Friday 16 September 2011

msomelayu.blogspot.com

Sajak Kasut dan Kaki: Senjamu di mana?

Jasamu kasut tak terbilang
baktimu kasut tak terhitung
budimu kasut tinggi melangit
 kasut dan kaki bagai lagu dan irama
kasut dan kaki bagai dua sejoli

Ke mana kaki menghulur, di situ kasut menapak
di mana tapak berpijak di sana kasut melepak
kasut pendiding tapak
kasut dan kaki sehala sehaluan
kasut dan kaki ke destinasi yang satu
tak pernah bersilang antara satu
jasamu kasut tak terbayar walaupun hargamu mampu dibayar

Khidmatmu di bawah kulit telapak
hinakah mata memandang
aibkah maruahmu
mampukah insan berlari di hamparan terik mentari
tanpa hadir dirimu di kulit telapaknya?

Kasut berkilat menjadi carit dan robek
kasut dihumban ke pembuangan sampah
menjadi penghuni warga sisa buangan
hancur, musnah dan hilang
tamatlah riwayat sepasang kasut.

Kaki berpaksikan roh dan jasad
terbang roh jasad kaku
kaki pun terkaku jua kerana ada penghujung hayat
tercabut roh, jasad dilianglahadkan
kaki hancur bersama jasad
kembali asal jadian tanah
roh dihisab, ditimbang tara
untuk jua dicampakkan
ke persinggahan kekal....al-firdaus atau al-jahnam
kasut dan kaki terpisah di senja berlainan.

