Wednesday 6 March 2013

Perbezaan pembelajaran di kelas dengan menjawab soalan peperiksaan awam di dewan

Merujuk kepada tajuk di atas, memang terdapat jauh perbezaannya di antara situasi pelajar belajar di kelas/makmal dengan suasana pelajar menjawab soalan peperiksaan awam ( UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM ) di dewan.
     Belajar di dalam kelas/makmal ada guru, buku teks, buku rujukan, buku kerja, rakan sebaya, alat bantu seperti tabung uji/test tube, kanta lensa, neraca penimbang, radas, peta, cube dan sebagainya. Peranan guru di kelas antaranya mengajar, membimbing, menunjuk cara, menyelesaikan masalah, menjawab pertanyaan pelajar, menyoal, memberi tugasan, memeriksa tugasan pelajar, menilai, menegur, memerhati dan yang penting sebagai mentor bagi menggerakkan aktiviti pembelajaran di kelas. Kadang-kadang guru berkongsi idea dengan pelajar. Memberi idea dan seterusnya menerima idea bernas pelajar. Setiap kesilapan/kesalahan maklumat, fakta, contoh dan huraian yang salah daripada pelajar terhadap sesuatu topik yang dibincangkan di dalam kelas akan terus diperbetulkan oleh guru. Murid ada ruang dan kesempatan memperbaiki kesilapan/kesalahan tersebut.  Situasi ini amat berbeza apabila pelajar memasuki dewan peperiksaan awam ( UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM ). Di dewan peperiksaan, pelajar tidak lagi bersama guru yang boleh membantu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Misalnya masalah tidak faham kehendak soalan, istilah/frasa soalan, cara jawab dan jumlah isi jawapan yang diperlukan oleh soalan. Pelajar dilepas berdikari sendiri menjawab soalan peperiksaan yang diberikan kepada mereka. Untuk menghadapi situasi begini, apa agaknya pra-persediaan peperiksaan yang perlu ada pada seseorang pelajar. Sudah tentulah perkara utama yang perlu belajar bawa masuk ke dewan pada hari peperiksaan ialah pengetahuan/ilmu yang dipelajari di kelas daripada guru-guru atau yang dibaca di rumah. Tanpa pengetahuan yang cukup mantap dalam minda terhadap sesuatu mata pelajaran yang bakal di soal dalam peperiksaan akan mengakibatkan pelajar gagal menjawab soalan dengan baik dan sempurna. Jadi istrumen yang bakal pengganti guru di dewan peperiksaan awam ialah pengetahuan/ilmu yang ada pada seseorang pelajar. Untuk menguasai pengetahuan terhadap seseuatu mata pelajaran, pelajar mestilah kena banyak membaca, membuat ulang kaji, latihan dan perbincangan dengan rakan-rakan sebaya. Aspek lain yang perlu ada pada seseorang pelajar selain daripada ilmu pengetahuan terhadap sesuatu mata pelajaran ialah disiplin diri, keyakinan, kemahiran, kesabaran, ketabahan, ketekunan, ketelitian dan menepati masa.
      Belajar di dalam kelas selain daripada dibimbing dan dibantu guru, pelajar diwajibkan membawa buku teks dan buku catatan. Pelajar menggunakan buku teks dan seterusnya buku latihan untuk membuat latihan atau mencatat nota. Bahkan ada juga guru yang menggalakkkan murid membeli dan menggunakan buku kerja, buku ulasan, buku rujukan dan sebagainya. Di samping terdapat alat-alat bantuan mengajar lain yang digunakan guru seperti  majalah, surat khabar, statistik, peta, carta pai, jadual, grafik, projektor lcd, kamus, gambar, objek dan sebagainya. Kesemua elemen yang disebutkan itu digunapakai oleh guru bertujuan untuk lebih memantapkan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas terhadap pelajar. Supaya pelajar lebih teransang minat belajar dan memberi perhatian yang serius terhadap satu-satu tajuk yang dibincangkan di dalam kelas. Murid boleh merujuk buku teks, buku ulasan, buku rujukan , kamus, peta dan sebagainya. Murid boleh bertanya kepada guru dari semua aspek dan guru pula boleh memberi penerangan dengan panjang lebar dari pelbagai sudut sehingga pelajar betul-betul faham dan jelas terhadap sesuatu masalah yang berbangkit