Sunday 8 July 2012

Urutan peristiwa-peristiwa penting dalam Hikayat Caya Langkara ( Teks Seuntai Kasih Secebis Harapan )

  1. Raja Saiful Muluk dari negeri Ajam Saqat yang berkahwin dengan Tuan Puteri Sekandrum tidak mempunyai anak/putera.
  2. Raja Saiful Muluk berkahwin lain/muda dengan Tuan Puteri Sekandah Bayang-Bayang dan mendapat dua orang putera yang diberi nama Muqaddam dan Muqaddim.
  3. Tuan Puteri Sekandrum yang tidak mendapat anak/putera telah berdoa kepada Allah SWT dan dengan izin-Nya telah dikurniakan seorang putera yang sangat baik rupa parasnya lalu  diberi nama Caya Langkara.
  4. Raja Saiful Muluk telah memanggil segala hulubalang, ahli nujum dan rakyatnya untuk mengetahui maksud Caya Langkara/puteranya.
  5. Para ahli nujum meminta Raja Saiful Muluk merujuk kepada Kadi al-Mauli, iaitu ahli ilmu falak untuk mendapatkan maksud Caya Langkara/puteranya.
  6. Raja Saiful Muluk menyuruh Muqaddam dan Muqaddim pergi menemui Kadi al-Mauli dan bertanya kepadanya erti/maksud Caya Langkara/puteranya.
  7. Kadi al-Mauli memberitahu kepada Muqaddam dan Muqaddim erti/maksud Caya Langkara ialah terlalu sangat baik, akan menjadi raja besar yang sangat sakti, insya-Allah Taala.
  8. Muqaddam dan Muqaddim merasa sakit hati kepada Caya Langkara selepas mendengar erti/maksud daripada Kadi al-Mauli.
  9. Muqaddam dan Muqaddim membuat fitnah terhadap Caya Langkara kepada ayahandanya Raja Saiful Muluk dengan mengatakan Kadi al-Mauli memberitahu maksud Caya Langkara akan membawa celaka besar kepada negeri dan rakyat.
  10. Raja Saiful Muluk marah lalu pergi ke rumah bonda Caya Langkara untuk membunuh Caya Langkara tetapi tidak dibenarkan oleh bondanya/Tuan Puteri Sekandrum.
  11. Muqaddam dan Muqaddim meminta ayahandanya/Raja Saiful Muluk membuang Caya Langkara bersama bondanya ke hutan kerana bimbang negeri akan rosak binasa dengan adanya orang celaka.
  12. Raja Saiful Muluk memerintahkan mangkubumi membuang Caya Langkara bersama dengan bondanya ke hutan.
  13. Tuan Puteri Sekandrum membawa Caya Langkara tinggal di suatu kota besar di hutan bersama-sama dengan harimau, raksasa, ular dan kala.
  14. Caya Langkara yang menangis dan berguling-guling di atas batu kerana kehausan susu bondanya, tangannya terhempas di atas batu dan dengan takdir Allah Taala  keluar air dari celah jarinya seperti air sungai mengalir.
  15. Tuan Puteri Sekandrum menggunakan air tersebut untuk diberi minum kepada Caya Langkara dan memandikannya.
  16. Caya Langkara semakin hari semakin besar bermain-main di hutan bersama dengan anak kijang sehinggalah mencecah usia tujuh tahun.
  17. Sepanjang ketiadaan Caya Langkara bersama bondanya kerana dibuang ke hutan, ayahandanya/Raja Saiful Muluk pun jatuh sakit terlalu tenat.
  18. Muqaddam dan Muqaddim telah memanggil para tabib dan ahli nujum untuk mengetahui penyakit dan ubat penyakit yang boleh menyembuhkan ayahandanya.
  19. Ahli nujum memberitahu kepada Muqaddam dan Muqaddim bahawa ubat untuk menyembuhkan penyakit ayahandanya ialah kembang kuma-kuma putih ( sejenis bunga yang berwarna-warni dan berbau harum ) yang terdapat di puncak gunung Mesir.
  20. Muqaddam dan Muqaddim telah memerintahkan rakyat negeri Ajam Saqat pergi ke puncak gunung Mesir mencari kembang kuma-kuma putih tetapi mereka semua gagal sampai ke gunung Mesir.
