abazizomar@gmail

Wednesday, 6 August 2014

Dari kaca mata setiausaha: Analisis ringkas WARIS mempertautkan alumni

Sebenarnya saya telah lama berehat daripada menulis di blog ini sejak berpencen dari jawatan guru pada Februari, 2013 yang lalu. Tetapi entah bagaimana pada hari ini saya terpanggil semula untuk menulis di ruangan ini dalam bidang yang berlainan sedikit. Kalau dahulu tulisan saya lebih berfokus kepada bidang akademik, iaitu bidang ilmu sastera, khususnya di peringkat SPM. Pada kali ini saya tertarik untuk menulis tajuk seperti di atas, iaitu bidang yang menjurus kepada pertubuhan sosial. Bidang yang saya sendiri sebagai setiausaha penajanya.
     Tiada kata hendak disusun dan tiada bahasa hendak diungkapkan betapa gembiranya hati dan perasaan  di samping berbanyak syukur kepada Allah swt kerana dengan restu-Nya jua maka pada 1 ogos, 2014 yang lepas bergema tiga kali bunyi gong  dalam Dewan Suara Muda, Kota Bharu, Kelantan yang menandakan dengan rasminya WARIS ( Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera ) telah wujud. Ia dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk AS Khamis ( Ketua Protokol Istiadat Istana Negeri Melaka mantan Konsul Muda Malaysia di Medan era 1970-an dan 1980-an ) yang dijemput khusus dan diraikan sebagai tetamu kehormat.