Jeritan batin anak isteri angkara suami berkahwin lagi

Ini bukan cerpen atau cerita pendek dalam karya moden sastera Melayu, tetapi  kisah benar yang berlaku dalam sebuah keluarga. Ditulis untuk dijadikan renungan kepada setiap pembaca yang budiman.
       Dulu arwah ayahku yang telah kembali ke rahmatullah pada Mei, 1988 juga berkahwin dua. Dengan isteri pertama, iaitu ibuku mendapat lima orang anak ( empat lelaki dan seorang perempuan ). Dengan isteri keduanya pula dikurniakan dua orang anak ( seorang perempuan dan seorang lelaki ). Umur isteri mudanya juga tidak panjang, iaitu dalam usia empat puluhan telah dijemput kembali ke rahmatullah oleh Allah SWT. Anak keduanya dengan arwah isteri kedua yang lelaki juga telah meninggal dunia tiga tahun yang lalu. Jadi yang masih hidup lagi ialah bekas isteri yang pertama iaitu ibu kandungku. Semasa arwah ayahku masih hidup, ibu kandungku telah diceraikannya atas desakan arwah nenekku iaitu arwah ibu kepada arwah ayahku. Oleh kerana ayahku seorang alim ulamak yang agak terkenal juga di negeri Pantai Timur ini dan kerana taatnya kepada arwah ibunya itu, arwah ayahku telah menunaikan permintaan arwah emaknya dengan menceraikan talak satu ibuku. Dalam situasi begini tentu sekali arwah ibu tiriku atau arwah isteri mudanya amat gembira yang terlonjak-lonjak. Nasiblah kami lima beradik menghadapi suasana hidup yang hilang cerianya. Bayangkanlah gambaran hidup dalam keluarga yang ayah dan ibunya bercerai tanggal. Walau bagaimana pun tak apalah sebab arwah ayahku seorang ayah yang bertanggungjawab. Aku dan abang diambil dan dipeliharanya di bawah jagaan isteri mudanya. Dan tiga orang adik- beradik lagi dijaga dan dibesarkan oleh ibuku yang tinggal di kampung. Betapa sukar dan susahnya ibuku di kampung menjaga dan membesar adik-adikku yang tiga orang itu. Pada masa itu mereka baru berumur sekitar dua dan tiga tahun. Ibu bekerja menoreh getah, sementara datuk dan nenek pula bekerja di sawah bendang. Pendapatan mereka tidaklah seberapa, hanya sekadar cukup untuk makan minum ala kadarnya. Aku dan abang sulung di bawa arwah ayah bersama arwah isteri muda ke Ipoh dan kami belajar di sana. Tapi tidak lama cuma sekadar dua tiga tahun kemudian berpindah balik belajar di Pantai Timur Semenanjung. Pada masa berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969 dahulu, memang aku bersama abang berada di Ipoh. Pada masa itu arwah ayah bersama arwah isteri mudanya telah kembali ke Pantai Timur dan membuka pondok di suatu jajahan.
       Dengan berkat kesabaran kami adik-beradik, walau pun arwah ayah dan ibu berpisah tetapi dengan izin Allah SWT kami semua berjaya dalam hidup. Semua sekarang bertugas sebagai guru, kecuali abang  sulung bekerja sendiri, iaitu berniaga secara kecil-kecilan. Allah SWT itu memang penyayang dan adil, walau pun ibu di kampung  hidup serba daif dengan seribu cabaran, dia berjaya membesar anak-anak di bawah jagaannya dengan sempurna. Mereka  berjaya menjawat jawatan  guru di sekolah. Betapa sedih, sayu dan terharunya hati seorang ibu apabila dipisahkan oleh suaminya tanpa sebarang sebab. Air mata ibu menitis saban ketika mengenangkan nasib diri dan anak-anak di bawah peliharaannya.Adik-adikku yang masil kecil pada ketika itu  terasa sangat kesedihan dan kepiluan. Dari segi pakaian dan makan minum sudah tentulah amat tidak terurus kerana ibu orang susah dan miskin. Tapi sekarang  ibuku sudah ceria dan gembira di atas kejayaan anak-anaknya itu.
       Rupanya perbuatan arwah ayahku yang pernah berkahwin dua itu, tidak terhenti setakat dirinya sahaja, tetapi diwarisi pula oleh dua orang anak lelakinya. Anak lelaki sulung dan yang kelima. Tepat sungguh pepatah Melayu yang berbunyi bapa borek anak rintek, bapa kencing berdiri anak kencing berlari dan bagaimana acuan begitulah kuihnya.
