Saturday 8 October 2011

Urutan peristiwa-peristiwa penting bab 8 ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

  1. Pak Teh ( arwah ayah Jalil ), yang berasal dari Besut, Terengganu telah pergi ke negeri Kedah sejak kecil dengan berjalan kaki.
  2. Selepas musim  menuai padi di Kedah, Pak Teh tak balik ke Besut, Terengganu, tetapi membuka petak sawah di kaki Bukit Nibung.
  3. Pak Teh berkahwin dengan Mak Teh yang berasal dari kampung Tempoyak, Kedah.
  4. Ah Tong yang memajak tanah orang kaya dari Sungai Petani telah mengubah batu sempadan tanah sehingga termakan tanah arwah Pak Teh.
  5. Pak Teh mengejar dengan parang Ah Tong yang menceroboh tanahnya.
  6. Ah Yau memberi nasihat kepada Pak Teh supaya bersabar.
  7. Pak Teh telah pernah beberapa kali pergi  ke pejabat Tanah Pendang untuk memohon geran tanah tetapi tidak berjaya.
  8. Pak Teh menunggu geran tanah berbelas-belas tahun lamanya, tetapi tidak berjaya.
  9. Pak Teh berpesan kepada Jalil supaya meneruskan usaha untuk mendapatkan geran/hak milik tanah tersebut di kampung Bukit Nibung.
  10. Pak Teh telah meninggal dunia ketika Jalil berusia 16 tahun ( Tingkatan 3 ). Pak Teh tak sempat mendapat geran tanah yang diusahakannya.
Latar masa: siang hari
Latar tempat: Besut Terengganu, Siam, di kaki Bukit Nibung, Kedah, sawah bendang, Pejabat Tanah Pendang, kampung Tempoyak
Catatan: Kesemua peristiwa disampaikan dalam bentuk teknik imbas kembali melalui watak Jalil.

    Urutan peristiwa-peristiwa penting bab 7 ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

    1. Jalil pergi ke rumah Pak Amat ( sepupu Pak Lang Ali ) di Gurun.
    2. Pak Amat memberi tahu kepada Jalil yang tanah arwah ayahnya seluas 5 relong itu telah dibeli melalui Pak Alang Ali yang dijual oleh ibunya dengan harga RM10 ribu.
    3. Jalil berjanji secara lisan dengan Pak Amat untuk membayar balik tanah tersebut dalam masa di antara 5 hingga 10 tahun.
    4. Jalil memohon simpati daripada Pak Amat untuk tinggal sementara di tanah jual janji tersebut dan Pak Amat bersetuju.
    Latar masa:  petang
    Latar tempat: rumah Pak Amat di Gurun, di pondok Jalil, kampung Bukit Nibung, di sekitar sawah bendang

    Thursday 6 October 2011

    Urutan peristiwa-peristiwa penting bab 6 ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

    1. Jalil membina dangau di bekas tapak rumahnya yang telah dirobohkan ibunya.
    2. Jalil pergi ke sekolah dengan menggunakan basikal tua peninggalan arwah ayahnya.
    3. Jalil turun ke bendang sawah.
    4. Haji Saad memberi tahu kepada Jalil bahawa tanah sawah arwah ayahnya telah dijualkan oleh ibunya kepada sepupu Pak Lang Ali di Gurun.
    5. Jalil pergi ke rumah Pak Lang Ali untuk mendapatkan maklumat pembeli tanah sawah arwah ayahnya.
    6. Pak Lang Ali memberi tahu kepada Jalil pembeli tanah tersebut ialah sepupunya Pak Amat yang tinggal di Gurun.
    7. Jalil bertekad untuk menebus kembali tanah arwah ayahnya yang telah dijualkan oleh ibunya kepada Pak Amat tersebut.
    8. Jalil bertegas dan membuat keputusan untuk tetap tinggal di dangaunya di kampung Bukit Nibung walaupun seorang diri.
    9. Jalil bertekad untuk meneruskan perjuangan hidupnya bagi menunaikan wasiat arwah ayahnya/Pak Teh.
    Latar masa:  pagi, petang, malam, sudah lebih tahun.
    Latar tempat: sekolah, dangau Jalil, kampung Bukit Nibung, Gurun, bendang sawah, rumah Pak Lang Ali, pekan Bukit Jenun, kebun getah arwah Pak Teh di kampung Pokok Tai Lama.