      Majlis pertemuan alumni dan perasmian pelancaran WARIS sebenarnya telah bermula dari jam 10.30 pagi sehinggalah berlarutan jam 6.30 petang. Pendek kata acara berlangsung sehari suntuk hanya berhenti rehat untuk solat Jumaat. Apa yang menarik hendak dibincangkan  dan dianalisis di sini ialah kehadiran alumni dari pelbagai negeri di seluruh pelusuk negara amat membanggakan ( 90% ) yang hadir walau pun persiapan hanya dalam jangka masa tidak sampai satu bulan. Dan majlis pula berjalan dengan lancar. Ini bermakna jentera pengurusan di bawah kendalian Yang Berbahagia Dato Dr. Mohd Zain Yusof sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja dengan bantuan Yang Berusaha Dr. Suhaimi Kadir sebagai Penyelaras Jawatankuasa Kerja telah memainkan peranan secara efektif dan berkesan.
        Suasana majlis cukup menarik dan penuh syahdu. Ketiga-tiga orang yang berucap di pentas membawa makna yang amat mendalam dan berkesan, misalnya Dr. Suhaimi semasa berucap dengan tidak disedari telah beberapa kali luruh air mata dan tersedu-sedu. Manakala pengerusi pula dengan bersahaja tetapi membawa makna yang sangat mendalam. Apatah lagi isi ucapan Yang Berbahagia Dato AS Khamis amat menyentuh perasaan dan mengharukan perasaan hadirin yang ada di dalam dewan. Imbauan kisah semasa bertugas di Sumatera, khususnya di Medan sangat realistik dan menarik.
      Bayangkan selama tiga puluh tahun lebih berpisah dengan rakan-rakan sejak kembali ke tanah air tidak bertemu muka, kemudian dengan kuasa Allah swt telah dipertemukan di satu majlis yang dinamakan majlis tautan kasih para alumni.Apabila bertemu dan bersalam masing-masing menatap wajah dan masing-masing tersenyum. Banyak sudah perubahan wajah para alumni kita dalam tempoh tiga puluh tahun lebih itu Yang menyoronokan para alumni kita datang bersama dengan isteri, anak-anak dan cucunya sekali. Memang sukar kalau hendak digambarkan dalam bentuk susunan kata dan bahasa betapa rasa gembira sungguh rakan-rakan yang hadir. Gambaran suasana ini jelas terpantul pada wajah setiap alumni yang ada.
       Majlis habluminallah dan habluminnas ini idea asalnya dari kotak fikir Dr Suhaimi Kadir yang telah mendapat ilham luar biasa sewaktu mendengar kuliah agama di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan yang menekankan betapa perlunya membina hubungan persaudaraan dalam Islam. Daripada cetusan idea itulah beliau bertindak membuka group wattsapp yang tanpa diduga mendapat sambutan daripada rakan-rakan alumni. Dan kemudian beliau merancangkan untuk mengadakan satu pertemuan dengan bekas-bekas penunut di Medan. Cadangan idea beliau ini dipanjangkan pula kepada Dato Dr. Mohd Zain Yusof, saya dan beberapa rakan yang lain di Kelantan sewaktu bersarapan nasi kerabu di Seberang Pasir Mas Salor, Kelantan.
        Saya katakan kalau hendak mengadakan majlis pertemuaan alumni kita kena bentuk jawatankuasa kerja. Dari situ terbentuklah jawatankuasa kerja pelaksanaan. Kami bermesyuarat  kali pertama pada 12 Julai, 2014 ( Bulan puasa ) di Klinik Pergigian Dr. Mohd Zain di Kota Bharu. Turut dijemput dan hadir sama ialah Tuan Haji Yahya Che Soh dan isterinya Puan Farida Amir dari Kuala Lumpur dan Tuan Haji Wan Abd. Razak Haji Wan Ishak dari Kuantan selain daripada beberapa alumni yang ada di negeri Kelantan.Kepulangan Dr. Zubir Hassan ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur melalui perkhidmatan  terpantas di udara semata-mata ingin ikut serta dalam mesyuarat Jawatankuasa Reunion, merupakan satu aset dan added value yang sangat mahal harganya jika hendak dibayar dengan wang ringgit. Beliau telah sanggup berkorban tenaga dan wang ringgit semata-mata ingin melihat wujudnya perpaduan di kalangan alumni. Tabik hormat tiga kali spring patut dihulurkan kepada Yang Berusaha Tuan Dr. Zubir Hassan. Kehadiran dan kemunculan Drs. Nik Alwan Nik Mohd. Amin sebanyak dua kali dalam mesyuarat jawatankuasa kerja adalah di luar jangkaan dan dugaan sama sekali.Beliau sanggup berkorban masa dan tenaga datang dari Tanah Merah ke Kota Bharu dalam jarak lebih kurang 60 kilo meter dan pada mesyuarat kali pertama beliau tiba kembali di rumahnya pada jam 5.30 dini hari. Kebiasaannya Drs. Nik Alwan agak culas sedikit kalau dijemput menghadiri mesyuarat suka rela seperti ini. Tetapi entah bagaimana tergerak pula di hati dan sanubarinya untuk melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti pertemuaan alumni ini. Tabit hormat tiga kali melompat juga patut dihadiahkan kepada Drs. Nik Alwan Nik Mohd Amin. Mungkin juga sikapnya telah berubah selepas kembali dari tanah suci mengerjakan ibadat haji pada tahun 2012 yang lepas. Mesyuarat bermula pada jam 9.30 malam berlarutan sehingga jam 3.30 pagi membincangkan agenda majlis perjumpaan alumni. Tiga agenda tambahan juga turut dibincangkan dan dibahaskan dengan panjang lebar iaitu nama pertubuhan, logo dan draf perlembagaan pertubuhan.Majlis dengan sebulat suara menerima nama pertubuhan seperti yang ada sekarang ( WARIS ) dan logonya sekali. Logo waris yang diterima pakai sekarang itu ialah hasil nukilan Tuan Haji Wan Abd Razak Haji Wan Ishak ( Terima kasih banyak kepada Tuan Haji Wan Abd. Razak kerana telah banyak mencurahkan idea ). Selepas ahli mesyuarat berpuas hati terhadap nama, logo, perlembagaan dan nama-nama jawatankuasa kerja penaja, maka pada 14 Julai, 2014 dengan bantuan saudara Fatah Ghazali dan Dr. Mohd Zain Yusof WARIS telah didaftarkan di pejabat ROS Kota Bharu, Kelantan. Dan alhamdulillah ianya diterima dan diluluskan oleh pihak pendaftaran pertubuhan.
         Gerak kerja ke arah menjayakan majlis tautan kasih alumni 1 Ogos, 2014 tidak terhenti setakat itu sahaja. Pada hari raya kedua 31 Julai, 2014 ( Malam ) di tempat yang sama, mesyuarat jawatankuasa kerja pelaksanaan kali kedua telah diadakan dengan memberi fokus kepada agenda pemakluman balas bidang tugas setiap unit jawatankuasa dan laporan kewangan serta laporan peserta yang bakal hadir di majlis.