          Abang sulungku mempunyai empat belas orang anak daripada tiga orang isteri. Tetapi sekarang ada dua isteri sahaja. Isteri muda kedua telah diceraikannya lapan belas tahun yang lalu selepas mendapat seorang anak perempuan. Gaya hidup abangku memang simpel walau pun mempunyai dua tiga orang isteri dan berbelas orang anak. Membiarkan anak-anaknya hidup berkecelawang tanpa pemantauan yang rapi. Contohnya tak pernah ambil tahu  untung nasib anak perempuan dengan bekas isteri keduanya itu. Tapi nasib baiklah budak itu mempunyai seorang ibu yang bertanggungjawab. Dengan nasib malang yang dialaminya kerana ayah dan ibunya berpisah menyebabkan budak ini menjadi matang berfikir. Dan dengan kepintaran otak yang dianugerahkan Allah SWT, dia berjaya dalam bidang pelajaran. Sekarang telah bertugas dengan Syarikat Petronas Malaysia di Kuala Lumpur sebagai  seorang pegawai penting dengan gaji yang agak lumayan. Suasana kekeluargaan yang berlaku dalam rumah tangga abang sulungku ini boleh dikatakan o.k jugalah. Apa boleh buat sudah ditakdirkan begitu. Dia yang mencari pasal.
          Yang sedih, pilu dan tersentuh hati ialah situasi yang berlaku dalam keluarga adik lelakiku yang kelima. Beliau sekarang telah berumur sekitar 48 tahun. Juga berjawatan penting dalam profesion keguruan selepas tamat pengajian tinggi dari salah sebuah universitas di Indonesia. Berjawatan orang nombor dua di salah sebuah sekolah menengah berhampiran dengan sempadan negara jiran. Dalam usia mencecah setengah abad itu, dia sempat dan telah pun beristeri seramai tiga orang. Dengan tiga orang madu tersebut telah dikurniakan zuriat seramai lapan orang iaitu terlebih dua orang daripada abangnya ini ( penulis ). Dengan isteri pertama di sebelah selatan tanah air mendapat empat orang cahaya mata. Bersama isteri kedua di sebelah pantai timur semenanjung pula mendapat dua orang zuriat. Dan dengan madu ketiga termudanya di sebelah selatan negara Gajah Putih, juga dikurniakan dua orang anak.
          Berkahwin lebih daripada seorang isteri dalam agama Islam tidak dilarang, bahkan dituntut jika situasinya terpaksa, misalnya isteri terlalu uzur, tua, sakit-sakit, putus haid, disuruh oleh isteri sendiri dan sebagainya. Tetapi mestilah  memenuhi syarat-syarat  yang termaktub di dalam al-Quran dan al-hadis, seperti berkemampuan, adil, bertanggungjawab, sihat dari segi fizikal, mental, rohani, emosi dan sebagainya . Jangan pakai hentam kromo mengikut nafsu jantan  yang tidak berkesudahan. Kasihan nasib wanita-wanita yang ditakdirkan menjadi isteri kita jika tidak mampu melunasi tanggungjawab sebagai suami secara adil dan saksama. Apa lagi terhadap anak-anak yang selalu  ditinggalkan  oleh ayah mereka. Jiwa dan naluri anak-anak akan merintih dengan penuh syahdu dan bergelora sepanjang masa. Lazimnya si suami yang bermadu lebih daripada seorang, agihan masa terlalu banyak diperuntukan bersama dengan isteri yang paling bongsu. Paling bongsu bermakna paling muda dan di situ ada zat dan nikmatnya, sehingga amat sedikit masa untuk bersama dengan isteri pertama dan kedua. Gejala semacam ini menggambarkan satu aspek ketidakadilan berumah tangga di alam poligami. Dan perlakuan seperti inilah yang paling tidak disukai oleh isteri-isteri yang terdahulu. Jika benar amalan seumpama ini berlaku, adalah menjadi beban dosa yang besar terpikul di atas bahu  sebagai suami kerana gagal mengaplikasikan konsep keadilan dan kesamarataan berumah tangga.
      Episod dan proses pernikahan pertama, kedua dan ketiga  telah pun berlangsung. Dalam hal ini tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi nasihat dan melarang, apa lagi untuk menghalang, sama ada oleh ibunya sendiri atau pun oleh adik-beradik. Ini kerana proses pernikahan kali kedua dan ketiga itu berlangsung secara rahsia atau pun sembunyi-sembunyi. Berlaku di luar pengetahuan dan keizinan ibu dan adik-beradik. Oleh kerana adegan ini telah pun berlaku, ibu dan adik-beradik tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Terpaksa menerima hakikat dan kenyataan. Terpaksa menelannya walau pun pahit. Mungkin sudah ditakdirkan Allah SWT keadaannya sebegitu.