  21. Muqaddam dan Muqaddim mengembara di dalam hutan untuk pergi mencari kembang kuma-kuma putih di puncak gunung Mesir.
  22. Raja negeri Madinah, iaitu ayahanda kepada Tuan Puteri Ra'na Kaseen jatuh sakit tenat.
  23. Tuan Puteri Ra'na Kaseen bermimpi bertemu dengan seorang perempuan tua yang memberitahu kepadanya bahawa ubat untuk menyembuh penyakit ayahandanya ialah kembang kuma-kuma putih yang terdapat di puncak gunung negeri Mesir.
  24. Tuan Puteri Ra'na Kaseen memerintahkan mangkubumi dan rakyatnya pergi ke puncak gunung Mesir mencari kembang kuma-kuma putih tersebut tetapi semuanya gagal menemuinya.
  25. Tuan Puteri Ra'na Kaseen bersama dengan mangkubumi dan rakyatnya keluar mengembara di hutan untuk pergi ke puncak gunung negeri Mesir untuk mendapatkan kembang kuma-kuma putih tersebut, tetapi ramai rakyatnya yang mati kelaparan dalam perjalanan dan lari pulang termasuk mangkubuminya kerana tidak tahan dengan cabaran di hutan rimba.
  26. Tuan Puteri Ra'na Kaseen meneruskan perjalanannya seorang diri di hutan rimba untuk pergi ke puncak gunung negeri Mesir.
  27. Di tengah hutan rimba, Tuan Puteri Ra'na Kaseen bertemu dengan Caya Langkara yang sedang memburu rusa dan kijang.
  28. Muqaddam dan Muqaddim yang melalui hutan rimba itu juga bertemu dengan Caya Langkara, tetapi tidak mengenali yang Caya Langkara itu ialah adik tirinya kerana sudah besar berusia tujuh tahun.
  29. Muqaddam dan Muqaddim yang kehausan telah meminta air daripada Caya Langkara.
  30. Caya Langkara mengajak Muqaddam dan Muqaddim singgah di gua tempat tinggalnya dan memberikan air minuman kepada mereka berdua.
  31. Muqaddam dan Muqaddim bertemu dengan bonda Caya Langkara/Tuan Puteri Sekandrum dan memberitahu tujuan kemari untuk mencari kembang kuma-kuma putih bagi mengubati ayahandanya yang sedang sakit tenat.
  32. Tuan Puteri Sekandrum memberitahu kepada Caya Langkara bahawa dia juga adalah putera kepada Raja Saiful Muluk/Raja negeri Ajam Saqat ( adik-beradik dengan Muqaddam dan Muqaddim dengan ibu yang berlainan/isteri muda/kedua/Tuan Puteri Sekandah Bayang-Bayang ).
  33. Muqaddam dan Muqaddim memberitahu kepada Caya Langkara tujuan kemari ialah untuk mencari kembang kuma-kuma putih bagi mengubati penyakit ayahandanya yang sedang sakit tenat.
  34. Caya Langkara menjamu Muqaddam dan Muqaddim makan minum yang lazat-lazat selama tujuh hari tujuh malam.
  35. Caya Langkara bersama dengan Muqaddam dan Muqaddim memulakan perjalanan di dalam hutan rimba untuk pergi mencari kembang kuma-kuma putih.
  36. Muqaddam dan Muqaddim yang keletihan dan kehausan air tertidur di bawah pohon beringin besar.
  37. Caya Langkara mematahkan pucuk beringin dan keluar air seperti air pancur lalu diberi minum kepada Muqaddam dan Muqaddim.
  38. Caya Langkara, Muqaddam dan Muqaddim meneruskan perjalanan di dalam hutan dan kemudian bertemu dengan raksasa dan harimau yang hendak menemani Caya Langkara pergi mencari kembang kuma-kuma putih.
  39. Muqaddam dan Muqaddim menangis dan berlindung di belakang Caya Langkara kerana takut kepada raksasa dan harimau.
  40. Caya Langkara, Muqaddam dan Muqaddim tiba di sebuah gua tempat naga kuna.
  41. Caya Langkara masuk ke dalam gua tersebut tetapi Muqaddam dan Muqaddim tidak masuk/menunggu di luar gua kerana takut kepada binatang buas seperti harimau, ular dan kala ).
