abazizomar@gmail

Thursday, 14 August 2014

Cerita perjalanan menghadiri mesyuarat JK WARIS Pertama 2014 di Kuala Lumpur dengan menaiki Kereta api Senandung Wau dan pengalaman selama dua hari di bandaraya Kuala Lumpur


Jika tidak dengan keizininan Allah swt, sesuatu yang dirancangkan tidak akan tercapai pada sasarannya. Syukur alhamdulillah jua kerana dengan limpah dan izin-Nya kami berdua ( Aziz dan Nik Alwan ) dapat tiba dengan selamatnya di tempat yang dicadangkan untuk bermesyuarat iaitu di SMK. Sinar Bintang, Segambut, Selangor, walau pun agak terlambat sedikit disebabkan jalan jem setengah mati. Kami berdua ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta api mail malam Senandung Wau.

  
       Kereta Api Senandung Wau yang kami naiki ini memang menepati masa seperti juga masa berlepas flight Airasia, Mas, Malindo dan Fire Fly. Kebiasaannya kelau lima minit terlambat para penumpang tidak lagi dibenarkan untuk check in. Maka terkantung-kantunglah si penumpang tersebut di airport berkenaan. Untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang dimaksudkan, penumpang berkenaan terpaksa membeli tiket baru atau tiket waiting list yang harganya lebih mahal daripada harga tiket asal yang dibeli lebih awal. Itulah sebahagian daripada karenah hidup di dunia yang mahu tidak mahu  kita terpaksa lalui.
      Tepat jam 6.30 petang pada 8 Ogos, 2014 ( Jumaat ), seperti yang tercatat dalam tiket, Kereta Api Senandung Wau pun tiba. Saya dengan tenang melangkah kaki masuk ke dalam perut kereta api tersebut dengan sempat melambaikan tangan kepada si isteri yang menghantar di stesen kereta api Pasir Mas. Di dalam perut kereta api yang sudah mula bergerak perlahan-lahan itu, saya berjalan di celah lorong mencari tempat duduk tidur bernombor W4/12. Selepas setengah jam bergerak di landasan berkembarnya, kereta api pun tiba pula di stesen Tanah Merah. Dengan sepantas kilat, kawan saya yang berbaju merah kelabu itu ( Drs. Haji Nik Alwan ) melompat masuk ke dalam perut kereta api melalui pintu yang sedia ternganga. Dia mencari tempat duduk tidur bernombor W4/10 yang bertentangan dengan tempat duduk saya.di lantai bawah. Kami berborak dengan panjanbg lebar dan diselingi ketawa hilai yang ditelan oleh bunyi suasana kereta api yang tidak menyoronokan. Geh-geh, pak-pak, gedung-gedung, ping-ping., kring-kring, tuk-tuk, pruk-pruk, suh-suh, gegeng-gegeng dan macam-macam lagi ragam dan variasi bunyi kereta api malam ini.   Saya meminta kebenaran daripada Drs. Haji Nik Alwan untuk membuat sedikit kajian terhadap berbagai bunyi kereta api malam yang kurang menyeronokan ini. Salah satu daripada puncannya ialah kerana lantai penyambung di antara satu gerabak dengan yang lain itu bergeser dan terantuk, yang kedua pintu tandas yang penyelaknya rosak dan banyak lagi yang saya tidak nampak kerana malam yang gelap pekat.
        Kami memilih untuk menaiki kereta api daripada menaiki flight, bas dan kereta sendiri kerana ada keistimewaan tersendiri pada kereta api.Kalau menaiki pesawat udara, saya terpaksa mengorbankan masa dua jam lebih sebelum flight depature. Dari rumah ke airport Pengkalan Chepa sahaja mengambil masa perjalanan lebih kurang 45 minit dalam keadaan trafik biasa. Menaiki bas pula terpaksa berdiri menunggu bas di bawah pokok di antara setengah jam hingga ke satu jam, kerana bas dari bandar Pasir Mas ke Kuala Lumpur lazimnya tidak pernah menepati masa seperti yang tercatat dalam tiket yang dibeli. Naik kereta sendiri pula, akan terasa keletihan memandu dalam jarak jauh lebih kurang 550 kilo meter itu. Lagi pun bimbang berlaku kerosakan kereta di tengah jalan. Mahu tidak mahu, pilihan terakhir ialah dengan menggunakan perkhidmatan kereta api malam. Banyak kemudahan dalam kereta api ini, di antaranya masa perjalanan yang tepat. Ada tempat tidur kelas dua selain dari tempat duduk kelas tiga. Harga tiket 40% diskaun bagi warga emas atau kaki tangan kerajaan yang berpencen. Kos tiket dari stesen Pasir Mas ke KL Central untuk satu perjalanan cuma RM41.00 bagi  koc kelas dua tempat tidur. Dalam koc kelas dua, selain daripada katil bertingkat secara bertentangan, terdapat dua tandas di hujung setiap gerabak yang juga bertentangan. Keadaan tandas sangat bersih, tidak berbau dan air yang cukup laju. Keadaan tandas yang sentiasa bersih dan tidak berbau ini kerana setiap kali kereta api tiba di stesen besar, tukang cuci tandas akan melompat naik dan membersihkannya. Dalam kereta api, terdapat satu gerabak penuh yang dijadikan kantin untuk para penumpang berkantin di situ. Kantin pula dibuka sepanjang 24 jam dengan menjual pelbagai makanan dan minuman, dari telur rebus hinggalah ke nasi lemak, nasi goreng dan mee goreng. Harga yang dicharge untuk makanan dan minuman tidaklah seberapa mahal. Harga mesra rakyat yang mampu dibayar oleh semua penumpang. Keistimewaan lain yang terdapat dalam gerabak kereta api malam ini, ialah adanya tempat sembahyang khas yang dibina separuh daripada satu gerabak. Oleh itu, para penumpang boleh menunaikan solat pada bila-bila masa sahaja sebaik masuk waktu sembahyang. Di tempat duduk tidur kelas dua yang berlangsir itu, para penumpang pula boleh duduk, tidur, bersila, membaca al-Quran, berdoa, bertahlil, wirid dan sebagainya tanpa sebarang gangguan. Oleh kerana gerabaknya panjang dan banyak, jika para penumpang berasa puas berada di tempat duduknya sama ada di kelas tiga atau dua, dia boleh berjalan mundar-mandir melalui lorong dalam gerabak dari satu gerabak ke gerabak yang lain. Dari koc akhir hinggalah ke koc yang menghubungkan dengan lokomatif. Dan keistimewaan lain juga, penumpang yang ketagih candu dapat mencuri-curi menghisapnya di tangga pemisah gerabak yang berhampiran dengan tandas berkapit... .
      Perjalanan kereta api malam ini boleh tahan juga lajunya membelah bukit, menyusul lereng, memasuki terowong dan menyeberangi jambatan sungai. Pada jam 11.00 malam kami pergi minum kopi panas di kantin dalam gerabak khas kereta api. Jam 12.00 malam kami tiba di stesen Gua Musang. Selepas itu kami terlena dan terlelap dengan nyenyaknya kerana keletihan dikocak gerabak kereta api. Dan sekali sekala terjaga oleh gegaran gerabak kereta api.Jam 3.30 pagi kami tiba di Gemas. Kami bangun bersolat Subuh pada jam 6.30 pagi di musalla dalam gerabak khas. Jam 8.15 pagi tiba di stesen Seremban. Jam 9.00 pagi tiba di stesen Kajang dan pada jam 9.35 pagi, 9 Ogos 2014, ( Sabtu ), kami pun tiba dengan selamatnya di stesen KL Central.
 