     Tetapi apa yang hendak diulaskan di sini ialah pengisiannya apabila sudah bermadu tiga. Ketiga-tiga wanita yang dinikahi secara sah ini dan kini telah bercahaya mata sepatutnya dijaga hati dan perasaan mereka. Wanita golongan yang lemah, hatinya lembut, halus dan perasaannya suci murni. Bagi wanita, selepas berkahwin atau berumah tangga, kepada suamilah tempat mereka bergantung harap selain daripada anak-anaknya. Tempat mereka menyatakan perasaan, berkongsi fikiran, mengadu, bersuka-sukaan dan teman hidup sepanjang hayat. Kalau suami sudah tidak kisah kepadanya, alangkah hampa dan hancurnya hati seorang perempuan, hidup ibarat layang-layang terputus tali. Terutama kepada suami pertama yang dinikahinya, dia tidak akan dapat melupakan sepanjang hayat segala peristiwa yang dialami semasa bersama dengan kita. Persoalan ini harus direnung secara mendalam. Jiwa raga wanita harus kita fahami selaku seorang suami.
     Jadi, adalah amat tidak tepat dan tidak bijaksana isteri pertama di suruh kembali ke rumah orang tuanya di selatan tanah air bersama anak-anaknya sejak berbelas tahun yang lalu dan kita pula terlalu jarang menjengoknya. Jangan digantung tanpa bertali isteri pertama itu. Siksa jiwa dan raganya. Anak-anak yang empat orang itu kesemuanya perempuan, manis-manis belaka. Sekarang mereka mungkin sudah besar panjang, bahkan yang sulung sudah pun berada di IPTA. Bagaimana perasaan isterinya tak dapat dibayangkan. Tetapi sudah pasti sedih, keciwa, sayu, hampa dan bergelora sekali hidupnya. Hidupnya tidak ceria, riang dan tenang seperti yang dialami oleh isteri-isteri orang lain. Nasib baiklah isteri pertama adikku itu juga seorang guru berijazah dan bertugas di salah sebuah sekolah menengah di selatan tanah air. Dari segi ekonomi dan kewangan barangkali tidak menghadapi masalah. Yang bermasalah ialah jiwanya dirundung malang akibat karenah suaminya iaitu adikku itu. Bagaimana pula nasib dan perasaan anak-anaknya. Pada fikiranku anak-anaknya tentu sekali hidup dalam perasaan tertekan, gelisah, resah, hampa dan kecewa. Tidak riang gembira seperti kanak-kanak lain yang ibu bapanya hidup sebumbung. Ayahnya enam bulan sekali datang bertanya khabar, bahkan kadang-kadang dalam setahun hanya sekali menjengok muka. Bayangkan bagaimana perasaan budak-budak ini apabila tibanya hari perayaan. Tidak bersama dengan bapa kandungnya, sedangkan kanak-kanak lain pada hari yang berbahagia tersebut mereka bergandingan tangan menghayun langkah menuju ke masjid-masjid atau pun ke surau-surau yang berhampiran. Di sekolah pula tentu kawan-kawannya akan bertanya mana ayah kamu?  Rakan-rakan yang nakal pula akan menyindir sinis budak tak ada bapa. Malu air muka anak kita. Maruahnya jatuh dan sekaligus jiwanya tersentuh. Batinnya menjerit dan nalurinya meraung. Kasihan anak-anak itu yang masih kecil yang memerlukan banyak sokongan semangat dan tunjuk ajar daripada bapa kandungnya. Tapi sayang sekali bapa kandungnya pula tidak sempat  berfikir ke arah itu kerana seronoknya berada di rumah madu  bongsu ( isteri ketiga ).