    Kursus Sehari Guru-Guru Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu SPM Negeri Kelantan 2011

    Guru-Guru KM ( Peserta kursus, 2011 )
    Kursus Sehari Guru-Guru dan Ketua-Ketua Panitia Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu SPM peringkat negeri Kelantan anjuran Unit Bahasa  Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan telah diadakan pada 3 Obtober, 2011 ( Isnin ) bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan, JPN, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Peserta kursus sepatutnya terdiri daripada seramai 102 orang guru berdasarkan jumlah sekolah di negeri Kelantan yang menawarkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif peringkat SPM, tetapi yang hadir cuma seramai 82 orang. Ini mungkin disebabkan masalah teknikal, iaitu surat yang dihantar oleh pihak PPD yang diamanahkan oleh Unit Bahasa, JPN, Kelantan tidak sampai kepada sekolah-sekolah yang guru tidak hadir pada hari tersebut, iaitu seramai 20 orang lagi. Walau bagaimana pun, kursus telah berjalan dengan lancar bermula pada jam 8.30 pagi sehingga jam 2.00 petang seperti dalam aturcara yang telah ditetapkan.
    Pendaftaran Peserta Kursus
           Aturcara kursus bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.00 - 8.30 pagi, diikuti dengan ucapan perasmian oleh Tuan Haji Jaafar Bin Ismail ( Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPN, Kelantan ). Taklimat peranan panitia dan tanggung jawab guru-guru mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah oleh Encik Mohd. Hasany Bin Hashim ( KPP, Unit Bahasa, JPN, Kelantan ). Taklimat format soalan peperiksaan SPM berdasarkan teks sastera baharu dan pengajaran berkesan di kelas berdasarkan teks tersebut, disampaikan oleh Drs. Ab. Aziz Bin Haji Omar ( GC Sastera ) dari SMK. Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas, Kelantan. Sesi soal jawab dengan peserta dikendalikan oleh Cikgu Tuan Haji Mustaffa Bin Ibrahim, dari SMK. Pak Badul, Melor, Kota Bharu, Kelantan.
    Tuan Haji Jaafar Bin Ismail ( KSPA, JPN, Kel. )
            Perasmian kursus telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Jaafar Bin Ismail ( KSPA, JPN, Kelantan ). Dalam ucapan, beliau memetik pendapat Za'aba yang mengatakan bahawa bahasa ialah alat untuk menyampaikan apa yang dia baca dan fahami kepada masyarakat. Beliau menegaskan bahasa dan sastera mempunyai hubungan yang paling rapat kerana bahasa ialah media sastera. Bahasa perlu didengari, difahami dan dihayati dengan baik.
           Pengerusi/Ketua Panitia mata pelajaran di sesebuah sekolah boleh diibaratkan sebagai CEO dalam sesebuah organisasi syarikat. Peranannya dapat membuat keputusan, menyelesaikan pelbagai masalah yang mencabar, mampu menganalisis item/isu, berfikir secara kolaberasi dan positif. Dalam transformasi pendidikan selaras dengan transformasi kerajaan dan matlamat pendidkan kebangsaan, banyak perubahan yang telah berlaku. NKRA dan KPI merupakan salah satu unsur teras dalam sistem pendidkan kebangsaan pada hari ini. Di antara beberapa dasar pelajaran dalam transformasi yang diperkenalkan seperti LINUS, MBMMBI, JQAF, PKBS, SAPS, dasar mata pelajaran Sejarah dan sebagainya. Masalah besar yang dihadapi di kalangan pelajar pada hari ini ialah, pelajar lebih menguasai data dalam bentuk angka daripada menguasai bahasa. Keputusan peperiksaan SPM pada tahun 2010 di negeri Kelantan, terdapat seramai 178 orang calon yang mendapat semua A dalam mata pelajaran. Bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, pencapaian dalam peperiksaan SPM pada tahun 2008 ( 67.0% ), tahun 2009 ( 77.3% ) dan tahun 2010 juga 70% lebih, iaitu mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan dua tahun secara berturut. Beliau juga sempat memperkenalkan konsep agar guru-guru melatih pelajar dapat menjawab dengan " betul-betul betul". Dan sebagai penutup ucapan, beliau telah memberi tahu kepada peserta laporan kualiti pendidikan UNESCO, PBB tahun 2010. Ada empat perkara teras yang dapat mempengaruhi seseorang pelajar, iaitu ciri-ciri murid, keadaan masyarakat, kemudahan asas dan piawaian daerah/negeri/negara sesuai dengan kehendak sesebuah negara.
    Encik Mohd. Hasany Bin Hashim  ( KPP Bahasa, JPN, Kel. )