       Ketibaan kami berdua di stesen KL Central telah sedia ditunggu oleh anak Dr. Suhaimi Kadir ( Zairi ). Dengan tanpa membuang masa, kami bertiga pergi ke tempat bersarapan pagi berhampiran dengan masjid negara. Kami bertiga bersarapan pagi dengan nasi lemak dan meminum teh tarik. Setengah jam kemudian, kami bertolak ke rumah teres bertingkat Dr. Suhaimi Kadir yang terletak di jalan Ipoh untuk berehat dan mandi manda di sana.


      Pada jam 12.00 tengah hari, kami keluar dari rumah Dr. Suhaimu Kadir dengan menaiki kereta yang dipandu oleh anaknya untuk pergi menjemput Dr. Suhaimi ( ayahnya ) yang sudah pun tamat bermain golf lapan belas lubang di Padang Golf, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, di pinggir bandaraya Kuala Lumpur. Di situ kami bertiga bersarapan pra makan tengah hari dengan mee goreng dan chickenpot. Selesai bersarapan, kami pergi ke masjid Damansara Height untuk solat Zohor berjemaah. Dari masjid Damansara Height, kami bertiga pergi ke KL Central sekali lagi untuk menjemput Dato Dr. Mohd Zain Yusof yang baru tiba dari KLIA2 dengan menaiki ERT. Pada jam 2.45 petang kami bertiga bertolak dari KL Cenral ke tempat mesyuarat, iaitu di SMK. Sinar Bintang, Segambut. Jalan raya dan lalu lintas yang luar biasa gila punya jem pada sebelah petang hari Sabtu, menyebabkan kami tiba agak terlambat di tempat mesyuarat. Sudahlah jalan raya agak teruk jem, ditambah pula dengan masalah teknikal GPS kepunyaan Dr Suhaimi yang terpacak di dashboard kereta BMWnya mati dengan tiba-tiba. Kami berhenti sebentar di tepi jalan kerana kehilangan arah untuk dituju. Saya mengambil GPS Papa Go yang dibawa dari rumah untuk menggantikan GPS Dr. Suhaimi, tetapi entah bagaimana GPS saya lagi beronar. Segala punat yang dipetik semuanya  tidak menjadi. Nasib baik GPS Dr. Suhaimi dapat berfungsi semula dan kami meneruskan pencarian tempat mesyuarat dan akhirnya kami tiba pada jam 3.45 petang.

Drs Haji Che Yahya Bin Che Soh ( Pengetua SMK Sinar Bintang )
                                                      
SMK SINAR BINTANG, SEGAMBUT, SELANGOR







      Ketibaan kami bertiga di dataran tar SMK. Sinar Bintang telah disambut dengan senyum simpul oleh Tuan Pengetuanya Drs. Haji Che Yahya Bin Che Soh merangkap Naib Yang Dipertua WARIS sesi 2014/2016. Sebelum masuk ke dewan tempat bermesyuarat, saya sempat meninjau-ninjau kawasan persekitaran sekolahnya. Pada saya, persekitaran sekolahnya aduh sangat ceria, kemas, bersih, menarik, menyegarkan dan indah. Banyak slogan kata yang menarik dan bermakna bergantungan dan terpampang di dinding semen varenda sekolah. Di antara slogan kata yang amat bererti antara lain " Kami datang dengan harapan dan kami pulang dengan kejayaan". Kawasan penghijauan yang amat menarik dengan tanaman pokok buloh minyak dan reban burung yang pelbagai spesis. Terasa tenang yang amat sangat apabila berada di dalam kawasan sekolah ini. Gambaran keceriaan fizikal sekolah ini yang menarik, cantik dan berkualiti sebenarnya ada hubungkait secara langsung dengan pengurusan sekolah ( Tuan Pengetua ) yang sentiasa ceria, semat, berwawasan, perihatian, berwibawa, berhemah, berpandangan jauh, berkemampuan, berketrampilan dan bertanggungjawab dengan sepenuhnya terhadap bidang tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. Selain daripada pengurusan berkualiti dengan mendapat kerjasama yang padu daripada semua kaki tangan sekolah, daripada jaga pintu pagar sekolah sehinggalah kepada pucuk pimpinan ( Pengetua ). Syukur alhamdulillah kerana ada di antara warga WARIS yang telah diberi kepercayaan oleh KPM untuk memimpin dan mengurus salah sebuah sekolah elit di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
          Menjejak kaki ke dalam dewan tempat bermesyuarat, terkejut pula kami bertiga kerana sudah terhidang dengan tersusunnya tiga hidangan makan tengah hari dengan beberapa jenis lauk yang memberahikan liur. Di antara menunya ialah udang galah masakan tumis, daging kerutuk, arca, ayam kampung goreng, telur goreng, sambal lada, sayur goreng dan lain-lain. Pendek kata sempit perut untuk di isikan.



             Mesyuarat AJK WARIS Pertama bermula pada jam 4.30 petang dengan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato Dr. Mohd. Zain Bin Yusof selaku YDP WARIS 2014/2016. Kehadiran AJK ke mesyuarat kali pertama yang dibuat di luar negeri Kelantan ini amat membanggakan iaitu 10 orang ahli daripada 16 orang. Satu suasana yang agak di luar jangkaan. AJK dari negeri Melaka, Pahang, Kelantan dan Perak turut hadir selain yang tinggal di Kuala Lumpur/negeri Selangor.


