Thursday 6 October 2011

Kursus Sehari Guru-Guru Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu SPM Negeri Kelantan 2011

Guru-Guru KM ( Peserta kursus, 2011 )
Kursus Sehari Guru-Guru dan Ketua-Ketua Panitia Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu SPM peringkat negeri Kelantan anjuran Unit Bahasa  Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan telah diadakan pada 3 Obtober, 2011 ( Isnin ) bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan, JPN, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Peserta kursus sepatutnya terdiri daripada seramai 102 orang guru berdasarkan jumlah sekolah di negeri Kelantan yang menawarkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif peringkat SPM, tetapi yang hadir cuma seramai 82 orang. Ini mungkin disebabkan masalah teknikal, iaitu surat yang dihantar oleh pihak PPD yang diamanahkan oleh Unit Bahasa, JPN, Kelantan tidak sampai kepada sekolah-sekolah yang guru tidak hadir pada hari tersebut, iaitu seramai 20 orang lagi. Walau bagaimana pun, kursus telah berjalan dengan lancar bermula pada jam 8.30 pagi sehingga jam 2.00 petang seperti dalam aturcara yang telah ditetapkan.
Pendaftaran Peserta Kursus
       Aturcara kursus bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.00 - 8.30 pagi, diikuti dengan ucapan perasmian oleh Tuan Haji Jaafar Bin Ismail ( Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPN, Kelantan ). Taklimat peranan panitia dan tanggung jawab guru-guru mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah oleh Encik Mohd. Hasany Bin Hashim ( KPP, Unit Bahasa, JPN, Kelantan ). Taklimat format soalan peperiksaan SPM berdasarkan teks sastera baharu dan pengajaran berkesan di kelas berdasarkan teks tersebut, disampaikan oleh Drs. Ab. Aziz Bin Haji Omar ( GC Sastera ) dari SMK. Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas, Kelantan. Sesi soal jawab dengan peserta dikendalikan oleh Cikgu Tuan Haji Mustaffa Bin Ibrahim, dari SMK. Pak Badul, Melor, Kota Bharu, Kelantan.
Tuan Haji Jaafar Bin Ismail ( KSPA, JPN, Kel. )
        Perasmian kursus telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Jaafar Bin Ismail ( KSPA, JPN, Kelantan ). Dalam ucapan, beliau memetik pendapat Za'aba yang mengatakan bahawa bahasa ialah alat untuk menyampaikan apa yang dia baca dan fahami kepada masyarakat. Beliau menegaskan bahasa dan sastera mempunyai hubungan yang paling rapat kerana bahasa ialah media sastera. Bahasa perlu didengari, difahami dan dihayati dengan baik.
       Pengerusi/Ketua Panitia mata pelajaran di sesebuah sekolah boleh diibaratkan sebagai CEO dalam sesebuah organisasi syarikat. Peranannya dapat membuat keputusan, menyelesaikan pelbagai masalah yang mencabar, mampu menganalisis item/isu, berfikir secara kolaberasi dan positif. Dalam transformasi pendidikan selaras dengan transformasi kerajaan dan matlamat pendidkan kebangsaan, banyak perubahan yang telah berlaku. NKRA dan KPI merupakan salah satu unsur teras dalam sistem pendidkan kebangsaan pada hari ini. Di antara beberapa dasar pelajaran dalam transformasi yang diperkenalkan seperti LINUS, MBMMBI, JQAF, PKBS, SAPS, dasar mata pelajaran Sejarah dan sebagainya. Masalah besar yang dihadapi di kalangan pelajar pada hari ini ialah, pelajar lebih menguasai data dalam bentuk angka daripada menguasai bahasa. Keputusan peperiksaan SPM pada tahun 2010 di negeri Kelantan, terdapat seramai 178 orang calon yang mendapat semua A dalam mata pelajaran. Bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, pencapaian dalam peperiksaan SPM pada tahun 2008 ( 67.0% ), tahun 2009 ( 77.3% ) dan tahun 2010 juga 70% lebih, iaitu mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan dua tahun secara berturut. Beliau juga sempat memperkenalkan konsep agar guru-guru melatih pelajar dapat menjawab dengan " betul-betul betul". Dan sebagai penutup ucapan, beliau telah memberi tahu kepada peserta laporan kualiti pendidikan UNESCO, PBB tahun 2010. Ada empat perkara teras yang dapat mempengaruhi seseorang pelajar, iaitu ciri-ciri murid, keadaan masyarakat, kemudahan asas dan piawaian daerah/negeri/negara sesuai dengan kehendak sesebuah negara.
Encik Mohd. Hasany Bin Hashim  ( KPP Bahasa, JPN, Kel. )
       Encik Mohd. Hasany Bin Hashim ( KPP, Unit Bahasa, JPN, Kelantan ) sewaktu menyampaikan taklimatnya memaklumkan bahawa kursus yang diadakan pada hari ini merupakan sebahagian daripada aktiviti MBMMBI peringkat JPN, negeri Kelantan. Peruntukan kursus diambil daripada peruntukan MBMMBI dan boleh digunakan kerana panitia/mata pelajaran Kesusasteraan Melayu berada di bawah Unit Bahasa, di JPN. Beliau meminta ketua-ketua panitia dapat berfungsi dengan baik di sekolah. Guru-guru mata pelajaran Kesusasteraan Melayu diharap dapat meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di kelas. Beliau telah membentangkan dan menghuraikan secara terperinci pencapaian mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam PKBS Dua 2011 dan peperiksaan SPM tahun 2010. Beliau telah membandingkan kedua-dua pencapaian tersebut berdasarkan sekolah-sekolah dalam PPD.
