Thursday 22 September 2011

Tema dan persoalan-persoalan novel Dari Lembah ke Puncak ( Ghazali Lateh )

Novel Dari Lembah ke Puncak karya Ghazali Lateh bertemakan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup, tetapi akhirnya berjaya.
      Di antara persoalan-persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah:
1. Kerajinan bekerja untuk kelangsungan hidup
    Contoh: Jalil rajin bekerja di sawah bendang arwah ayahnya ( Pak Teh ) di kampung Bukit Nibung untuk kelangsungan hidup bersama ibunya ( Mak Teh ) atau Jalil bekerja sebagai pelukis jalanan di Kuala Lumpur bersama dengan abang Joe untuk kelangsungan hidupnya.
2. Fitnah-memfitnah untuk kepentingan diri sendiri
   Contoh: Pak Ngah Kadir/Kudin anaknya telah membuat tuduhan yang Muhsin melarikan Sabariah/Biah, iaitu anak gadisnya ke Kuala Lumpur. Dan dituduhnya Biah bunting kerana perbuatan Muhsin ( abang Jalil ).
3. Dengki/dendam kepada seseorang
    Contoh: Kudin dengki kepada Jalil sehingga sanggup membuang serpihan kaca ke dalam tapak semaian Jalil menyebabkan kakinya luka kerana terpijak kaca buangan tersebut.
4. Tolong-menolong atau membantu seseorang
    Contoh: Arwah Pak Teh tolong menyelamatkan mendiang Ah Yau  iaitu ayah Ah Bee semasa darurat dengan membawanya berlindung di dalam parit.
5. Mengambil kesempatan di atas kesusahan/kesempitan hidup seseorang/menangguk di air keroh
   Contoh: Pak Lang Ali mengambil untung sebanyak RM5 ribu hasil penjualan tanah arwah Pak Teh/Mak Teh/ayah Jalil kepada Pak Amat dengan harga RM10 ribu.
6. Mungkir janji/tidak menepati janji yang dibuat kepada seseorang
   Contoh: Pak Amat yang membeli tanah dari Mak Teh dengan harga RM10 ribu telah berjanji dengan Jalil untuk memulangkan tanah tersebut dalam masa di antara lima hingga sepuluh tahun. Tetapi sewaktu Jalil pulang dari Kuala Lumpur untuk membayar balik harga tanah tersebut tidak disetujui oleh Pak Amat. Dia telah menaikkan harga tanah kepada RM50 ribu.
7. Rajin belajar/mementingkan pelajaran untuk masa hadapan
    Contoh: Jalil, walaupun miskin dan susah rajin belajar sehingga dia lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan berjaya memasuki Universiti Putera Malaysia dalam bidang taman dan landskap.
8. Bertanggungjawab kepada orang tua
   Contoh: Jalil seorang anak yang bertanggungjawab kepada ibunya ( Mak Teh ), iaitu dengan mengirim wang setiap bulan kepadanya di kampung setelah dia berjaya menjadi usahawan di Kuala Lumpur.
9. Menunaikan amanah dan wasiat arwah orang tua
    Contoh: Jalil berjanji di hadapan kubur arwah ayahnya/Pak Teh untuk melaksanakan wasiat/pesanan arwah ayahnya supaya menjaga dan mengusahakan tanah peninggalannya. Dan Jalil telah melaksanakannya.
10. Hidup mempunyai cita-cita tinggi/berwawasan/ada masa hadapan
      Contoh: Jalil mempunyai perancangan yang besar dalam hidupnya iaitu ingin menebus balik tanah arwah ayahnya dan membeli keseluruhan tanah penduduk kampung Bukit Nibung dan Bukit Jenun untuk membangun projek Taman Tema Air.
11. Bersimpati/belas kasihan kepada seseorang yang dalam kesusahan hidup
      Contoh: Latifah amat bersimpati kepada Jalil yang hidup bersendirian di dangaunya. Latifah telah menghantar makanan kepada Jalil. Latifah juga membalut kaki Jalil yang luka terkena kaca di sawah bendang.
12. Bertindak terburu-buru tanpa berfikir panjang/ikut perasaan
      Contoh: Mak Teh telah menjual tanah arwah Pak Teh kepada Pak Amat melalui Pak Lang Ali tanpa memberi tahu atau berbincang dengan Jalil terlebih dahulu.
13. Sayang kepada binatang ternakan
     Contoh: Jalil telah menjaga kerbau jantannya si awang dengan baik dan menangis ketika hendak meninggalkan kerbaunya kepada Pak Samad di kampung Tanjung Setul.
14. Melakukan perbuatan sumbang mahram
     Contoh: Pak Ngah Kadir telah menodai anak gadisnya sendiri, iaitu Sabariah/Biah sehingga mengandung, tetapi menuduh Muhsin yang melakukannya.
15. Percintaan sesama insan
      Contoh: Jalil jatuh hati kepada Latifah anak gadis Pak Lang  Ali yang bekerja sebagai pegawai akaun di syarikatnya. Jalil pernah membawa Latif bersiar-siar di Pantai Morib, Selangor.
16. Percaya kepada bomoh/dukun
      Contoh: Mak Teh telah beberapa kali pergi ke rumah bomoh Tok Su Dolah untuk menengok sama ada betul atau tidak Muhsin yang dituduh oleh Pak Ngah Kadir membawa lari Sabariah/Biah ke Kuala Lumpur.
17. Keinsafan/penyesalan di atas sikap buruk diri sendiri
    Contoh: Kudin yang selalu dengki, dendam, marah, menentang Jalil dan menghasut penduduk kampung supaya tidak menandatangani penyerahan tanah kepada Jalil/Syarikat Alam Hijau untuk projek Taman Tema Bukit Nibung, akhirnya merasa bersalah dan meminta maaf kepada Jalil.
18. Kemiskinan hidup masyarakat/penduduk kampung
     Contoh: Majoriti penduduk kampung Bukit Nibung, Bukit Jenun, Tanjung Setul dan Banggol Lalang hidup dalam keadaan miskin. Sumber pendapatan penduduk kampung sebagai petani, penoreh getah dan pencari hasil hutan.
    Dan persoalan-persoalan lain yang boleh ditokok tambah lagi ...........................

No comments:

Post a Comment