         Agenda mesyuarat dimulakan dengan Pengerusi Dato Dr. Mohd. Zain Yusof ( YDP ) meminta Drs. Haji CheYahya Che Soh ( Pengetua SMK Sinar Bintang ) membacakan doa selamat. YDP seterusnya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Drs. Haji Yahya yang telah membenarkan sekolahnya sebagai tempat mesyuarat kali pertama AJK WARIS. Juga berterima kasih kerana ringan tangan menyediakan makan tengah hari kepada AJK semua. YDP mengucapkan terima kasih kepada AJK yang sanggup datang dari jauh ( Perak, Kelantan, Pahang dan Melaka ) semata-mata untuk mesyuarat AJK bagi kepentingan masa hadapan WARIS. Kehadiran AJK semua pada hari ini melambangkan betapa bersemangatnya Tuan-Tuan dan Puan-Puan untuk menggerakkan masa depan WARIS.
       Mesyuarat diteruskan dengan agenda membentangkan aspek kekuatan dan kelemahan pada majlis perasmian pelancaran WARIS di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Ogos 2014 yang lalu. Dr. Suhaimi Kadir ( TYDP ) melaporkan pada keseluruhannya majlis telah berjaya dan berjalan dengan lancar, cuma ada kelemahan-kelemahan kecil yang dapat dikesan yang perlu diatasi pada masa-masa yang akan datang seperti persiapan tempat dan hiasan yang kurang menarik, sistem PA yang kurang memuaskan dan juruacara berada di atas pentas yang sepatutnya berada di bawah pentas kerana boleh mengganggu tetamu kehormat yang akan mengambil giliran untuk bercakap. Beliau membuat sedikit komen kepada AJK persiapan tempat dan peralatan ( Drs. Haji Nik Alwan Nik Mohd. Amin ) yang kurang berfungsi dari segi tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada beliau. Drs. Nik Alwan memohon maaf kepada semua AJK kerana tidak menyangka yang tugas dan tanggungjawabnya tidak dilaksanakan dengan baik. Drs. Haji Hamsa membangkitkan soal perlantikan penasihat dan penaung WARIS. Menurut pandangan beliau adalah lebih wajar kalau Tuan Haji Zahari Awang ( Abang Z ) dilantik sebagai penaung WARIS dan Pak Khamis sebagai penasihat kerana dari segi komitmen sosial kepada pelajar lebih banyak Tuan Haji Zahari Awang. Tuan Haji Zahari Awang yang telah membawa ramai pelajar negeri Kelantan ke Medan, Sumatera Utara dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an. Jadi sebagai satu tanda penghargaan patut diberi kepadanya sebagai mengenang jasa. Sedangkan Pak Khamis hanya mengurus pelajar setelah berada di Medan, Sumatera Utara. Walau bagaimana pun majoriti majlis bersetuju menerima Pak Khamis dilantik sebagai penaung WARIS disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Drs. Haji Wan Roslan Haji Wan Yaacob pula melihat majlis reunion yang lepas agak kelam kabut sedikit dan ada kelemahan-kelemahan tertentu yang boleh diatasi untuk masa-masa hadapan ke arah yang lebih mantap. Justeru itu, beliau mencadangkan untuk majlis-majlis besar seumpama ini pada masa-masa hadapan, perlu diwujudkan satu jawatankuasa khas, iaitu jawatankuasa sambutan.Lontaran idea beliau tersebut dapat diterima dengan sebulat suara oleh ahli majlis mesyuarat. Dr. Zubir Hassan mencelah dengan mengatakan slot bercerita nostalgia oleh alumni dirasakan tidak begitu wajar diadakan kerana para hadirin bukan semuanya alumni dari Sumatera, tetapi yang datang bersama ialah isteri-isteri, anak-anak dan cucu-cucu para alumni. Jadi mereka ini tidak dapat menghayati segala cerita yang dibentangkan. Pada mereka adalah sesuatu yang agak membosankan kuping telinga. Drs. Haji Yahya Che Soh membuat kesimpulan ringkas, bahawa pada keseluruhannya majlis reunion yang lepas telah berjaya tanpa sebarang kecacatan, sebab kalau pun ada secara kecil-kecilan orang luar tidak nampak, kecuali kita yang dari dalam ini yang nampak. Ini ditambah dengan perubahan mendadak secara addhoc kehadiran Pak Khamis ke majlis daripada jadual  asal.


       MSO, tanpa diminta oleh Dato Pengerusi telah mencelah, bahawa PA sistem dan sound box terhenti sebentar sewaktu majlis sedang berlangsung ialah kerana wayer kabel PA sistem telah ditarik oleh cucunya dengan tidak sengaja. Tetapi beliau dengan pantas dapat menyambung semula kabel tersebut sehingga audien tidak perasan. Memberi respon terhadap pertanyaan Pengerusi/YDP cara-cara untuk meramaikan ahli WARIS pada masa hadapan, beliau mencadangkan agar WARIS dibuka secara meluas tanpa terbatas kepada alumni tahun 1970-an - 1980-an sahaja. Risalah WARIS perlu diwar-warkan kepada seluruh alumni yang berada di seluruh pelusuk tanah air melalui pelbagai medium ( Blog, FB, Twitter, majalah, surat khabar, buletin, mesej, watsap dan sebagainya ).WARIS dalam masa yang dekat ini perlu segera mengadakan hubungan dengan Bahagian Pelajar Luar Negara, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapat maklumat terkini alumni Malaysia dari Sumatera. AJK WARIS perlu segera mengadakan hubungan awal dengan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pelbagai intitusi pengajian tinggi di Pulau Sumatera bermula dari sekakarang. Satu misi penjelasan mengenai WARIS perlu diberikan penerangan kepada mereka di sana.Imej atau gelaran ijazah yang  ada pada alumni hasil pemberian universitas tempat alumni belajar hendaklah dikekalkan penggunaannya bagi mereka yang ada. Kerana imej tersebut amat besar makna dan nilainya. Dato Pengerusi/YDP mencelah dengan memaklumkan kepada ahli majlis mesyuarat bahawa Dato AS Khamis mahukan dengan segera profil alumni Malaysia dari Sumatera sehingga sekarang yang berada dalam negara. Maklumat seperti berapa ramai bilangan, jawatan, tempat bertugas, alamat dan sebagainya. Demikian juga bilangan pelajar yang sedang menuntut di Pulau Sumatera sekarang.

