Friday 18 May 2012

Tema dan persoalan-persoalan dalam Hikayat Seri Kelantan ( Teks Seuntai Kasih Secebis Harapan )

Tema

Hikayat Seri Kelantan bertemakan asal-usul atau susur galur keturunan raja-raja/sultan/pemerintah awal negeri Kelantan yang sering bertukar ganti pada peringkat awal. Misalnya bermula dengan Encik Siti, kemudian diikuti oleh Sultan Abdullah, Tuan Puteri Sa'dung, Sultan Ibrahim ( Keturunan Raja Jembal ), Datu, Tuk Raja Udang, Raja Tuan Long Pandak dan Raja Muda Pasir Mas Seberang Tuk Deh ( Lenggeh ).

Persoalan-persoalan

  1. Mengambil berat/mementingkan keturunan pada masa hadapan, misalnya Encik Siti yang tidak mempunyai anak telah mengambil Tuan Puteri Sa'dung/Raja Abdullah anak raja Jembal dan mengahwinkan mereka berdua.
  2. Pemerintahan yang adil terhadap negeri dan rakyat, misalnya Encik Siti/Sultan Abdullah/Tuan Puteri Sa'dung/Raja Tuan Long Pandak telah memerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung dan rakyat dengan adil sehingga disukai oleh rakyat jelata.
  3. Pemerintahan yang zalim/kejam terhadap negeri dan rakyat, contoh Sultan Ibrahim yang menggantikan Sultan Abdullah sebagai pemerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung yang berpusat di Kota Teras, Jembal memerintah negeri dan rakyat dengan zalim.
  4. Amalan pengambilan dan pemeliharaan anak angkat dalam masyarakat di negeri Kelantan, misalnya Encik Siti yang tidak mempunyai anak telah mengambil Tuan Puteri Sa'dung/Raja Abdullah anak raja Jembal sebagai anak angkatnya.
  5. Kasih sayang dalam keluarga/suami-isteri/adik-beradik, misalnya Sultan Abdullah sangat sayang kepada isterinya Tuan Puteri Sa'dung/Long Sulaiman sangat sayang kepada kakaknya Tuan Puteri Kembang Bunga/dll.
  6. Penggunaan unsur kesaktian/jampi mentera dalam amalan kehidupan seharian, misalnya Tuan Puteri Sa'dung menggunakan kesaktiannya memindahkan/mengangkat istana Kota Jelasin ke dalam Cerang Bahana yang kemudian diberi nama Mahligai/Tuan Puteri Sa'dung bertindak menyembur dada Raja Siam sehingga naik penyakit kayap yang amat sakit.
  7. Amalan hidup masyarakat yang mempercayai telahan ahli nujum, misalnya Raja Siam percaya kepada Tuk Ca seorang ahli nujum yang mengatakan untuk menyembuh penyakit kayap di dada ialah dengan menghantar balik Tuan Puteri Sa'dung kepada Sultan Abdullah di Mahligai/Kelantan/Raja Pattani ( Nang Cayang ) percaya kepada ahli nujum yang mengatakan baginda jatuh sakit kerana memelihara Long Yunus di dalam istananya.
  8. Pencerobohan/merampas hak orang lain tanpa perikemanusiaan/zalim, misalnya Raja Siam menyerang negeri Kelantan dan merampas/membawa lari Tuan Puteri Sa'dung ke benua Siam untuk dijadikan isterinya.
  9. Keberanian mempertahanakan hak dan tanah air, misalnya Sultan Abdullah bersama para pembesar dan rakyatnya berani menentang angkatan Raja Siam yang menyerang negeri Kelantan/tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung untuk merampas Tuan Puteri Sa'dung isterinya.
  10. Muafakat dalam melakukan sesuatu tindakan, misalnya Sultan Abdullah bermuafakat dengan para pembesar dan rakyatnya untuk menentang angkatan Raja Siam yang menyerang negeri Kelantan untuk mengambil Tuan Puteri Sa'dung, isterinya.
  11. Tolong-menolong/bantu-membantu terhadap orang yang memerlukan pertolongan/bantuan, misalnya Long Yunus telah menolong Long Jaafar menemukan dengan Raja Tuan Long Pandak di istana Kota Kubang Labu.
  12. Bersimpati/belas kasihan terhadap seseorang yang susah, misalnya Long Yunus merasa belas kasihan kepada Long Jaafar yang dihalau oleh ayahandanya dari negeri Reman.
  13. Membunuh diri kerana tekanan  perasaan, misalnya Tuan Puteri Kembang Bunga membunuh diri di dalam wangkang di Kuala Nama kerana tekanan perasaan disebabkan ramai anak raja/orang muda di negeri Pattani yang meminati dirinya.
  14. Bertindak terburu-buru/membuat keputusan tanpa menyiasat terlebih dahulu, misalnya Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu telah menikam/membunuh isterinya berpunca dari kain cukin kepunyaan Long Jaafar yang tersangkut di atas kil dalam istananya.
  15. Bertindak kejam/tidak berperikemanusiaan/zalim terhadap orang lain, misalnya Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu bertindak kejam dengan menikam/membunuh isterinya.
  16. Membalas dendam terhadap seseorang, misalnya Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh bersama dengan para pembesar dan rakyatnya telah menyerang dan membunuh Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu sebagai balas dendam kerana telah menikam/membunuh adiknya/Tuan Puteri Sa'dung memancung/membunuh Sultan Abdullah sebagai balas dendam kerana membunuhnya.
  17. Tidak mengambil berat dan leka dalam permainan, misalnya Raja Tuan Long Pandak sedang leka/asyik bermain catur sewaktu istananya di serang oleh Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh sehingga baginda terbunuh.
  18. Mengamalkan adat-istiadat raja-raja, misalnya Tuan Puteri Sa'dung memerintahkan para pembesar dan rakyatnya mengebumikan jenazah Sultan Abdullah di Tasik Padang Layang secara adat raja-raja mati/Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh memerintahkan rakyatnya dan rakyat di Kota Kubang Labu mengebumikan jenazah/mayat Raja Tuan Long Pandak secara adat raja-raja mati di kubur Kota Kubang Labu.
  19. Peperangan di antara negeri Kelantan dengan Siam, misalnya Siam telah menyerang negeri Kelantan pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah/Tuan Puteri Sa'dung.
  20. Mungkir janji, misalnya Sultan Abdullah  mungkir janji kerana telah berkahwin lain selepas Tuan Puteri Sa'dung dibawa lari oleh orang-orang Siam ke benua Siam.
  21. Beriman kepada Allah/berusaha menegakkan agama Islam, misalnya Tuan Puteri Sa'dung tidak mahu tujuh orang Siam kafir menghantarnya balik semula ke pangkuan Sultan Abdullah di Mahligai/Kelantan, tetapi baginda mahukan tujuh orang Islam yang menghantarnya.
  22. Dan persoalan-persoalan lain ................. sila rujuk teks/cerita/hikayat asal.

No comments:

Post a Comment