       Bagaimana pula suasana yang berlaku di rumah madu kedua dari pantai Timur. Madu kedua ini mempunyai dua orang anak hasil perkongsian hidup bersamanya hampir enam tahun yang lampau. Seorang perempuan berumur sekitar lima tahun dan adik lelaki berumur empat tahun. Kedua-dua beradik ini bukan main lagi nakalnya tetapi petah bertutur kata. Apabila ditanya mana abah, anak ini menjawab berada di rumah bini mudanya di selatan sempadan negara. Adik sayang tak kepada abah, dia jawab tak sayang. Mengapa adik tak sayang kepada abah? Dia jawab sebab abah jarang-jarang balik ke rumah sejak berbini tiga. Ibu kepada anak-anak ini bercucuran air mata tanpa disedari apabila mendengar jawapan daripada anak-anaknya itu. Ibu kepada dua orang anak ini, iaitu madu kedua adikku memaklumkan yang suaminya sudah tiga bulan tak balik ke rumah. Kalau balik pun sekejap sahaja,  tak sempat  bermalam, apa lagi untuk bermesra dengan anak-anak yang masih kecil ini. Dari segi wang ringgit tak usahlah ditanya, sudah lama  tidak dihulurkan kepada isteri kedua ini dan kepada anak-anaknya. Nasib baik jugalah ibu kepada kedua orang anak ini berjawatan tetap sebagai kaki tangan sokongan di salah sebuah sekolah di negeri pantai Timur. Kalau tidak, entah apa nasib mereka bertiga. Wajah madu keduanya ini nampak lusuh, murung dan muram kerana menanggung beban sengasara jiwa yang amat sangat. Pilu dan hiba hatiku melihat situasi hidup isteri pertama dan kedua adikku ini. Tetapi apa yang boleh aku lakukan, cuma sekadar dapat memberi semangat dan menyuruh mereka bersabar menghadapi hakikat hidup bermadu. Beristighfar dan berdoalah kepada Allah SWT.
      Aku, adik-beradik  dan ibu yang masih hidup di kampung tak faham langsung sikap dan karenah adikku yang berbini tiga ini. Kami semua bukannya marah kerana bermadu tiga, tetapi yang kami sangat kesal ialah sikap dan tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan anak-anaknya itu. Isteri pertama bersama dengan anak-anaknya di selatan tanah air dibiarkan dan  diabaikan begitu sahaja. Lima enam bulan tak pernah pergi jengok sekali pun. Terhadap isteri kedua bersama dengan anak-anaknya di sebelah pantai timur pun begitu juga. Jadi yang dijulang dan dijunjung ialah  isteri ketiga di sempadan negara jiran. Aku nampak adikku ini otak dan mindanya semacam telah terputar. Sepatutnya sebagai seorang cendikiawan yang berpelajaran tinggi sehingga ke menara gading,  dapat berfikir secara rasional dan penuh bijaksakna. Mesti berani bertanggungjawab di atas tindakan dan perbuatan kita. Jangan pakai main lepas tangan dan ikut emosi sesuka hati begitu sahaja. Yang kita berhadapan ini ialah manusia, iaitu insan makhluk tuhan yang ada hati perut, perasaan dan naluri. Hati, perasaan dan jiwa mereka perlu juga dijaga, lebih-lebih lagi zuriat kita yang masih kecil-kecil itu. Janganlah kita mengubah fungsi otak matematik yang terletak di sebelah kiri itu ke sebelah kanan dan bahagian otak yang berfungsi sebagai artistik yang terletak di sebelah kanan itu dipindahkan ke sebelah kiri pula. Beginilah terjadinya suasana, kalau kita lebih mendahulukan perasaan dan membelakangkan pemikiran. Cubalah berfikir barang sejenak, adakah betul tindakan yang dibuat seperti yang berlaku sekarang.
     Sekarang, masa masih belum terlambat untuk kembali meletakkan asas kehidupan yang betul walau pun dalam suasana berpoligami. Laksanakan prinsip kesamarataan dan keadilan  terhadap isteri-isteri dan anak-anak kita itu. Buatlah giliran yang betul dan tunaikan. Orang lain yang bermadu empat pun tidak timbul masalah seperti ini. Kunjungilah rumah-rumah isteri kita  itu dan meminta maaf kepadanya di atas segala kesilapan dan kecuaian yang lalu, semoga dengan kemaafan daripada isteri-isteri itu, hidup kita akan lebih bahagia, selamat dan diberkati Allah SWT. Berdoa dan beristigfar kepada Allah SWT, jangan sampai sehingga kita sudah terkena baru nak insaf. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna. Sesungguhnya ister-isteri dan anak-anak kita itu semuanya sangat sayang kepada kita sebagai suami dan bapa. Mereka sepanjang masa  mengharapkan bapanya kembali ke pangkal jalan bersama-sama dengannya untuk melayari hidup yang penuh ceria, bahagia dan sentosa.