   
      Setiausaha melaporkan kepada ahli majlis mesyuarat, bahawa Majlis Reunion dan Perasmian Pelancaran WARIS pada 1 Ogos, 2014 di Dewan Kelab Suara Muda, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini pada hakikatnya telah berjaya dengan berkesannya. Untuk menilai kejayaan sesuatu majlis, kita boleh ukur dari dua aspek. Pertama kehadiran para jemputan/audien dan kedua kelancaran aturcara majlis mengikut jadual dan tentatif yang telah ditetapkan. Kedua-dua pra syarat tersebut pada saya telah pun terpenuhi.Dari segi kehadiran didapati 90% alumni hadir, bukan sekadar membawa diri sendiri tetapi juga turut membawa anak, isteri dan cucu. Aturcara majlis pula telah berjalan dengan lancar seperti yang diprogramkan dan kesemua slot dapat diisi dengan baik dan sempurna. Makanan dan minuman mencukupi, tiada seorang pun yang berada di dalam dewan tidak mendapat makanan dan minuman. Saya sendiri tidak dapat mendengar ucapan ketiga-tiga tokoh yang berucap kerana berada di atas pentas sebagai juruacara majlis, lagi pun ditambah dengan sistem sound speaker yang bergema. Kelancaran aturcara pentas pada hari tersebut sebenarnya ditentukan oleh kewibaan, kecekapan dan kebijaksaan juruacara yang mengendalikan pentas/majlis. Dalam hal ini, saya telah banyak kali berlatih di rumah berdasarkan skrip yang ditulis sendiri. Dalam mesyuarat AJK Reunion kali kedua ( 30 Julai, 2014 ), saya tidak bersetuju juruacara terdiri daripada dua orang. Seorang perempuan dan seorang lelaki. Keadaan ini boleh menyusahkan dan menambahkan beban kerja saya. Sebab, saya terpaksa menyediakan skrip kepada mereka berdua, kemudian mengadakan rehasel dan kena menjawab pelbagai pertanyaan daripada mereka berdua. Adalah lebih praktikal saya sendiri yang menjadi juruacara majlis. Lagi pun, pra-syarat hendak menjadi juruacara sesebuah majlis besar dan rasmi, mesti kena ada pengalaman, boleh berbahasa dengan baik, menguasai keseluruhan senario peristiwa dari A sampai Z, yakin diri, ada ilmu dan berani berdepan dengan orang ramai. Kesemua pra-syarat yang disebutkan ini sesungguhnya ada pada saya, sebab saya terlibat dengan banyak majlis rasmi dan tidak rasmi  sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan ( Guru Cemerlang Sastera DG54 ). Pengalaman sebagai PK 1 di dua buah sekolah menengah, guru kanan bahasa, PK.KO, setiausaha PIBG sekolah menengah, pengerusi PIBG sekolah rendah, juruacara ceramah politik pilihan raya, penceramah politik pilihan raya, setiausaha bilik gerakan pilihan raya, setiausaha kerja dan master mind gerakan menaikkan YBhr Tan Seri Dato Abd. Rahim Abd. Rahman dalam karier politik di parlimen Pasir Mas, penulis buku ulasan soal jawab sastera peringkat SPM, penceramah panduan teknik menjawab soalan Sastera SPM di sekolah menengah seluruh negeri Kelantan, penceramah seminar sastera kepada guru-guru Sastera seluruh Malaysia, Kelantan, Sabah dan Serawak. Jurucakap bagi pihak Pusat Perkembangan Kurikulum KPM, Ketua panel penggubal soalan sastera pep SPM kebangsaan, Ketua Pemeriksa Malaysia peperiksaan SPM mata pelajaran Sastera Melayu, penilai peperiksaan PTK, penulis blog azmar-pb.blogspot.com ( sudah 300 tajuk dengan pembaca hampir 300 ribu orang ). Penulis kertas kerja pra-profesional, akademik dan iktisas di peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM. Pembina kertas konsep program/projek di peringkat sekolah, PPD dan JPN. Penyelaras LDP peringkat sekolah, Naib YDP Majlis GC PPD Pasir Mas. Penulis dokumen setebal 200 muka lebih untuk dapat gred DG52 dan DG54 semasa bertugas dahulu. Telah beratus kertas kerja akademik dan iktisas panjang dan pendek telah dihasilkan dan sempat pula belajar di tiga buah universiti ( USU, UKM dan UM ). Rasanya pengalaman seumpama ini tidak ada pada rakan-rakan WARIS kita.Cuma pengalaman menjadi pengetua sekolah, pegawai PPD dan pengarah JPN serta naik haji ke Mekah yang belum lagi.
         Kelemahan lain yang dilaporkan ialah P.A sistem yang kurang memuaskan kerana suaranya bergema dan tidak jelas. Ada sebilangan alumni kita yang datang lewat daripada kedatangan tetamu kehormat dan balik lebih awal sebelum majlis selesai dengan sepenuhnya. Kita amat bernasib baik dapat mengadakan Majlis Reunion pada hari tersebut ( 1 Ogos, 2014 ), kerana kebiasaannya pada setiap pagi hari Jumaat ada majlis ilmu/kuliah agama anjuran kerajaan PAS negeri Kelantan di tengah pusat bandar Kota Bharu yang menyebabkan semua jalan ditutup. Jika keadaan ini berlaku, adalah amat sukar kenderaan para alumni dan keluarga untuk menghampiri Dewan Kelab Suara Muda yang terletak di pusat bandar kerana jalan raya menuju ke situ semuanya pasti akan ditutup.


       Laporan Bendahari yang diwatsapkan oleh Dra. Hajah Tuan Khatimah Tuan Ibrahim yang tidak dapat hadir kerana anaknya masuk wad di hospital di Kuala Lumpur telah dibaca dan dibentangkan oleh TYDP ( Dr. Suhaimi Kadir ) dengan selengkapnya melalui pancaran LCD. Wang terkutip daripada sumbangan para alumni berjumlah RM2,460.00 dan baki daripada perbelanjaan tinggal lagi sebanyak RM430.00. Maklumat detail mengenai perbelanjaan dan resit pembelian material akan diberikan  kemudian kepada para ahli.
         Agenda mesyuarat seterusnya ialah pembubaran AJK Reunion 1 Ogos, 2014. Cadangan telah dibuat oleh Drs. Haji Nik Alwan Nik Mohd. Amin dan disokong oleh Tuan Haji Wan Abd. Razak bin Wan Ishak. Dengan demikian Dato Pengerusi Mesyuarat telah mengistiharkan bahawa tiada lagi AJK Reunion, tetapi yang ada sekarang ialah AJK Penaja WARIS 2014/2016.
          Mesyuarat AJK Penaja WARIS Kali Pertama 2014 diteruskan dengan menerima beberapa cadangan perancangan yang dikemukakan oleh para ahli. Di antara keputusan cadangan  yang telah diterima bersama  ialah:
  1. Keahlian ahli WARIS terbuka secara bebas, tidak terikat di sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an.
  2. Menempah latter head, cop, rubber stamp, dan envelop yang ada logo WARIS ( Tindakan: Tuan Haji Wan Abd. Razak Bin Wan Ishak ).
  3. Mengunjungi Bahagian Pelajar Luar Negeri di Kementerian Pelajaran Malaysia ( Tindakan: Dato YDP ).
  4. Mesyuarat AJK akan datang bertempat di Ipoh ( Tindakan: TYDP ).
  5. Surat kepada DUBES RI ( Tindakan:Setiausaha )
  6. Borang dan pendaftaran keahlian ( Tindakan: Drs. Haji Hamsa Haji Iksan )
  7. Membina format borang ahli pendaftaran secara online ( Tindakan: Dr. Zubir Hassan ).
  8.  Sekretariat tetap WARIS di Bangunan Klinik Pergigian Dr. Mohd Zain, Kota Bharu, Kelantan.
  9. Mengadakan perbengkelan untuk membahaskan beberapa objektif WARIS dan kandungan kompli bulletin WARIS (  Format bulletin WARIS ).Tindakan: Tuan Haji CheYahya Bin Che Soh.
  10. Menyediakan draf kandungan dan format kompli bulletin WARIS ( Tindakan: Tuan Haji Mohd. Sayuti Bin Omar-MSO dan Tuan Haji Wan Abd. Razak Bin Wan Ishak ).
  11. Hanya bahan-bahan/dokumen rasmi WARIS dapat disalurkan melalui gerbang watsap AJK WARIS ( Tindakan semua ahli WARIS ).
  12. Kunjungan hormat WARIS kepada YBhr Dato Mustapha Mohammad ( Menteri Perdagangan Antara Bangsa/MITI ).Tindakan: Semua AJK.
  13. Kunjungan hormat WARIS kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia ( Tindakan: Semua AJK ).
  14. Kunjungan hormat WARIS  kepada Gabenor Sumatera Utara ( Tindakan: Semua AJK )
  15.  Kunjungan hormat WARIS  kepada Presiden baru Republik Indonesia ( Jokowi ): Tindakan: Semua AJK.
  16. Kunjungan hormat ke rumah Tuan Haji Zahari Awang ( Abang Z ) untuk menyampaikan cendera hati yang dibawa oleh Dr. Muhammad Bin Awang Yunus ( Dr. Rusdi ) dari Kulim, Kedah pada 1 Ogos, 2014 yang lepas.( Tindakan: Semua AJK ).
  Mesyuarat ditangguhkan pada jam 6.45 petang.