  42. Di dalam gua, Caya Langkara bertemu dengan seekor naga besar ( naga kuna ) yang di dalam mulutnya ada seorang puteri iaitu Tuan Puteri Ra'na Kaseen ( puteri Raja Madinah yang cantik jelita ).
  43. Naga kuna memberitahu kepada Tuan Puteri Ra'na Kaseen inilah lelaki yang dapat mengambil kembang kuma-kuma putih di puncak gunung negeri Mesir itu.
  44. Tuan Puteri Ra'na Kaseen sangat gembira hatinya kerana dengan mendapat kembang kuma-kuma putih nanti boleh dijadikan ubat untuk menyembuhkan ayahandanya/Raja negeri Madinah yang uzur.
  45. Naga kuna memberitahu kepada Caya Langkara Tuan Puteri Ra'na Kaseen ialah puteri Raja Madinah yang hendak mencari kembang kuma-kuma putih.
  46. Naga kuna memberitahu kepada Caya Langkara tempat kembang kuma-kuma putih ialah di puncak gunung negeri Mesir.
  47. Naga kuna memerintahkan kucing putih dan kucing hitam mengiringi Caya Langkara dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen keluar dari gua mendapatkan Muqaddam dan Muqaddim.
  48. Tuan Puteri Ra'na Kaseen menyediakan makan minum yang lazat-lazat kepada Caya Langkara, Muqaddam dan Muqaddim.
  49. Caya Langkara, Tuan Puteri Ra'na Kaseen, Muqaddam dan Muqaddim meneruskan perjalanan di dalam hutan untuk pergi ke puncak gunung Mesir dan mereka bermalam di dalam hutan.
  50. Caya Langkara, Tuan Puteri Ra'na Kaseen, Muqaddam dan Muqaddim tiba di kaki gunung negeri Mesir dan dengan bantuan naga kuna mereka berjaya menaiki puncak gunung tersebut.
  51. Naga kuna memberitahu kepada Caya Langkara bahawa kembang kuma-kuma putih hanya akan timbul dan dapat diambil apabila air laut pasang kerana gunung ini terletak di pusat laut.
  52. Caya Langkara, Tuan Puteri Ra'na Kaseen, Muqaddam dan Muqaddim menunggu air laut pasang manakala naga kuna pulang ke gua dan tidur.
  53. Muqaddam dan Muqaddim mendesak Caya Langkara supaya mengambil kembang kuma-kuma putih itu tetapi Caya Langkara tidak mahu mengambilnya kerana telah berjanji dengan naga yang sedang tidur. Naga tidur selama 40 hari dan sekali dalam setahun.
  54. Caya Langkara menyuruh kucing putih dan kucing hitam pergi membangunkan naga yang sedang tidur.
  55. Kucing putih dan kucing hitam menunggu naga yang sedang tidur selama 7 hari tetapi naga  tidak juga bangun lalu kembali semula ke tempat Caya Langkara.
  56. Muqaddam dan Muqaddim sekali lagi mendesak Caya Langkara supaya mengambil kembang kuma-kuma putih itu.
  57. Caya Langkara menyuruh Tuan Puteri Ra'na Kaseen mengambil kembang kuma-kuma putih.
  58. Tuan Puteri Ra'na Kaseen mengambil kembang kuma-kuma putih lalu melekat dan berakar di tapak tangannya.
  59. Muqaddam dan Muqaddim cuba mengambil kembang kuma-kuma putih daripada tapak tangan Tuan Puteri Ra'na Kaseen tetapi tidak berjaya.
  60. Muqaddam dan Muqaddim menyuruh Caya Langkara mengambil daun kembang kuma-kuma putih.
  61. Muqaddam dan Muqaddim telah menolak Caya Langkara jatuh ke dalam laut Mesir ketika sedang mengambil daun kembang kuma-kuma putih.
  62. Caya Langkara yang terjatuh ke dalam laut Mesir sempat bergantung pada daun kembang kuma-kuma putih dan dihanyutkan oleh arus laut.