daripada tajuk yang sedang dibincangkan di dalam kelas. Murid juga diberi peluang untuk berbincang dengan rakan sebaya di dalam kelas dalam bentuk kerja kumpulan.Guru dan murid akan sama-sama merasa seronok dan berpuas hati terhadap tajuk yang dibincangkan. Tetapi apabila pelajar melangkah masuk ke dewan peperiksaan awam, kesemua peralatan belajar harian yang wajib dibawa dan digunakan di kelas itu tidak boleh sama sekali dibawa masuk bersama dengan pelajar. Apa lagi untuk membentuk kumpulan perbincangan. Peraturan peperiksaan awam melarang sama sekali, kecuali mata pelajaran sejarah tiga ( SPM ) dibenarkan dibawa masuk buku teks sejarah tiga. Pelajar hanya dibenarkan membawa peralatan tulis dan kira-mengira. Selebihnya tidak ada apa-apa yang dibenarkan dibawa  masuk ke dalam dewan peperiksaan awam. Tidak ada lagi aktiviti pembelajaran, iaitu interaksi di antara guru dengan murid. Suara guru dan suara murid senyap, sunyi dan sepi. Hanya suara ketua pengawas peperiksaan yang kedengaran pada awal permulaan dan akhir peperiksaan yang memberi arahan-arahan tertentu. Tidak ada lagi pergerakan pelajar ke sana dan ke mari seperti yang berlaku di dalam kelas. Dalam situasi yang genting sebegini apa yang patut dan harus  pelajar bawa  ke dalam dewan peperiksaan awam.  Roh dan semangat belajar yang dipupuk dan dilentur oleh guru di dalam kelas hendaklah dibawa bersama oleh pelajar ke dalam dewan peperiksaan awam. Perkara pokok yang perlu dibawa oleh pelajar ialah ilmu/pengetahuan yang ada dalam minda. Pengetahuan dalam sesuatu bidang mata pelajaran yang diajar oleh guru di kelas, iaitu pengetahuan yang mantap dan sempurna. Pengetahuan yang mantap dan sempurna bermaksud pengetahuan yang murid benar-benar menguasainya. Untuk mencapai taraf benar-benar menguasai sesuatu mata pelajaran, tentulah pelajar kena banyak membaca dan mengulang kaji terhadap tajuk-tajuk yang telah diajar oleh guru semasa dalam kelas tempoh hari. Pelajar juga perlu membawa semangat yang tinggi untuk mencuba dengan semaksimum mungkin. Semangat `saya boleh' perlu ada dalam diri setiap pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam. Dengan pengetahuan yang cukup di minda dan semangat yang mantap dalam diri, insya-Allah pelajar akan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik.
        Di dalam kelas guru mengajar dan murid belajar. Interaksi yang berlaku di antara dua pihak ini, wujudlah proses pengajaran dan pembelajaran. Guru dan murid sama-sama mengunakan buku teks, buku rujukan, buku ulasan dan sebagainya. Dalam pengajaran di kelas, guru mengunakan pedagogi ( Ilmu Kependidikan ) yang merangkumi strategi, pendekatan, kaedah, teknik, aktiviti, pengisian kurikulum, refleksi dan sebagainya. Guru boleh menggunakan strategi berpusatkan pelajar, bacaan luas, pelbagai pendekatan, pelbagai bahan sumber dan sebagainya. Kesemua instrumen, elemen dan item digunakan guru di dalam kelas objektifnya ialah untuk menarik minat pelajar belajar. Supaya pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas lebih berkesan dan berkualiti. Supaya pelajar merasa seronok untuk belajar dan dapat pula memahami dengan mudah terhadap sesuatu tajuk/topik/tema yang dipelajari. Guru mengajar berpandukan rancangan pelajaran harian yang telah dirancang sebelum memasuki sesuatu kelas, supaya alur pengajarannya tidak terpesong dan berkesudahan dengan mencapai objektif yang ditetapkan. Dengan rancangan pelajaran harian yang mantap, akan terhasillah pengajaran dan pembelajaran yang terancang, berkualiti dan berkesan. Murid akan berasa seronok dan berpuas hati kerana mendapat impak yang bermakna. Kemahiran guru mengurus dan menggunakan elemen dan instrumen pedagogi di atas amat penting dalam menjana pengajaran dan pembelajaran berkualiti terhadap pelajar di dalam kelas. Dalam masa yang sama guru juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mendedahkan kepada pelajar cara mentafsir dan menjawab soalan peperiksaan. Guru seharusnya menguasai aspek ini sebab pada penghujung pelajaran murid akan menduduki peperiksaan awam. Amat malang sekiranya ada guru-guru yang tidak mengambil kisah terhadap teknik menjawab soalan peperiksaan. Pelbagai bentuk soalan yang boleh disoal dalam peperiksaan awam berbanding dengan stereo type tajuk/tema/topik yang diajar di dalam kelas. Apabila pelajar memasuki ke dewan peperiksaan awam apa akan jadi? Apa perkara yang perlu pelajar bawa bersama ke dalam dewan peperiksaan awam? Selain daripada pengetahuan dan semangat, perkara yang amat penting dan perlu pelajar bawa ke dalam dewan peperiksaan awam ialah kemahiran. Kemahiran bermaksud kebolehan mengagihkan masa dengan baik sesuai dengan jumlah soalan yang hendak dijawab. Kemampuan memilih dan mentafsir kehendak soalan dengan betul. Kebolehan mengesan dan menyusun sejumlah isi yang diperlukan soalan. Kebolehan menjawab soalan menggunakan teknik jawapan yang betul. Kemampuan mengemukakan fakta dengan secukupnya serta memberikan satu dua contoh/huraian yang sesuai dengan fakta/isi yang diberikan. Kebolehan menjawab soalan dengan menggunakan gaya bahasa yang betul seperti ayat, tatabahasa, ejaan dan tanda bacaan. Elak sama sekali daripada menggunakan bahasa rojak dan ejaan SMS. Pemeriksa berhak memotong markah mana-mana calon yang menjawab soalan menggunakan bahasa yang cacamarba.
         Di dalam dewan peperiksaan awam, aspek kemahiran seperti di atas tidak akan diberitahu oleh sesiapa pun lagi. Pelajar dengan dirinya masing-masing. Justeru itu, sewaktu belajar di dalam kelas biasa sebelum melangkah ke dalam dewan peperiksaan awam, pelajar hendaklah memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Pelajar diminta bertanya guru untuk menjawab pelbagai jenis soalan latihan di dalam kelas. Sebaiknya apabila guru membuat ulangkaji menjawab soalan ujian atau peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan percubaan, pelajar semestinya berada di dalam kelas dan berikan perhatian yang sepenuhnya  terhadap penerangan guru. Soal kaedah atau panduan teknik menjawab soalan ini tidak ada dalam buku teks atau buku ulasan/rujukan, yang ada hanya pada guru. Terutama guru-guru yang terlibat secara langsung dengan pemeriksaan kertas peperiksaan awam ( PMR, SPM dan STPM ).
         Satu aspek kemahiran lain yang pelajar juga perlu miliki dan bawa bersama ke dalam dewan peperiksaan awam ialah kemahiran mengawal emosi. Tekanan perasaan sewaktu peperiksaan awam sedang berlangsung di dalam dewan memang berlaku dan hendaklah dikawal dengan penuh bijakasana oleh setiap pelajar/calon peperiksaan. Maklumlah suasana peperiksaan awam ialah suasana formal. Ditambah pula dengan masa yang amat terhad bagi satu-satu mata pelajaran. Dalam masa yang terhad tersebut, pelajar kena baca, hayati dan pilih soalan. Merangka isi dan contoh/huraian. Dalam masa yang sama kena tulis jawapan. Jawapan yang ditulis mesti menggunakan bahasa yang betul. Fikiran dan perasaan menjadi berkecamuk. Berfikir, menyusun, menulis dan sebagainya. Di sinilah pelajar perlu bersabar, tabah, tekun, berhati-hati dan bijaksana.
           Memang jauh beza suasana belajar di kelas harian biasa dengan suasana dalam dewan peperiksaan awam. Di kelas harian biasa kita dibimbing dan didampingi guru serta kawan-kawan sekelas. Segala apa yang tidak difahami mengenai sesuatu tajuk boleh terus bertanya guru dan berbincang dengan rakan-rakan sekelas. Di dalam dewan peperiksaan awam, apa yang berlaku di dalam kelas tidak akan pelajar jumpai lagi.
          Justeru itu, para pelajar diseru supaya belajar betul-betul dengan guru di kelas harian biasa sebagai persiapan untuk melangkah kaki ke dewan peperiksaan awam supaya kelak tidak menyesal nanti.

No comments:

Post a Comment