abazizomar@gmail

Thursday, 7 August 2014

Nikmat dan nilai hidup tambahan yang terlepas pandang


Satu lagi nikmat hidup selain daripada sihat tubuh badan, boleh tarik dan hembus nafas, berjalan dan berlari,  beribadat kepada Allah swt ialah kunjungan rakan-rakan lama ke rumah tanpa diduga. Nikmat yang paling bermakna bagi orang-orang Islam di dunia ialah sihat tubuh badan, masih bernyawa dan dapat menyempurnakan surahan Allah swt dan Nabi Muhammad  saw.
      Pada hari raya aidilfitri ke-6, bersamaan 6 Syawal, 1435 Hijrah, iaitu sehari selepas majlis reunion alumni mahasiswa/i Sumatera yang berlangsung di Kelab Dewan Suara Muda, Kota Bharu, Kelantan, rumah saya telah dikunjungi oleh rakan-rakan lama dari negeri Melaka, Kedah, Kuala Lumpur dan Perak. Satu kunjungan hormat daripada rakan-rakan yang tidak pernah saya dugakan. Ini kerana terlalu lama saya tidak bertemu muka dengan mereka,  iaitu sejak balik dari Medan, Indonesia setelah tamat pengajian pada pertengahan tahun 1982 dahulu. Perasaan seronok di dalam hati tidak dapat hendak dilukis dan digambarkan dalam bentuk susunan kata kerana sudah tiga puluh tahun lebih kami berpisah, tiba-tiba dapat bertemu semula.  Dan yang paling mahal nilainya sahabat-sahabat karib ini sanggup pula berkunjung ke rumah di Pasir Mas, Kelantan. Serasa macam mimpi di siang hari.


       Pertemuan yang amat mesra ini dirasakan sungguh nikmat dalam hidup. Kami dapat bercerita kisah-kisah lama sewaktu kuliah dahulu di tanah seberang dan bertanya khabar keadaan semasa. Kawan-kawan lama saya seperti Dr. Muhammad Awang Yunus dari Kedah, Drs. Haji Hamsa Haji Ehsan dari Melaka, Dr. Suhaimi Kadir dari Perak, Drs. Zubib Saad dari Kedah, En. Kamaruddin Daud dari kuala Lumpr dan Drs. Mohd. Fauzi Mohmmad dari Pengkalan Chepa, Kelantan. Mereka datang dengan anak isteri masing-masing. Kawan-kawan lama dari Melaka, Perak, Kuala Lumpur dan Kedah ini sebenarnya datang ke negeri Serambi Mekah ini pada dasarnya untuk menghadiri majlis perasmian pelancaran WARIS ( Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera ) di Kota Bharu yang perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk AS Khamis ( Ketua Protokol dan Istiadat Istana Negeri Melaka dan mantan Konsul Muda Malaysia di Medan era tahun 1970-an da 1980-an ). Sehari selepas majlis tersebut saya telah mengundang mereka mengenali rumah di Pasir Mas, Kelantan. Tanpa banyak kerenah sahabat-sahabat karib ini pun datang. Rasa bangga dan bahagia sungguh atas kunjungan mereka semua walaupun dalam masa yang agak singkat.


      Dalam pada itu, isteri saya yang sentiasa ringan tulang ini sempat juga menyediakan nasi minyak berulamkan rendang daging kambing, gulai buku daging lembu dan ayam masakan gulai putih. Mereka semua sempat menjamu selera makan tengah hari dan selepas itu kami berborok panjang lebar ditingkahi dengan  gelak tawa yang menggemakan mengenangkan kisah-kisah lama yang lucu, kelakar, pahit, derita, gembira, sedih  dan sebagainya sewaktu belajar di pulau Sumatera Indonesia dahulu. Saya amat berpuas hati dan bersyukur kepada Allah swt kerana  sempat juga menyediakan kepada mereka makan tengah hari berlaukkan rendang daging kambing peliharaan sendiri.


     Drs. Haji Hamsa bersama dengan isteri dan En. Kamruddin Daud sempat pula saya bawa mereka menjengok pusat ternakan kambing dan biri-biri di kampung Beta yang tidak jauh dari rumah. Di situ mereka sempat juga mengoyak dan menelan beberapa biji buah dokong dan manggis yang belum lagi masak dengan sepenuhnya.


     Apa pun kehadiran rakan-rakan lama ke rumah saya ini amat dihargai dan diucapkan berbanyak terima kasih. Kehadiran mereka semua merupakan satu nilai tambah nikmat hidup yang sukar ditebus bayar dengan emas ringgit. Dan kadang-kadang kita terlupa dalam hubungan konsteks sosial semacam ini.

No comments:

Post a Comment