  Sebaik mesyuarat selesai, semua AJK yang hadir mengambil kesempatan bergambar secara beramai-ramai  di dataran bahagian hadapan SMK Sinar Bintang sebagai tanda kenang-kenangan.


     Kami meninggalkan pekarangan SMK Sinar Bintang tepat pada jam 7.00 malam dengan seribu kenangan.Dato Dr. Mohd. Zain Mohd. Yusof  ( YDP ) menaiki kereta BMW kepunyaan Dr. Suhaimi Kadir ( TYDP ) untuk dihantar ke KL Cenral menaiki ERT untuk seterusnya ke KLIA2  bagi mendapatkan flight Airasia pada jam 10.30 malam. Saya bersama dengan Drs. Haji Nik Alwan Nik Mohd. Amin menaiki kereta Toyota Camry 2.5 cc kepunyaan Haji MSO yang baru enam bulan dibeli secara tunai dengan harga RM185,000.00 mengekori dari belakang kereta Dr. Suhaimi dan Dato Dr Zain yang sedang menuju ke KL Central. Tetapi oleh kerana jalan raya jem teruk kerana ada basikal railly di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur pada malam itu, kami bertiga tidak jadi pergi ke KL Central untuk menghantar Dato Dr. Zain ( YDP ). Kami bertiga singgah mengenakan makan malam di Restoran Al-Rausha dengan hidangan nasi Arab yang dibelanjakan oleh Haji MSO. Kali pertama saya dan Drs. Haji Nik Alwan menjejak kaki dan makan malam di sebuah restoran kepunyaan Tok Arab yang terbesar terletak di tengah-tengah kota mitropolitan Kuala Lumpur. Kami terkejut besar apabila nasi Arab yang ditempah oleh Haji MSO untuk dua orang makan terlalu banyak yang boleh dimakan oleh lima orang yang dalam keadaan terlalu lapar. Kami makan dengan penuh selera sekali nasi Arab yang bertatahkan lauk kurma tulang kambing dan disusuli dengan minuman teh pahit Tok Arab.


      Selepas makan malam di restoran Tok Arab tersebut, kami dihantar oleh Haji MSO ke rumah Encik Kamaruddin Daud dan Puan Maria Yusoff di Taman Sepakat, Lembah Kelang untuk bermalam di sana. Di rumah Encik Kamaruddin Daud, sebelum kami merebahkan belakang tidur di bilik yang disediakan khas untuk kami, telah berborak panjang lebar pula. Pelbagai cerita dan kisah lucu lama semasa di Medan dahulu dibangkit bongkar semula sehinggalah larut malam. Ketawa hilai ibarat litar pintas memecahkan keheningan malam di Taman Sepakat. Encik Kamaruddin dan Puan Maria yang sempat membuka dan menunjukkan kepada kami album gambar-gambar  lama zaman remaja semasa di Medan dahulu , membuatkan kami tidak kering gusi ketawa terbahak-bahak. Kerana fizikal terlalu capek, kami merebahkan belakang pada jam 1.30 pagi dengan nyenyak sekali. Di atas satu katil saya tidur bersama dengan Drs. Haji Nik Alwan. Adalah menjadi satu peristiwa yang tidak mungkin berlaku jika tidak kerana WARIS. Jadi bermula dari sini hubungan saya dengan Drs. Haji Nik Alwan pun semakin rapat dan mesra. Tetapi sebelum ini, sudah dua puluh tahun lebih tidak bertemu muka walau pun tinggal di negeri yang sama ( Kelantan ).
       Pada hari kedua, 10 Ogos, 2014 ( Ahad ), jam 8.30 pagi, kami berempat ( Saya, Encik Kamaruddin, Haji MSO dan Drs. Haji Nik Alwan ) pergi bersarapan nasi lemak sedap di gerai tidak jauh dari kediaman Encik Kamaruddin di Taman Sepakat. Iaitu kira-kira 500 meter jaraknya di belakang rumah beliau. Drs. Haji Nik Alwan nampaknya sungguh berselera sehingga meminta nasi lemak ditambah sepinggan lagi.

       Selepas selesai bersarapan pagi, lebih kurang jam 10.00, kami berempat bertolak ke mahligai Drs. Haji Che Yahya Che Soh di Jalan AU 4/1, Taman Sri Keramat Tengah, 54200 Kuala Lumpr. Kedatangan kami yang tidak diinfo terlebih dahulu itu telah disambut oleh tuan rumah dengan bangganya.Kami dipersilakan masuk ke ruang tamu istmewa. Selepas berborak panjang lebar dan menghirup nescafee O serta sempat menyedut dua batang PALL MALL, kami dengan rasa rendah diri memohon keiizinan untuk meninggalkan teratak.
      Selepas meninggalkan Encik Kamaruddin di tempat letak keretanya yang tidak jauh dari gerai nasi lemak di belakang rumahnya, Haji MSO dengan lajunya memecut mobil Toyota Civic buatan Jepun tahun 1996 yang juga dibeli secara tunai dengan harga RM85,000.00 menelusuri jalan Ampang untuk menghantar kami berdua ke stesen kereta api komuter/LRT Sungai Rampai. Selepas membeli dua keping tiket tanpa diskaun, kami berdua melompat masuk ke dalam perut LRT untuk menuju ke stesen kereta api Klana Jaya, iaitu stesen yang paling akhir melalui landasan tersebut.