           Encik Mohd. Hasany Bin Hashim ( KPP, Unit Bahasa, JPN, Kelantan ) sewaktu menyampaikan taklimatnya memaklumkan bahawa kursus yang diadakan pada hari ini merupakan sebahagian daripada aktiviti MBMMBI peringkat JPN, negeri Kelantan. Peruntukan kursus diambil daripada peruntukan MBMMBI dan boleh digunakan kerana panitia/mata pelajaran Kesusasteraan Melayu berada di bawah Unit Bahasa, di JPN. Beliau meminta ketua-ketua panitia dapat berfungsi dengan baik di sekolah. Guru-guru mata pelajaran Kesusasteraan Melayu diharap dapat meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di kelas. Beliau telah membentangkan dan menghuraikan secara terperinci pencapaian mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam PKBS Dua 2011 dan peperiksaan SPM tahun 2010. Beliau telah membandingkan kedua-dua pencapaian tersebut berdasarkan sekolah-sekolah dalam PPD.
    Modul Set Soalan SPM 2011-2012 KM
            Beliau menambah, ke arah untuk meningkatkan lagi pencapaian mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011 di peringkat JPN, Kelantan, terutama dari segi pencapaian kualiti, iaitu A. Beberapa usaha dan strategi telah dilakukan. Di antaranya telah mengadakan kursus penggunaan teks baharu sastera kepada guru-guru sastera negeri Kelantan pada awal bulan Januari, 2011. Mesyuarat guru-guru sastera bagi memurnikan bahan sastera elektif SPM yang dihasilkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian pelajaran Malaysia. Menubuhkan Majlis  Kesusasteraan Melayu Negeri Kelantan di peringkat Jawatan Kuasa Penaja Sementara pada bulan Julai, 2011. Melalui Jawatankuasa Penaja Sementara ini telah berjaya menghasilkan Modul Mutakhir SPM 2011-2012 Kesusasteraan Melayu. Modul ini mengandungi lima set soalan latihan yang lengkap dengan skema jawapannya sekali. Modul set soalan dan skema jawapan ini telah dicetak oleh Syarikat Marshall Cavendish (M) Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Syarikat SUKSES KB Educational Supplies Sdn. Bhd. Setakat hari ini sebanyak 82 buah sekolah di negeri Kelantan telah membuat tempahan. Sebanyak 3,500 naskah telah ditempah oleh guru-guru mata pelajaran Keusasteraan Melayu untuk kegunaan pelajar mereka. Tempahan sama ada melalui panitia mata pelajaran atau pun melalui individu pelajar. Pemasaran modul ini, tumpuannya diutamakan di negeri Kelantan. Tetapi jika negeri-negeri lain di Malasia yang berhajat untuk memilki modul ini bagi kegunaan sekolah atau pelajar mereka, tempahan boleh dibuat melalui Unit Bahasa, JPN, Negeri Kelantan ( Up: Encik Mohd. Hasany Bin Hashim, Hp: 0199107269 ). Harga senaskah RM5.00.
           Beliau cukup bangga dan berpuas hati dengan semangat serta komitmen yang tinggi di kalangan guru-guru sastera di negeri Kelantan pada masa ini. Untuk itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas terutamanya kepada Jawatankuasa Penaja Majlis Kesusasteraan Melayu Negeri Kelantan yang telah bekerja kuat sehingga berjaya menghasilkan produk modul set soalan dan skema jawapan yang julung-julung kalinya dibuat di peringkat negeri.
    Drs. Ab. Aziz Bin Haji Omar ( GC Sastera SMK SI 1 )
           Drs. Ab. Aziz Bin Haji Omar ( GC Sastera ) telah membentangkan dan menghuraikan dengan panjang lebar berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran berkesan di kelas dan kaitannya dengan penggunaan teks sastera elektif baharu tingkatan 4 dan 5. Terdapat pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik yang boleh diaplikasikan guru untuk menarik minat para pelajar taksub terhadap mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Guru-guru KM disarankan mengambil inisiatif mengguna pakai pelbagai bahan dan alat bantu mengajar yang terkini seperti dengan mengakses sumber dari internet, blog, portal dan sebagainya sesuai dengan perubahan dan tuntutan semasa. Walau pun kita kurang bernasib baik kerana terpaksa berhadapan dengan kumpulan pelajar lembam atau lemah, guru-guru mestilah sentiasa bersemangat tinggi dan tidak mudah berputus asa. Mesti ada visi,misi dan perancangan yang profesional selaras dengan visi dan misi sekolah, PPD, JPN dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau  juga sempat mendedahkan format soalan peperiksaan SPM dan hubungkait dengan teks sastera baharu serta tajuk-tajuk penting yang perlu diberi tumpuan dan perhatian yang lebih oleh guru-guru sastera. 
             Sesi soal jawab dengan peserta telah dikendalikan dengan baik oleh Tuan Haji Mustaffa Bin Ibrahim. Segala permasalahan, kekeliruan dan ketidakpastian yang dibangkitkan oleh para peserta telah dapat dijelaskan oleh Tuan Haji Mustaffa dengan memuaskan. Banyak juga soalan dan isu yang dikemukakan oleh para peserta kursus. Semua soalan yang diajukan oleh para peserta telah dapat dijawab dengan baik.  Para peserta nampaknya amat berpuas hati. Adanya pelbagai soalan yang ditimbulkan oleh para peserta, menunjukkan kursus pada hari itu dianggap hidup dan berkesan serta mencapai objektif.

