Friday 16 September 2011

Sajak Kasut dan Kaki: Senjamu di mana?

Jasamu kasut tak terbilang
baktimu kasut tak terhitung
budimu kasut tinggi melangit
 kasut dan kaki bagai lagu dan irama
kasut dan kaki bagai dua sejoli

Ke mana kaki menghulur, di situ kasut menapak
di mana tapak berpijak di sana kasut melepak
kasut pendiding tapak
kasut dan kaki sehala sehaluan
kasut dan kaki ke destinasi yang satu
tak pernah bersilang antara satu
jasamu kasut tak terbayar walaupun hargamu mampu dibayar

Khidmatmu di bawah kulit telapak
hinakah mata memandang
aibkah maruahmu
mampukah insan berlari di hamparan terik mentari
tanpa hadir dirimu di kulit telapaknya?

Kasut berkilat menjadi carit dan robek
kasut dihumban ke pembuangan sampah
menjadi penghuni warga sisa buangan
hancur, musnah dan hilang
tamatlah riwayat sepasang kasut.

Kaki berpaksikan roh dan jasad
terbang roh jasad kaku
kaki pun terkaku jua kerana ada penghujung hayat
tercabut roh, jasad dilianglahadkan
kaki hancur bersama jasad
kembali asal jadian tanah
roh dihisab, ditimbang tara
untuk jua dicampakkan
ke persinggahan kekal....al-firdaus atau al-jahnam
kasut dan kaki terpisah di senja berlainan.

No comments:

Post a Comment