        Di stesen Klana Jaya, kami dijemput oleh anak Tuan Haji Zaini Bin Haji Muhamad, iaitu sepupu kepada Drs. Haji Nik Alwan yang tinggal di Lorong 9, Kubur Gajah, Paya Jaras, Selangor. Setiba di rumah Tuan Haji Zaini, beliau telah menyambut kedatangan kami dengan rasa bangganya dan lantas menjemput masuk ke dalam rumahnya yang agak selesa itu. Selepas berbual dengan berbagai tajuk secara spontan, termasuk cadangannya supaya WARIS dapat memainkan peranan menyelesaikan masalah birokrasi di antara G to G untuk membawa masuk orang gaji Indonesia ke Malaysia, kami dibawa melawat ke reban ternakan ayam kampung di belakang rumahnya. Tuan Haji Zaini, sepupu Drs. Haji Nik Alwan ini sudah pencen dalam perkhidmatan dengan pihak swasta tetapi masih diambil bertugas oleh pihak AEROD di Subang. Gaji bulanannya mencecah RM30K. Patutlah beliau mampu membeli tanah tapak rumah yang diduduki sekarang seluas setengah ekar dengan kadar harga yang agak tinggi iaitu RM400,000.00. Dan sekarang beliau dalam proses perundingan untuk membeli tanah sempadan dengan tanah tapak rumahnya yang juga luasnya setengah ekar dengan kadar harga yang sama. Syabas dan tahniah di atas pencapaian anak jati dari daerah Machang, Kelantan ini, iaitu sepupu teman sepermainan Drs. Haji Nik Alwan sewaktu zaman kecil-kecil di kampung dahulu yang sama-sama mandi telanjang bogel di sungai Kelantan.

        
       Selepas dijamu makan tengah hari berlaukkan ayam kampung yang disembelih sendiri oleh Tuan Haji Zainii, kami telah dihantar oleh anak Tuan Haji Zaini ke stesen LRT Sungai Buloh. Dari stesen LRT Sungai Buloh, kami turun dari train di stesen LRT Segambut. Dari situ, kami dijemput pula oleh Dr. Suhaimi Kadir untuk dibawa melihat rumah pangsanya yang hendak dijual terletak di Taman Perdana Dua, Cyber Jaya, Selangor. Yang ada cadangan hendak membeli rumah pangsa tersebut ialah Drs. Haji Nik Alwan dan Dato Dr. Mohd. Zain Yusof ( YDP WARIS ). Dalam perjalanan ke Taman Perdana Dua, kami singgah bersolat jamak qasar Zohor dan Asar dalam waktu Asar ( Jamak takhir ) di masjid UPM, Serdang. Sebaik selesai solat jamak dan qasar, tanpa disangka ribut kencang yang membawa hujan lebat mulai turun.
       Selepas hujan lebat berhenti, kami bertiga meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang dimaksudkan. Dr. Suhaimi Kadir dan Drs. Haji Nik Alwan meninjau-ninjau rumah pangsa di paras empat yang penuh dengan debu dan sampah sarat kerana sudah hampir setahun tidak menjengoknya.Jadi Dr. Suhaimi sekarang sudah ada lima buah rumah yang mampu dibeli sejak 20 tahun yang lalu. Sebuah di Pulau Pinang, di Kuala Lumpur ada tiga, dan di Kelantan ada sebuah. Di negeri Perak pun dia ada hasrat hendak membeli rumah, tetapi isterinya yang tidak berminat. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Dr. Suhaimi kadir yang bijak dan pintar membuat pelaburan ekonomi untuk masa hadapan anak-anak dan cucu-cucu.
      Kami meninggalkan rumah pangsa empat bilik berdebu itu pada jam lebih kurang 6.00 petang dan singgah pula beroti canai dan berteh tarik di pinggir jalan Taman Perdana Dua, Cyber Jaya.
      Semasa dalam perjalanan menelusuri jalan pintas ikut lebuh raya KLIA, pada jam 7.00 malam, kami dihubungi oleh Encik Kamaruddin Daud yang menjemput  ke rumanya pada sebelah malam kerana ada jamuan hari raya dan makan malam. Dalam masa yang sama, Haji MSO pula yang menghubungi kami dengan nada yang agak keras sedikit dan marah-marah kerana lambat tiba di rumahnya seperti yang dijanjikan pada jam lima petang untuk pergi melawat anak Dra. Hajah Tuan Khatimah Tuan Ibrahim yang masih berada di wad hospital KPJ, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Jadi kami kena akur dengan permintaan Haji MSO supaya segera datang ke rumahnya ( Rumah pertama ), di jalan Wangsa Siaga 1, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, kami singgah pula di masjid Sentul untuk bersolat jamak dan qasar Maghrib dan Isyak. Kami tiba di rumah Haji MSO lebih kurang pada jam 8.30 malam. Setengah jam kemudian, dengan berkonvoi dua buah kereta, kami bertolak ke rumah Encik Kamaruddin Daud di Taman Sepakat.
      Kami tiba di rumah Encik Kamruddi Daud pada jam 9.00 malam. Di situ rupanya sudah ada Drs. Haji Che Yahya Che Soh bersama dengan isterinya Dra. Hajah Farida Amir dan Drs. Haji Mohd. Fauzi Mohammad dengan isterinya Dra. Hajah Tuan Khatimah Tuan Ibrahim yang tiba lebih awal sedikit daripada kami bertiga.

      Apa lagi selepas makan malam dengan hidangan nasi ayam dan mee kari sentuhan air tangan Puan Maria ( Isteri Encik Kamaruddin ), kami semua berborak dan bercerita dengan panjang lebar mengenangkan kisah-kisah silam sewaktu zaman menjadi mahasiswa dan mahasiswi di Medan tempoh hari dengan diselangi galak tawa dan hilai bilai yang memecah tembok dinding semen rumah Encik Kamaruddin Daud. Gelak tawa yang berpanjangan sehinggalah jam di tangan jarumnya sudah menunjukkan pukul 12.30 malam. Kami bertiga dan Drs. Haji Mohd. Fauzi Mohammad bersama dengan isterinya ( Dra. Hajah Tuan Khatimah Tuan Ibrahim ) meninggalkan kediaman Encik Kamaruddin Daud dan Puan Maria Yusof menuju ke rumah Haji MSO di Taman Wangsa Melawati. Di kediaman Haji MSO, kami berlima orang mula membuka cerita dan berbual dengan sepuas-puasnya berlarutan sehingga jam 2.30 pagi. Dalam pada itu, Drs. Haji Nik Alwan telah dijemput oleh rakan pencen polis di Kuala Lumpur keluar sekejap untuk mencari nasi sop ekor lembu. Baliknya berpeluh dan berkibas sebentar kerana kepanasan walau pun jam sudah pukul 2.00 pagi. Masyaallah.

