleh Indera Nata.
  23. Raja-Raja besar tersebut telah memanggil menteri, hulubalang, laksamana, mangkubumi dan rakyat masing-masing bermesyuarat/berbincang untuk pergi ke negeri Rom bagi mengambil puteri masing-masing daripada Indera Nata/Raja Rom.
  24. Raja-Raja besar tersebut telah bertemu di tengah laut dan bermesyuarat untuk pergi mengambil puteri masing-masing di negeri Rom.
  25. Raja-Raja besar tersebut belayar menuju ke negeri Rom.
  26. Indera Nata telah menyambut ketibaan Raja-Raja besar tersebut dengan penuh hormat.
  27. Raja-Raja besar yang terpandang wajah Indera Nata yang gilang-gemilang telah memberi hormat kepadanya.
  28. Indera Nata telah membawa Raja-Raja besar ke istana bertemu dengan Raja Rom/ayahandanya.
  29. Indera Nata telah mempertemukan Raja-Raja besar dengan puterinya masing-masing di istana.
  30. Raja Rom mengadakan pesta bersuka-sukaan dan jamuan makan minum selama tiga hari dan tiga malam kepada Raja-Raja besar sebagai meraikan kedatangan mereka ke negeri Rom.
  31. Seramai 40 orang raja yang dalam perjalanan untuk menghantar ufti kepada Raja Rom telah mati dimakan oleh raksasa yang marah kepada Indera Nata kerana membunuh anaknya Si Batu Kembar.
  32. Raksasa hendak menyerang negeri Rom bagi mengambil semula 7 orang puteri raja-raja besar yang dirampas oleh Indera Nata.
  33. Indera Nata memohon keizinan daripada ayahandanya Raja Rom untuk pergi menunggu kedatangan raksasa di hutan.
  34. Tuan Puteri Cendera Kesuma ( Isterinya ) telah memberikan gemala hikmat kesaktian kepada Indera Nata.
  35. Indera Nata bersama dengan pengikutnya/rakyatnya pergi ke hutan untuk mencari raksasa.
  36. Indera Nata bertemu dengan raksasa di kaki gunung di hutan dan berlaku peperangan dengannya.
  37. Indera Nata berjaya menewaskan raksasa dengan menangkap dan merantainya.
  38. Indera Nata bersama dengan rakyatnya membawa raksasa yang ditangkap ke istana Raja Rom.
  39. Raja Rom sangat hairan dengan keberanian dan kehebatan Indera Nata yang berjaya menangkap raksasa.
  40. Raja-Raja besar dari tujuh buah negeri yang datang untuk mengambil puteri masing-masing daripada tangan Indera Nata tidak jadi mengambilnya apabila melihat kekuatan, kehebatan dan keberanian Indera Nata menewas dan menangkap raksasa di hutan.
  41. Raja Rom memerintahkan menteri, hulubalang dan rakyatnya membunuh raksasa.
  42. Raksasa dibunuh dan bangkainya dibuang ke dalam laut.
  43. Indera Nata menyerah kembali kepada Raja-Raja besar puteri mereka untuk dibawa balik ke negeri masing-masing.
  44. Raja-Raja besar tidak mahu menerimanya tetapi menyerah kembali puteri masing-masing kepada Indera Nata.
  45. Raja-Raja besar telah memberi nasihat kepada puteri masing-masing supaya pandai-pandai menjaga  diri sebagai isteri kepada Indera Nata kerana memang sukar untuk mendapatkan suami seperti Indera Nata.
  46. Puteri-puteri tersebut menghormati ayahanda masing-masing dengan sujud sembah.
  47. Raja-Raja besar belayar kembali ke negeri masing-masing.
  48. Raja-Raja besar tiba di negeri masing-masing selepas belayar di laut selama tujuh hari dan tujuh malam.
  49. Ketibaan Raja-Raja besar di negeri masing-masing telah disambut oleh menteri, hulubalang dan rakyat jelata.