           Setelah semuanya dipastikan kemas dan berpuas hati, fokus diarahkan pula kepada tetamu jemputan, iaitu Yang Berbahagia Datuk AS Khamis dan Tuan Haji Zahari Bin Awang. Laporan terakhir abang Z tidak dapat hadir kerana urusan kenduri di rumah mertuanya. Fokus seterusnya ialah pembinaan backdrop dan persiapan dewan ( Terima kasih sekali lagi kepada Tuan Haji Wan Abd. Razak Wan Ishak ) kerana dengan cekap menggunakan segala kepakaran yang ada dapat membina backdrop yang menarik dalam masa yang sangat singkat ).
         Dan pada 1 Ogos, 2014 ( Hari Jumaat ) tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Rupanya apa yang ditunggu memang gugurlah buah-buah yang cukup manis dan nikmat dirasai jiwa.

         Daripada senario paparan di atas, pada logik akalnya amat mustahil majlis seumpama ini dapat dijayakan. Tetapi dengan kudrat dan iradat Allah swt semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Betapa tidak, pertama majlis ini rancangkan dalam jangka masa yang singkat. Kedua para alumni berada di serata negeri dan negara dengan pelbagai kesibukan tugas dan jawatan masing-masing. Ketiga para alumni sudah berusia dengan anak dan cucu yang berlingkaran dan sukar untuk ditinggal pergi. Tetapi dengan kekuatan semangat dan rasa rindu yang membara di lubuk hati para alumni kerana lama sangat tidak bertemu muka, ditambah pula dengan anugerah interlektual yang ada pada kalangan alumni, semuanya dapat dirancang dan dijayakan dengan baik. Semangat yang menggunung dalam diri alumni, khususnya jentera pengurus ini mungkin terbawa-bawa dari latar belakang pendidikan di tanah seberang yang sememangnya mewaris perjuangan buluh rencong seperti apa yang diluahkan oleh saudara MSO dalam slot pengkisahan nostalgiatik itu. Inilah semangat dan roh yang perlu kita tiup dan bina di kalangan ahli. Tidak sia-sia kita ditakdirkan mengutip ilmu di bumi Sumatera, kerana panorama sosiologinya yang berbeza. Kita dilatih dengan konsep yakin diri dan mampu berdiri sendiri.