      Sebaik Drs. Haji Mohd. Fauzi bersama isterinya Dra. Hajah Tuan Khatimah meninggalkan pekarangan rumah Haji MSO, saya dan Drs. Haji Nik Alwan disuruh oleh Haji MSO menaiki kereta Toyota Camrynya. Kami dibawa oleh Haji MSO ke suatu destinasi yang kami tidak diberitahu. Dalam hati saya timbul seribu soalan, Haji MSO ini hendak menghantar aku tidur di masjid Jamek atau ke hotel bajetkah. Kereta Toyota Camry berwarna putih berkilat yang dipandu oleh Haji MSO itu terus meluncur di jalan raya yang sepi pada jam 3.00 pagi dini hari. Suasana sunyi dan sepi tiada kedengaran apa-apa pun kecuali sekali sekala ada juga terdengar salakan suara anjing liar peliharaan orang Cina di sekitar. Kereta Toyota Camry yang dipandu oleh Haji MSO yang meluncur laju kemudian perlahan dan merangkak masuk ke satu lorong berselekoh tajam seolah-olah hendak melanggar pintu penghalang yang hanya boleh dibuka dengan sekeping kad elektronik oleh orang-orang tertentu sahaja. Kereta Toyota Camry diparking di petak aras empat bangunan 24 tingkat. Bayaran harga satu petak kereta sahaja mencecah RM20,000.00 untuk sebuah. Kami bertiga memasuki lift untuk naik ke tingkata 12. Dan kami baru dapat merebahkan badan serta memejamkan mata di sekitar jam 3.30 pagi di atas sebuah katil dalam perut sebuah Kondominum Platinum, Victory Danau Kota, Kuala Lumpur, milik Haji MSO yang dibeli pada tahun 2008 dengan nilai harga RM260,000.00 tunai. Menurut Haji MSO, harga semasa kondominum ini sekarang ialah sekitar RM600,000.00 hingga RM700,000.00 satu unit yang mempunyai empat buah bilik dan dua buah bilik mandi. Saya terlelap dan terlena dengan nyenyaknya. Dalam lena yang nyenyak itu, saya bermimpi akan kesusahan, keperitan, dan pahit mau kehidupan Haji MSO sewaktu berada di Medan tiga puluh tahun yang lampau.
     

        Pada pagi besoknya ( 11 Ogos, 2014 ), hari Isnin, selepas solat Subuh yang hampir-hampir terlepas itu, saya duduk termenung di atas kain sejadah. Terlintas balik perumpamaan yang saya sebut semasa slot penceritaan nostalgia alumni di Dewan Kelab Suara Muda tempoh hari:: Berakit-rakit ke hulu ke berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Maksud pepatah ini memang tepat sekali mengena pada diri Haji MSO. Pada saya, kekuatan ekonomi yang dibina oleh Haji MSO dalam jangka masa dua tiga puluh tahun kebelakangan ini jika diizinkan untuk dihitung secara kasarnya mencecah 2 juta ringgit Malaysia aset yang dimiliki. Tewas saya, tewas Drs. Haji Nik Alwan dan ramai lagi kawan-kawan dalam warga WARIS yang turut tertewas dengan pencapaian hidup saudara Haji MSO warga WARIS kita ini. Tetapi walau pun Haji MSO kini naik secara mendadak dari segi pegangan aset harta, nilai harga budaya timur beliau tidak dikorbankan. Gaya dan stail hidupnya masih sama seperti dahulu. Mengenali kawan-kawan, tidak tinggi diri, ego dan bangga diri. Apa lagi untuk dikatakan sombong. Gaya hidupnya terlalu simple samalah juga seperti isterinya Puan Hajah Naemah. Menghormati dan menghargai kepada rakan-rakan yang berkunjung ke kediamannya. Merendah diri, bersopan santun dan sifat kelakarnya kekal seperti stail hidup di Medan dahulu. Kalaulah tidak kerana sahabatku Haji MSO, rasanya saya tidak mungkin dapat menjejak kaki di lantai kondominum. Kita amat bertuah kerana mempunyai warga WARIS yang mengenal asal usul sejarah hidup walau pun sekarang sudah berada di puncak kejayaan. Beliau sanggup mengorbankan masa dan tenaga dengan bercuti dari menulis di blog selama dua hari dan membatal segala temu janji dengan para pembesar dan tokoh politik tanah air semata-mata kerana hendak melayan kedatangan kami berdua ke Kuala Lumpur amnya dan khususnya ke kediamannya. Beliau sanggup menjemput dan membenarkan kami berdua bermalam di kondominum mewahnya yang berharga hampir jutaan ringgit tersebut. Syabas dan tahniah saudara Haji MSO saya ucapkan di atas kejayaan hidup yang anda bina selama ini selepas sudah puas berhempas pulas dengan kepahitan dan kejerihan hidup pada masa-masa yang lalu. Saya doakan semoga anda dan keluarga selamat di dunia dan di akhirat untuk sepanjang masa. Amalan hidup budaya timur dan penerapan nilai-nilai Islam dalam diri anda dan keluarga amat saya kagumi dan hargai kerana nilai harganya terlalu mahal jika hendak dijual beli.
       Pukul 8.30 pagi kami bertiga pergi bersarapan nasi lemak di gerai Batu Lima, Gombak. Kali ini giliran saya pula yang minta tambah sepinggan lagi nasi lemak Entah bagaimana seleranya berbangkit sekali. Selepas berurusan dengan pihak Bank RHB Cawangan Wangsa Maju, pada jam 9.30 pagi kami sekali lagi pergi ke rumah Encik Kamaruddin Daud di Taman Sepakat untuk mengambil seluar panjang yang Drs. Haji Nik Alwan tertinggal sewaktu meninggalkan rumahnya kelmarin. Tetapi sayang sekali  seluar tersebut tidak boleh dipakai oleh Drs. Haji Nik Alwan kerana zipnya yang terkoyak. Rupanya Drs. Haji Nik Alwan ini tidak periksa terlebih dahulu kualiti pakaian yang hendak dibawa dalam perjalanan untuk jarak jauh. Nasib baik ada seluar spair, kalau tidak seluar saudara Haji MSO pula dibawa pulang ke Tanah Merah.
      Kami berempat ( Saya, Haji MSO, Drs. Haji Nik Alwan dan Encik Kamaruddin Daud ), menaiki kereta Toyota Camry putih berkilat yang dipandu oleh Haji MSO menuju ke  Wangsa Walk Mall untuk meninjau-ninjau anrold/gadjet baru menggantikan gadjet Huawei lama seperti yang dicadangkan oleh rakan-rakan warga WARIS. Anrold/gadjet Huawei yang menggunakan dua sim itu memang ada di Wangsa Walk Mall, dengan harga tidak sampai RM1,000.00 pun, tetapi entah bagaimana hati masih belum tergerak untuk membelinya. Akhirnya kami turun ke lantai paling bawah dengan mengenakan  kopi pahit .secawan seorang dengan kos RM13.00 untuk semua.