Modul Set Soalan SPM 2011-2012 KM
        Beliau menambah, ke arah untuk meningkatkan lagi pencapaian mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011 di peringkat JPN, Kelantan, terutama dari segi pencapaian kualiti, iaitu A. Beberapa usaha dan strategi telah dilakukan. Di antaranya telah mengadakan kursus penggunaan teks baharu sastera kepada guru-guru sastera negeri Kelantan pada awal bulan Januari, 2011. Mesyuarat guru-guru sastera bagi memurnikan bahan sastera elektif SPM yang dihasilkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian pelajaran Malaysia. Menubuhkan Majlis  Kesusasteraan Melayu Negeri Kelantan di peringkat Jawatan Kuasa Penaja Sementara pada bulan Julai, 2011. Melalui Jawatankuasa Penaja Sementara ini telah berjaya menghasilkan Modul Mutakhir SPM 2011-2012 Kesusasteraan Melayu. Modul ini mengandungi lima set soalan latihan yang lengkap dengan skema jawapannya sekali. Modul set soalan dan skema jawapan ini telah dicetak oleh Syarikat Marshall Cavendish (M) Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Syarikat SUKSES KB Educational Supplies Sdn. Bhd. Setakat hari ini sebanyak 82 buah sekolah di negeri Kelantan telah membuat tempahan. Sebanyak 3,500 naskah telah ditempah oleh guru-guru mata pelajaran Keusasteraan Melayu untuk kegunaan pelajar mereka. Tempahan sama ada melalui panitia mata pelajaran atau pun melalui individu pelajar. Pemasaran modul ini, tumpuannya diutamakan di negeri Kelantan. Tetapi jika negeri-negeri lain di Malasia yang berhajat untuk memilki modul ini bagi kegunaan sekolah atau pelajar mereka, tempahan boleh dibuat melalui Unit Bahasa, JPN, Negeri Kelantan ( Up: Encik Mohd. Hasany Bin Hashim, Hp: 0199107269 ). Harga senaskah RM5.00.
       Beliau cukup bangga dan berpuas hati dengan semangat serta komitmen yang tinggi di kalangan guru-guru sastera di negeri Kelantan pada masa ini. Untuk itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas terutamanya kepada Jawatankuasa Penaja Majlis Kesusasteraan Melayu Negeri Kelantan yang telah bekerja kuat sehingga berjaya menghasilkan produk modul set soalan dan skema jawapan yang julung-julung kalinya dibuat di peringkat negeri.
Drs. Ab. Aziz Bin Haji Omar ( GC Sastera SMK SI 1 )
       Drs. Ab. Aziz Bin Haji Omar ( GC Sastera ) telah membentangkan dan menghuraikan dengan panjang lebar berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran berkesan di kelas dan kaitannya dengan penggunaan teks sastera elektif baharu tingkatan 4 dan 5. Terdapat pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik yang boleh diaplikasikan guru untuk menarik minat para pelajar taksub terhadap mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Guru-guru KM disarankan mengambil inisiatif mengguna pakai pelbagai bahan dan alat bantu mengajar yang terkini seperti dengan mengakses sumber dari internet, blog, portal dan sebagainya sesuai dengan perubahan dan tuntutan semasa. Walau pun kita kurang bernasib baik kerana terpaksa berhadapan dengan kumpulan pelajar lembam atau lemah, guru-guru mestilah sentiasa bersemangat tinggi dan tidak mudah berputus asa. Mesti ada visi,misi dan perancangan yang profesional selaras dengan visi dan misi sekolah, PPD, JPN dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau  juga sempat mendedahkan format soalan peperiksaan SPM dan hubungkait dengan teks sastera baharu serta tajuk-tajuk penting yang perlu diberi tumpuan dan perhatian yang lebih oleh guru-guru sastera. 
         Sesi soal jawab dengan peserta telah dikendalikan dengan baik oleh Tuan Haji Mustaffa Bin Ibrahim. Segala permasalahan, kekeliruan dan ketidakpastian yang dibangkitkan oleh para peserta telah dapat dijelaskan oleh Tuan Haji Mustaffa dengan memuaskan. Banyak juga soalan dan isu yang dikemukakan oleh para peserta kursus. Semua soalan yang diajukan oleh para peserta telah dapat dijawab dengan baik.  Para peserta nampaknya amat berpuas hati. Adanya pelbagai soalan yang ditimbulkan oleh para peserta, menunjukkan kursus pada hari itu dianggap hidup dan berkesan serta mencapai objektif.

Sekian terima kasih.

Laporan disediakan oleh,

DRS. AB. AZIZ BIN HAJI OMAR
Pengerusi Jawatankuasa Penaja,
Majlis Panitia Kesusasteraan Melayu Negeri Kelantan, 2011.

Tarikh: 6 Oktober, 2011.

No comments:

Post a Comment