    Sekian terima kasih.

    Laporan disediakan oleh,

    DRS. AB. AZIZ BIN HAJI OMAR
    Pengerusi Jawatankuasa Penaja,
    Majlis Panitia Kesusasteraan Melayu Negeri Kelantan, 2011.

    Tarikh: 6 Oktober, 2011.

    Wednesday 5 October 2011

    Urutan peristiwa-peristiwa penting bab 5 ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

    1. Jalil tidur di reban ayam pada malam hujan lebat.
    2. Jalil tidak pergi ke sekolah kerana bajunya basah.
    3. Jalil pergi ke kampung Guar Cempedak bertemu ibunya untuk bertanya siapa yang telah merobohkan rumah pesaka arwah bapanya itu.
    4. Mak Teh/ibunya memberi tahu kepada Jalil yang dia akan mendirikan rumah di kampung Banggol Lalang, iaitu di atas tanah menantu Pak Long Ayob.
    5. Ibunya memberi tahu kepada Jalil bahawa tanah sawah dan tanah kampung pesaka arwah ayahnya telah pun dijual.
    6. Jalil amat terkejut dan kecewa dengan pemberitahuan/maklumat tersebut.
    Latar masa: malam, dinihari, pagi,
    Latar tempat: kampung Bukit Nibung, reban ayam, kampung Guar Cempedak, kampung Banggol Lalang, Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun, Tanjung Setul, negeri Sarawak.
    Catatan: pada ketika ini Jalil berusia 18 tahun.