     

     

    
       Haji MSO mengangkat telefon bimbitnya menjawab panggilan daripada Puan Hajah Naimah isteri tercintanya. Isterinya, Puan Hajah Naimah memaklumkan hidangan tengah hari telah pun siap dan bersedia untuk disapu bersih.
         Dengan gopoh gapah, kami berempat pun pulang ke rumah Haji MSO dan makan tengah hari bersama hasil masakan sentuhan tangan Puan Hajah Naimah ( Isteri MSO ). Menunya cukup menarik dan menyelerakan, iaitu budu tempoyak durian, buah petai, daun pucuk ketereh,  singgan ikan kembong, ikan patin goreng, sop tulang lembu dan telur rebus. Kami berempat makan dengan penuh selera dan lahapnya. Saya dan Encik Kamruddin Daud dua kali tambah nasi, Haji  MSO dan Drs. Haji Nik Alwan tiga kali tambah. Nasi yang ditanak oleh puan Hajah Naimah pula dari beras tanpa kanji, produk Faizah Tajmahal Production.



          Seusai makan tengah hari, selepas berehat setengah jam, saya nampak Puan Hajah Naimah ( Isteri Haji MSO ) sibuk mencari gergaji. Sebaik kami melangkah kaki untuk keluar dari pintu utama meninggalkan rumah Haji MSO menuju ke kondominumnya untuk berehat, Puan Hajah Naimah menghulurkan dua bungkus plastik hitam yang mengandungi keratan beberapa batang tebu baka jenis dari Filipina. Ini mungkin arahan daripada suaminya ( Haji MSO ) kepada isterinya sebagai buah tangan kenangan untuk dibawa balik ke Tanah Merah dan ke Pasir Mas. Begitulah orang yang kalau  di dalam dadanya kaya dengan budi bahasa. Ada-ada sahaja buah tangan yang dititipkan. Haji MSO sempat juga memberi beberapa tip penting menanam benih tebu kepada kami agar tebu yang ditanam dapat hidup dengan subur dan manis. Jika benih tebu pemberian Haji MSO ini hidup subur selepas disemai dan ditanam, Drs. Haji Nik Alwan berhasrat pula hendak membuka ladang tebu Filipina di Tanah Merah dan saya di Pasir Mas. Molek juga perancangan ini sebab harga gula di pasaran sekarang pun semakin mahal.
       Kami meninggalkan pekarangan rumah Haji MSO sekitar jam tiga petang. Selepas menurunkan Encik Kamaruddin Daud di rumahnya di Taman Sepakat, kami terus sekali lagi dibawa ke Kondominum Platinum Victory Danau Kota untuk berehat. Selepas solat jamak Asar dan Zohor di situ, pada jam 6.00 petang, kami berdua dihantar oleh Haji MSO ke stesen kereta api KL Central. Semasa dalam perjalanan dari kondominum Haji MSO menuju ke KL Central, hujan turun dengan selebat-lebatnya sehingga ada jalan yang telah pun dinaiki air. 
      Selepas mengena roti canai dan teh tarik di tingkat tiga bangunan KL Central, tepat jam 8.00 malam kami melompat masuk ke dalam perut kereta api Senandung Wau yang bakal menuju ke Tumpat, Kelantan. Dan tepat jam 8.30 malam seperti yang tercatat dalam tiket, kereta api ini pun mula mengheret dada di atas landasannya. Muzik kereta api pun mula kedengaran lagi, geh-geh, prup-prup, pap-pap,degeng-degeng, kring-kring, truk-truk kesan rodanya yang bergeseran di atas landasan. Tiba di stesen Kajang setengah jam kemudian. Di stesen Seremban pada jam 9.45 malam. Di stesen Gemas pada jam 11.30 malam. Di sini kereta api berhenti sekejap sahaja tidak sampai pun setengah jam seperti pada zaman-zaman dahulu berhenti sehingga dua dan tiga jam. Selepas solat jamak dan qasar Maghrib dengan Isyak ( Jamak takhir ), pada jam 12.00 malam, kami pun terlena di tempat duduk  tidur nombor W4/10 dan W4/12. Tahu-tahu kami terjaga semula apabila kereta api tiba di stesen Merapoh, Pahang pada jam 5.10 pagi. Tiba di stesen kereta api Gua Musang pada jam 6. pagi. Kami bersolat Subuh di musalla dalam gerabak khas kereta api. Jam 9.15 pagi tiba di Kuala Krai dan jam 10.00 pagi tiba di stesen Tanah Merah. Di stesen ini, sahabat saya Drs. Haji Nik Alwan dengan sepantas kilat melompat turun dari perut kereta api melalui pintu yang sudah pun sedia terbuka. Kereta api terus bergerak ikut landasan yang sedia terhampar sehinggalah akhirnya landing juga di stesen bandar Pasir Mas tercinta pada jam 10.30 pagi selepas 12 jam lebih berkampung di dalam perutnya.Saya melompat turun dari perut kereta api dan terus menuju ke kereta yang sedia ditunggui oleh isteri ( Puan Norhayati Abd. Ghani ). Selepas bersarapan pagi kali kedua di gerai Mustapha Mamak roti canai yang terletak betul-betul di hadapan stesen, saya bersama isteri terus pulang ke rumah dan tiba di singgahsana  tepat pada jam 11.00 pagi.
      Sebelum mengakhiri coloteh pra-akademik dan profesional ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih dan memberikan penghargaan yang setinggit-tingginya kepada rakan-rakan warga WARIS di Kuala Lumpur yang telah bermurah hati membantu dan melayan kami dengan selesa sepanjang berada di Kuala Lumpur selama dua hari setengah itu. Di antara rakan-rakan kita yang berjiwa besar dan bermurah hati ialah: Encik Kamaruddin Daud dan isterinya Puan Maria, Haji Mohd. Sayuti Omar ( MSO ) dan isterinya Puan Hajah Naimah, Drs. Haji Yahya Che Soh dan isteri Puan  Dra.Hajah Farida Amir, Dr. Suhaimi Kadir dan anaknya.
     Saya doakan semoga Tuan-Tuan dan Puan-Puan semua akan diberikan perlindungan oleh  Allah swt dalam apa jua situasi selamat di dunia dan di akhirat hendaknya. Amin. Amin..............

2 comments:

  1. Mana laporan Mesyuarat AJK Waris di Ipoh, Pak Ajis?

    ReplyDelete
  2. Sudah dipost pada 16 Sept 2014. Sila rujuk Tuan! Tq

    ReplyDelete