         Biasalah dalam mana-mana majlis pun tidak semuanya perfek, sumpurna dan lengkap. Majlis kita pun tidak kurang berdepan dengan beberapa kelemahan dan kekurangan. Misalnya sistem PA yang bergempa dan tidak jelas. Kepulangan ahli/alumni awal sehingga tidak sabar menunggu selesainya majlis seperti yang dirancangkan pada jam 6.30 petang. Mungkin mereka ini ada urusan yang lebih penting lagi daripada menunggu majlis sehingga selesai. Maafkanlah mereka yang meniggalkan dewan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya. Mungkin juga kelemahan dari segi menu makanan yang tidak berapa selesa. Walau apa pun majlis sudah pun selesai dan tamat. Diharap-harapkan janganlah pula rumah sudah pahat berbunyi. Dalam mesyuarat post mortem pada 9 Ogos, 2014 nanti kita cuba teropong semula apa-apa kelemahan dan kekurangan yang berlaku. Daripada pengalaman itu kita petik dan perbaiki pada masa-masa yang akan datang.
        Kalaulah agak berliku juga untuk meralisasikan WARIS, maka sepadan dengan usaha kita, tidak boleh dibiarkan WARIS kaku dan tidak bermaya. WARIS harus digerakmaju ke hadapan sebagaimana objektif kewujudan asalnya, iaitu:
a.       Supaya hubungan di kalangan alumni tidak akan terputus.
b.      Merapatkan hubungan silaturahim di kalangan ahli.
c.       Saling kenal-mengenal di antara satu keluarga dengan keluarga alumni yang lain.
d.      Memohon pertolongan atau bantuan dalam hal-hal tertentu.
e.      Merancang aktiviti sosial dan kebajikan.
f.        Membantu dalam memajukan sistem pendidikan anak-anak ahli/alumni, jiran dan masyarakat luar.
g.       Membina dan memperkukuhkan jaringan hubungan sosial, pelancongan, pendidikan, keagamaan  dan lain-lain dengan pihak kerajaan Indonesia atau NGO di sana.
h.      Merancang aktiviti ekonomi yang boleh membantu meningkatkan sumber pendapatan ahli/alumni dan keluarga alumni
i.         Dan banyak lagi perkara-perkara yang baik dapat kita rancang dan laksanakan dengan bernaung di bawah WARIS sebagai sebuah NGO yang sah yang terdiri daripada kalangan atau golongan cerdik pandai sebab WARIS ada kepakaran dalam pelbagai bidang ( Perniagaan, pendidikan, perubatan, kewartawanan, ICT dan sebagainya.
             Dalam hal kewujudan WARIS, harus diingat bahawa dua orang tokoh besar ini tidak boleh dilupakan dan diabaikan dengan begitu sahaja. Mereka ialah Dato Dr. Mohd. Zain Yusof dan Dr. Suhaimi Kadir. Dato Dr. Mohd. Zain Yusof ialah seorang tokoh pergigian yang amat disegani di negeri Kelantan manakala Dr. Suhaimi Kadir pula seorang pegawai tertinggi kerajaan yang sekarang menyandang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan negeri Perak. Kedua-dua tokoh ini telah memainkan peranan yang sangat besar  sejak dari awal sehinggalah WARIS dijelmakan dan didaftarkan. Dr. Suhaimi Kadir telah menyumbangkan idea besar yang amat berguna  kepada para alumni, iaitu mencetuskan idea ke arah perjumpaan alumni Sumatera di Medan. Beliau seorang yang tidak kedekut daripada segi idea dan pengalaman. Dato Dr. Mohd  Zain Yusof pula tidak kering gosi mengizinkan pejabat kliniknya sebagai tempat bermesyuarat dengan sanggup berkorban harta bendanya semata-mata kerana ingin melihat pertautan semula di kalangan alumni.
               Sekarang WARIS telah pun kita junjung bersama, hendaknya marilah kita jadikan WARIS sebagai muka kuala untuk berlayar dengan lebih jauh ke lautan destinasi yang luas dan mencabar. Hari ini kita sudah nampak kesan langsung daripada majlis perjumpaan alumni yang telah diadakan pada baru-baru ini, iaitu kurang tangan dan telinga untuk membaca wattsapp, mesej dan telefon daripada sebahagian besar warga WARIS yang berada di seluruh pelusuk negara.Suasana warga WARIS sudah nampak semakin ceria, hidup dan segar dan yang kurang sihat dari segi kesihatan pun mungkin segar semula. WARIS nampaknya semakin mendepa sayapnya apabila pihak pengurusan tertinggi telah membuat ketetapan mengadakan  mesyuarat jawatankuasa kerja penaja di Kuala Lumpur pada 9 Ogos, 2014 untuk membincangkan kekuatan dan kelemahan majlis reunion yang telah lepas. Di samping merancang dan membincangkan program-program jangka pendek dan jangka panjang WARIS.
              Sebagai kesimpulan, WARIS diwujudkan atas usaha di kalangan alumni semua. Hidup dan mati WARIS kitalah yang menentukan. Maju dan mundur WARIS juga kita yang menentukan. Gah atau pudar WARIS, kita juga segala-galanya. Dalam ucapan Yang Berbahagia Dato AS Khamis ada menyebut: Saya tidak mahu dengar satu hari nanti WARIS  senyap dan sepi, tidak bermaya dan seterusnya berkubur. Justeru, marilah kita sama-sama bangkit menyahut cabaran tersebut dengan beriktikad membangun, menghidup dan membina WARIS untuk masa-masa hadapan dan seterusnya sepanjang masa.
                          

2 comments: