abazizomar@gmail

Wednesday, 6 March 2013

Sambungan teks ucapan majlis perpisahan persaraan


dan seni yang ada dalam dirinya untuk diperturunkan kepada pelajar.  Di sinilah kita guru mesti menggunakan  segala kebijaksanaan dan kepakaran yang ada.
Transformasi pendidikan yang diperkenalkan oleh KPM pada tahun 2010 adalah sebahagian daripada  agenda transformasi negara untuk mencapai taraf negara maju setanding dengan negara-negara maju lain di dunia. KPM telah menterjemahkan transformasi pendidikan dalam bentuk NKRA ( Bidang Keberhasilan Utama Negara Pendidikan ), KPI ( Indeks Petunjuk Pencapaian Prestasi ) dan headcaunt. Adalah menjadi beban tugas dan tanggungjawab yang mesti dipikul dan digalas oleh setiap individu guru sama ada guru-guru baharu mahupun guru-guru lama bagi merealisasikan objektif tersebut. Pendek kata tugas dan tanggungjawab guru semakin hari semakin mencabar dan mencabar. Tidak ada masa ringan, relak, dan santai dari awal mula bertugas sehinggalah kita pencen. Tugas dan tanggungjawab guru boleh diibaratkan seperti bentuk batang patton larian olahraga di tengah padang, di bahagian kepala, tengah dan hujung, saiznya sama sahaja. Itulah realiti yang  guru-guru perlu terima dan pikul dengan hati yang lapang dan penuh terbuka.
Untuk mencapai negara yang hebat, rakyat yang hebat, masyarakat yang hebat, murid yang hebat, sekolah yang hebat, pencapaian akademik yang hebat, sasiah pelajar yang hebat, ekonomi yang hebat, guru mestilah hebat dan kuat. Guru tidak boleh berputus asa, tidak bersemangat dan tidak bermaya. Guru sentiasa mesti berada pada aras semangat yang tinggi.
Justeru, guru mestilah jujur, rajin, komited, berdisiplin, berwawasan, ada visi, misi, perancangan masa depan, berani, berpandangan jauh, bertanggungjawab, bijak menyelesaikan masalah, berilmu, berfikiran aras tinggi ( HOTS ), penyayang, mesra pelajar,  cintakan profesion dan lain-lain sebagainya. Guru adalah agen utama pembinaan masyarakat madani negara tercinta.
Dalam bidang ilmu, guru tidak hanya perlu arif dan terikat dalam mata pelajaran tertentu di kelas sahaja, tetapi mesti lebih jauh daripada itu. Guru perlu  serba sedikit mengetahui, menghayati dan memahami dasar-dasar penting terbaharu KPM sepertinya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM 2013-2025 ), Pelan Strategik Interim KPM ( 2011-2020 ), Dasar Memertabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris ( MBMMBI ) yang menggantikan dasar PMSI, Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ), Celik 3M, Dasar 60:40, LINUS,
       Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( PBS ), Dasar Satu Murid Satu Sukan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah 2002 ( KBSM ), NKRA ( Bidang Keberhasilan Utama Pendidikan ), Rancangan Malaysia ke-10 ( Pendidikan ) dan  dua dasar  terbaharu KPM yang diperkenalkan pada tahun ini ialah HOTS ( High Order Thinking Skill ) dan MMI ( Melindungi Masa Instruksional ) yang mana saya turut terlibat dalam menyumbang kertas kerja bagi dasar tersebut yang telah pun dibukukan dan diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara dalam bentuk cakra padat setebal 551 muka surat.
Dalam sehari dua ini kita dihebohkan pula oleh KPM yang merancang untuk menjadikan mata pelajaran teras Bahasa Inggeris wajib lulus di peringkat peperiksaan SPM sebagai syarat untuk pelajar mendapat sijil penuh SPM. Perkara ini masih lagi di peringkat kajian dan perbincangan pihak KPM sementara menunggu respon daripada masyarakat luas.
Adalah akan menjadi satu lagi tanggungjawab dan cabaran tambahan yang terpaksa dipikul dan digalas oleh guru-guru mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat kelas terutamanya guru-guru yang mengajar di tingkatan 4 dan 5 ( SPM ).
Guru-guru juga seharusnya dapat menguasai bidang ICT dari pelbagai sudut dengan baik. Dapat menerokai/melayari laman-laman web pendidikan melalui kemudahan perkhidmatan internet/jalur lebar yang disediakan oleh pihak sekolah untuk mengakses bahan-bahan pengajaran yang sesuai kepada para pelajar di kelas. Menggunakan aplikasi ICT P d P di kelas-kelas dengan penuh bijaksakna dan berkesan agar proses pengajaran dan pembelajaran di kelas menjadi lebih menarik dan lebih diberi tumpuan oleh pelajar.
Hari ini bidang ICT ( Teknologi maklumat dan komputer ) sangat mustahak dalam kehidupan seharian masyarakat, negara dan dunia yang serba canggih dan moden ini. Justeru, individu yang gagal menguasai ICT akan tertinggal jauh ke belakang dalam semua lapangan kehidupan ( Sosial, pendidikan, ekonomi, agama dan lain-lain ).
Adalah menjadi tanggungjawab guru-guru di sini untuk mendedah peri mustahaknya ICT kepada pelajar dan sekaligus membimbing kemahiran mereka.
 
Hadirin yang saya muliakan semua.

Khusus kepada para pelajar SMK SI 1, terutamanya bekas pelajar saya di tingkatan 4 dan 5  ( Al-Antaki, Al-Farabi dan Al-Kindi ) dan pelajar kelas peperiksaan PMR, SPM dan STPM 2013.
Dengarkanlah amanat dan coloteh terkahir daripada gurumu yang tercinta ini ( Guru yang dipuji dan dipuja/tersohor ).
Sekolah ialah institusi pengajian ilmu secara formal. Tempat pelajar  mencari dan mendapatkan ilmu pengetahuan.
Guru ialah sumber tempat pelajar memetik ilmu daripadanya. Maka hormati dan sanjungilah guru-guru anda.
Kawan/rakan-rakan ialah tempat anda berkongsi pengalaman ( duka dan gembira ). Bergaul dan berkawanlah dengan baik. Hormatilah di antara satu sama lain. Gunakan bahasa yang sopan santun dan berhemah tinggi apabila berbira dengan rakan-rakan sebaya. 
Guru kauselor ialah unit pembina minda, semangat dan tunjuk hala kerjaya masa depan anda. Dampingilah mereka selalu dan jangan segan silu.
Buku ialah teman ilmu setia anda. Baca dan kajilah dengan sepuas-puasnya dan percayalah bahawa anda tidak akan rugi jika bertemankan buku.
Laman web blog akademik ialah sumber rujukan tambahan untuk pengukuhan pengetahuan.
Sekolah bukan tempat untuk kita berhore-hore,  bercinta/berasmara, gelak ketawa dan bising, apa lagi tempat untuk bergaduh  dan operasi peras ugut. Sekolah ialah tempat membina minda, kemahiran , sasiah, perilaku pelajar dan pusat himpunan ilmu.
Gunakanlah peluang keemasan ini  dengan sebaiknya untuk belajar. Ilmu sangat berguna untuk masa depan hidup seseorang. Gunakan masa remaja anda dengan sepenuhnya untuk mendapat sebanyak mungkin ilmu. Peluang keemasan seperti ini tidak akan berulang dalam hidup kita. Gaya hidup orang yang berlmu amat jauh bezanya dengan orang yang tiada ilmu. Gunakanlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan kerajaan dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan pelajaran dan masa depan hidup anda.
Pelajar harus bersemangat, rajin dan berdisiplin. Mesti ada visi dan misi dalam hidup
 
Jangan lupa enam ciri utama yang perlu pelajar bina dan miliki untuk berupaya bersaing di peringkat global:
1.Kemahiran memimpin
2.Kemahiran dwi bahasa
3.Etika dan kerohanian
4.Identiti nasional
5.Pengetahuan
6.Kemahiran berfikir ( HOTS )
Kesemua elemen ini boleh dicapai melalui sistem pendidikan di sekolah. 
Untuk mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang sekali pun kita mesti berusaha dengan penuh yakin. Sesuatu kejayaan atau kehebatan tidak akan datang dengan mudah secara bergolek-golek.  Kena berusaha, yakin dan tabah. 
Pada kesempatan ini cikgu mengizinkan dan merestui segala ilmu yang pelajar perolehi daripada saya. Cikgu memaafkan dari hujung kaki sampai ke hujung rambut segala kesilapan dan kesalahan anda sepanjang belajar dengan saya di dalam kelas. Cikgu juga ingin memohon/meminta maaf banyak daripada pelajar sekalian, terutama pelajar tingkatan 4 dan 5 ( Al-Antaki, Al-Farabi dan Al-Kindi ) jika sekiranya  selama anda belajar dengan saya ada terdapat kesalahan atau kesilapan daripada saya sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan.  Segala jenaka, seloroh, teguran, sindiran, herdik, denda, maki hamun yang berlaku di dalam kelas sepanjang pengajaran dan pembelajaran tempoh hari semuanya bertujuan untuk kebaikan  dan pembangunan diri pelajar. Cikgu tidak ada menyimpan sekelumit pun  perasaan dendam terhadap para pelajar sekalian. Percayalah, guru sesungguhnya mempunyai hati dan jiwa yang lohor, ikhlas dan jujur. Anda semua cikgu anggap bagaikan anak-anak cikgu sendiri.  Cikgu sayang kepada kamu semua. Tapi apa boleh buat, adanya titik pertemuan maka berkesudahan pula dengan titik perpisahan. Cikgu doakan semoga pelajar semua selamat dan maju jaya dalam pelajaran. 
  Andai kata pada suatu hari nanti, pelajar berjaya memasuki universiti dan berkhidmat dengan kerajaan sebagai pegawai tinggi, jangan lupa kepada cikgu. Kenal-kenalilah cikgu, tegurilah cikgu. Mungkin cikgu pada waktu itu sudah dimamah usia, bertongkat, terbongkok-bongkok, terketar-ketar, terhoyong-hayang untuk menyeberangi jalan. Tolonglah, tolong pimpin tangan cikgu menyeberangi jalan dengan selamat semoga dengan pertolongan ikhlas itu akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar daripada Allah SWT.

Dengarkanlah sajak, syair, rangkait, pantun dan lagu juara di bawah ini sebagai penutup bicara gurumu.

 Sajak pelajar tingkatan 4 A3 SMK TG. Penglima Raja ( 2002 )
rujuk lampiran

 
Syair:

Ilmu itu wajib dipelajari,
Ke atas umat setiap diri,
Ilmu itu pendiding diri,
Jika diabai amatlah rugi.

Rangkait:

Apabila gigi sudah bertabur,
Apabila rambut sudah gugur,
Apabila mata sudah kabur,
Apabila kulit sudah kendur,
Apabila  kita suka selalu tidur,
Apabila kita diberi makan bubur,
Apabila kita selalu uzur,
Itulah petanda hendak ke kubur.

Pantun 

Bunga melati tumbuh di darat,
    Bunga seroja di tepi kali,
Hina besi kerana karat,
    Hina manusia tidak berbudi.

Jangan dilurut si padi muda,
    Jika dilurut tangan yang luka,
Jangan diturut si hati muda,
    Jika diturut badan binasa.

Orang Aceh pergi sembahyang,
    Hari Jumaat tengah hari,
Pergilah kasih pergilah sayang,
    Pandai-pandai menjaga diri.

Hari ini bertanam kangkung,
    Hari esok bertanam serai,
Hari ini kita berkampung,
    Hari esok kita bercerai.
 
Kalau mencari tempat mandi,
     Pertama teluk kedua tasik,
Kalau mencari calon pengganti,
    Pertama elok kedua menarik.

Jika ada jarum yang patah,
   Jangan disimpan  dalam peti,
Jika ada silap dan salah,
  Jangan disimpan  dalam hati

Dari mana hendak ke mana,
     Tinggi rumput dari padi,
Tahun mana musim mana,
     Dapat kita bertemu lagi.

Jika ada sumur di ladang,
   Boleh hamba menumpang mandi,
Jika ada umur yang panjang,
   Boleh kita berjumpa lagi.

Buah durian biji selasih.
Sekian dan terima kasih

DRS. AB. AZIZ  HAJI OMAR,

26 Februari, 2013.

No comments:

Post a Comment