    Urutan peristiwa-peristiwa penting bab 4 ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

    1. Mak Teh mengajak Jalil berpindah dari kampung Bukit Nibung ke kampung Guar Cempedak.
    2. Mak Teh memberi tahu kepada Jalil yang dia akan menjual tanah tapak rumah/tanah pesaka arwah Pak Teh/ayahnya.
    3. Jalil enggan/bertegas tidak mahu ikut ibunya berpindah ke kampung Guar Cempedak.
    4. Mak Teh berpindah ke kampung Guar Cempedak dengan menumpang di rumah Pak Long Ayob dan meninggalkan Jalil bersendirian di kampung Bukit Nibung.
    5. Balik dari sekolah Jalil terkejut, kecewa dan sedih melihat rumahnya sudah tiada kerana dirobohkan oleh ibunya/Mak Teh.
    6. Jalil bermalam di bawah pokok kelapa dara di sisi bekas tapak rumahnya.
    Latar masa: pagi, tengah hari, petang, malam, hari Isnin, hampir Maghrib.
    Latar tempat: rumah Jalil/Mak Teh, kampung Bukit Nibung, kampung Guar Cempedak, di simpang jalan ke Bukit Jenun, kampung Titi Bom, Sungai Baru.

    Sunday 2 October 2011

    Sebab-sebab Mak Teh/Ibu Jalil berpindah dari kampung Bukit Nibung ke kampung Banggol Lalang, Guar Cempedak ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

    Di antara sebab-sebab Mak Teh/ibu Jalil berpindah dari kampung Bukit Nibung ke kampung Banggol Lalang, Guar Cempedak dengan menumpang di rumah Pak Long Ayob dan kemudian membina rumah baru di tapak tanah menantu Pak Long Ayob ialah:
    1. Mak Teh tidak dapat menahan malu kepada orang kampung akibat perbuatan Muhsin, anak kesayangannya itu.
    2. Mak Teh berasa dia akan diboikot oleh orang-orang kampung Bukit Nibung dan Bukit Jenun.
    3. Mak Teh tidak sanggup berhadapan dengan orang-orang kampung.
    4. Untuk menjaga keselamatan keluarga yang turut terancam.

    Urutan peristiwa-peristiwa penting bab 3 ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

    1. Biah/Sabariah disahkan berada bersama Muhsin di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
    2. Bomoh Tok Su Dollah memberitahu kepada Mak Teh bahawa Muhsin tidak terlibat melarikan Biah.
    3. Jalil teringat peristiwa yang telah berlaku dua tahun sebelum ayahnya/Pak Teh meninggal dunia.
    4. Jalil telah dimarahi oleh Miss Ong, guru mata pelajaran biologi di sekolahnya kerana prestasi mata pelajaran tersebut semakin merosot.
    5. Jalil ditahan dan dipukul oleh tiga orang pemuda ( Rosman dan rakan-rakannya ) sehingga terjatuh di tengah jalan dalam perjalanan balik dari sekolah.
    6. Jalil pergi ke sawah bendangnya.
    7. Jalil menangis kerana terkenang peristiwa-peristiwa lampau.
    8. Jalil berbincang dengan ibunya/Mak Teh mengenai hubungan Muhsin dengan Biah/Sabariah.
    9. Pak Long Ayob dari kampung Banggol Lalang, Guar Cempedak datang ke rumah Jalil/Mak Teh.
    10. Mak Teh dan Pak Long Ayob pergi ke rumah Pak Ngah Kadir untuk berunding.
    11. Pak Long Ayob dibelasah oleh Pak Ngah Kadir di rumahnya.
    12. Mak Teh dan Jalil lari mengikut Pak Long Ayob ke kampung Banggol Lalang, Guar Cempedak.
    Latar masa: pagi, tengah hari, petang dan malam.
    Latar tempat: di sekolah, di tengah jalan, di rumah Jalil, di sawah bendang, di rumah Pak Ngah Kadir, di rumah sewa Muhsin, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, di kampung Banggol Lalang, Guar Cempedak, di kampung Bukit Nibung.