Wednesday 14 September 2011

Kursus Latihan DalamPerkhidmatan ke-2, 2011: Guru-Guru dan Kaki Tangan Sokongan SMK Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas, Kelantan

Kursus LDP ke-2 guru-guru dan kaki tangan sokongan SMK. Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas, Kelantan  akan diadakan pada 17 September, 2011 ( Hari Sabtu ), bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Jalan Rantau Panjang, Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan. Peserta kursus terdiri daripada seramai 135 orang guru dan 20 orang kaki tangan  sokongan.
       Kursus sehari anjuran SMK SI (1) ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran terhadap tanggungjawab guru-guru dan kaki tangan sokongan sebagai penjawat awam. Juga supaya  guru-guru dan kaki tangan sokongan senantiasa bermotivasi tinggi ke arah untuk mencapai visi dan misi sekolah iaitu SMK SI (1) Gemilang 2013. Di samping menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan isu-isu semasa terbaharu yang akan disampaikan oleh para penceramah jemputan. Untuk menggapai dua objektif besar kursus di atas, pihak sekolah telah mengundang dua penceramah yang cukup arif dalam bidang masing-masing. Dua orang penceramah yang dimaksudkan ialah Yang Berusaha Tuan Haji Zahari Bin Daud ( Timbalan Pengarah Pelajaran Kelantan ), Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan dengan tajuk syarahan Pengurusan headcount secara berkesan dapat meningkatkan pencapaian dan prestasi dalam peperiksaan awam. Tuan Haji Abd. Razak Bin Mat Saat ( Mantan Ketua Sektor Pendidikan Islam ), JPN Negeri Kelantan dengan tajuk syarahan tanggungjawab penjawat awam dari perspektif Islam. Kedua-dua tajuk syarahan yang bakal disampaikan oleh dua orang tokoh pendidik di negeri Kelantan ini adalah amat relevan dan korelasi sekali dengan peserta kursus sesuai dengan keadaan dan tuntutan semasa kini.
        Pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah sangat berharap selepas daripada menghadiri kursus LDP ini, guru-guru dan kaki tangan sekolah akan dapat memanfaatkan segala pengetahuan dan maklumat yang diperolehi dengan sebaik mungkin bagi  meningkatkan diri masing-masing. Semoga sistem penyampaian sebagai penjawat awam akan lebih berkesan lagi.

Penyelaras Kursus LDP 2011,        
SMK. Sultan Ibrahim Satu,
Pasir Mas, Kelantan.

Monday 12 September 2011

Sajak: Buat apa? Untuk apa? Dan mengapa?


Buatlah yang terbaik
buatlah yang cemerlang, gemilang dan terbilang
buatlah secara halusi
buatlah secara teliti
buatlah yang rasional
buatlah yang disukai ramai
buatlah untuk kebaikan dan kemajuan diri
buatlah untuk kesejahteraan keluarga
buatlah yang disenangi jiran
buatlah yang disukai sahabat handai
buatlah yang bermanfaat kepada bangsa, negara dan nusa
buatlah yang boleh meningkatkan kekuatan iman
buatlah yang boleh memartabatkan bangsa, budaya dan seni
buatlah yang boleh meningkatkan syiar Islam
buatlah yang boleh disanjung oleh masyarakat
buatlah yang boleh meningkatkan amal ibadat untuk ke akhirat

Untuk apa?
Untuk masa hadapan yang cemerlang, gemilang dan terbilang
untuk kesejahteraan dunia dan akhirat
untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat
untuk pembangunan bangsa, negara, nusa dan agama
untuk berada di landasan hidup yang sejati
untuk dikenang jasa bakti
untuk terpilih ke syurga Ilahi

Dan mengapa?
Hidup ada penghujungnya.... mati
dunia adalah gedung pelaburan
insan adalah modalnya
keuntungan adalah pahala dan kebaikan
kerugian adalah dosa dan maksiat
yang muda akan tua
yang kuat akan lemah
yang segar akan sakit
yang luas akan sempit
yang banyak akan sedikit
yang pintar akan nyanyuk
yang ramai akan berkurangan
yang dekat akan jauh
yang bernafas akan terputus.....





akademikbahasa.blogspot.com