Tuesday 12 February 2013

Bersara pilihan 57

Dengan hormat dan sukacitanya, dimaklumkan kepada semua rakan/kenalan dan pengikut setia Blog Azmar-PB yang jauh dan dekat ( guru-guru, para pelajar serta para peminat ulasan teks sastera ), bahawa saya DRS. AB. AZIZ BIN HAJI OMAR ( penulis blog ini ) telah bersara dengan rasminya dari jawatan guru berkuatkuasa pada 1 Februari, 2013. Persaraan ini adalah dengan kehendak dan pilihan sendiri. Jawatan dan gred terakhir dalam perkhidmatan perguruan ialah PPPS ( Guru Cemerlang Sastera, gred DG54 ). Jawatan terakhir dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia ialah Timbalan Ketua Panel Penggubal Soalan dan Ketua Pemeriksa Malaysia mata pelajaran Kesusasteraan Melayu SPM 2012.
       Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai guru selama 28 tahun 19 hari, saya sempat bertugas/mengajar di 7 buah sekolah menengah dalam kawasan PPD Pasir Mas, Kelantan.
     Terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran Malaysia/Kerajaan Malaysia/Kerajaan Barisan Nasional yang telah memberi peluang kepada saya menjawat jawatan sebagai guru/kaki tangan perkhidmatan awam. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada pihak PPD Pasir Mas dan JPN Kelantan yang telah banyak memberi sokongan moral dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam kerjaya saya sebagai guru. Dengan jawatan dan gaji yang diterima telah membolehkan saya menyara anak-anak dan isteri sehingga berjaya. Dapat memiliki sebuah rumah banglo dan  tiga buah kereta `second hand`.
        Saya mengambil kesempatan di ruangan yang terbatas ini untuk memohon maaf yang tidak terhingga daripada semua pihak, terutama para pengikut blog ini seandainya terdapat sebarang kesilapan dan kekurangan, seperti ketidaksempurnaan bahan yang dihidangkan dan sebagainya. Bahan-bahan yang disediakan ini ialah untuk dibaca dan dibuat kajian terutama oleh para guru yang mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di tingkatan empat dan lima, lebih-lebih lagi kepada para pelajar yang akan mengambil mata pelajaran ini dalam peperiksaan SPM. Bahan-bahan ini saya izinkan untuk dibuat apa sahaja asalkan bertujuan untuk pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah/kelas, kecuali dicetak/dibukukan untuk dipasarkan/diniagakan.
        Untuk itu, saya akhiri dengan beberapa rangkap pantun orang-orang tua dahulu:

Bunga melati tumbuh di darat,
    Bunga seroja di tepi kali,
Hina besi kerana karat,
    Hina manusia tidak berbudi.

Jangan dilurut si padi muda,
    Jika dilurut tangan yang luka,
Jangan diturut si hati muda,
    Jika diturut badan binasa.

Orang Aceh pergi sembahyang,
    Hari Jumaat tengah hari,
Pergilah kasih pergilah sayang,
    Pandai-pandai menjaga diri.

Hari ini bertanam kangkung,
    Hari esok bertanam serai,
Hari ini kita berkampung,
    Hari esok kita bercerai.

Kalau mencari tempat mandi,
     Pertama teluk kedua tasik,
Kalau mencari calon pengganti,
    Pertama elok kedua menarik.

Jika ada jarum yang patah,
   Jangan disimpan  dalam peti,
Jika ada silap dan salah,
  Jangan disimpan  dalam hati. 

Jika ada sumur di ladang,
   Boleh hamba menumpang mandi,
Jika ada umur yang panjang,
   Boleh kita berjumpa lagi.

Buah durian buah selasih.
Sekian dan terima kasih.




 
           

1 comment:

  1. Pulau pandan jauh ke tengah,
    Gunung Daik bercabang tiga;
    Hancur badan dikandung tanah,
    Budi yang baik di kenang jua.

    Tinggi bukit gilang gemilang,
    Nampak dari si Tanjung Jati;
    Budi sedikit masakan hilang,
    Tetap dikenang sampai ke mati.

    Waktu petang pergi ke laut,
    Naik sampan mudik ke hulu;
    Bila terkenang mulut tersebut,
    Budi yang baik teringat selalu.

    Taman Lagundi tumbuh kelapa,
    Terbit bunga pucuknya mati;
    Budi tuan saya tak lupa,
    Sudah terpahat di dalam hati.

    Tenang-tenang air di laut,
    Sampan kolek mudik ke Tanjung;
    Hati terkenang mulut menyebut,
    Budi yang baik rasa nak junjung.

    SELAMAT MENIKMATI MASA PERSARAAN Cikgu. Budi dan tunjuk ajar cikgu tidakkan dilupai sampai bila-bila.

    Abdullah A. Razak,
    SMK Kuala Penyu,
    Kuala Penyu,
    Sabah.
    (Peserta kursus Sastera di Kundasang 2007)

    ReplyDelete