  63. Muqaddam dan Muqaddim cuba menangkap Tuan Puteri Ra'na Kaseen tetapi tidak berjaya.
  64. Naga kuna memarahi kucing putih dan kucing hitam yang tidak membangunkannya dari tidur.
  65. Naga kuna memerintahkan kucing putih dan kucing hitam pergi mencari Caya Langkara di atas gunung Mesir.
  66. Tuan Puteri Dewi Ratna Kemala ( Puteri Raja Mesir ) tidak mahu makan, minum dan tidur kerana bermimpi bertemu dengan seorang perempuan tua yang memberitahu kepadanya ada suatu kembang kuma-kuma putih ( sejenis permainan bunga tujuh warna yang terlalu indah ) yang sesuai untuk permainan anak-anak raja yang  terdapat di puncak gunung Mesir.
  67. Inang pengasuh memberitahu kepada Raja Mesir suami isteri mengenai mimpi Tuan Puteri Dewi Ratna Kemala yang disuruh oleh seorang perempuan tua mendapatkan kembang kuma-kuma putih di puncak gunung Mesir.
  68. Raja Mesir memerintahkan menteri, hulubalang dan rakyatnya seramai tujuh ratus orang pergi mencari kembang kuma-kuma putih tersebut.
  69. Tuan Puteri Ratna Dewi ( Puteri Raja Peringgi ) bermimpi didatangi oleh seorang perempuan tua yang memberitahu ada suatu permainan yang ajaib dan indah iaitu kembang kuma-kuma putih yang terdapat di puncak gunung Mesir tetapi sudah diambil dan dibawa oleh seorang perempuan dan dua orang lelaki tetapi belum pergi jauh dari negeri Mesir.
  70. Tuan Puteri Ratna Dewi memberitahu kepada ayahandanya Raja Peringgi mengenai mimpi tersebut.
  71. Raja Peringgi memerintahkan menteri yang ketiga orang iaitu Bangbang Sutama, Langlang Laut dan Langlang Samudera dengan membawa 40 buah kapal pergi berjumpa dengan Raja Mesir untuk mendapatkan kembang kuma-kuma putih.
  72. Langlang Laut dan Langlang Samudera masuk mengadap Raja Mesir dengan mempersembahkan 20 buah kapal yang berisi harta benda kiriman daripada Raja Peringgi sebagai tipu helah untuk mendapatkan kembang kuma-kuma putih.
  73. Bangbang Sutama bersama dengan pengikutnya pergi ke Bukit Mesir untuk mencari orang yang membawa kembang kuma-kuma putih.
  74. Sepanjang dalam perjalanan di puncak gunung Mesir, Muqaddam dan Muqaddim cuba melakukan kejahatan terhadap Tuan Puteri Ra'na Kaseen dan cuba merampas kembang kuma-kuma putih daripadanya tetapi tidak jadi selepas diberi nasihat dan ugutan oleh Tuan Puteri Ra'na Kaseen.
  75. Bangbang Sutama bersama dengan pengikutnya tiba di Bukit Mesir dan bertemu dengan Muqaddam , Muqaddim dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen yang sedang membawa kembang kuma-kuma putih.
  76. Berlaku pertarungan di antara Muqaddam dan Muqaddim dengan Bangbang Sutama dan pengikutnya.
  77. Muqaddam, Muqaddim dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen ditangkap dan dibawa belayar ke negeri Peringgi oleh Bangbang Sutama dan pengikutnya.
  78. Langlang Laut dan Langlang Samudera belayar pulang ke negeri Peringgi tanpa memberitahu kepada Raja Mesir.
  79. Raja Mesir sangat marah kepada Langlang Laut dan Langlang Samudera yang meninggalkan negeri Mesir tanpa memberitahu kepada menteri dan mangkubumi serta bermohon izin daripadanya.
  80. Mangkubumi memberitahu kepada Raja Mesir kehadiran utusan Peringgi ke negeri Mesir bertujuan untuk mengambil kembang kuma-kuma putih di puncak gunung negeri Mesir.
  81. Dua puluh buah kapal yang sarat dengan harta benda dihadiahkan oleh utusan Peringgi kepada Raja Mesir bertujuan untuk mengelirukan baginda.
  82. Kucing putih dan kucing hitam yang disuruh oleh naga kuna mencari Caya Langkara telah memasuki ke segenap kampung di negeri Mesir tetapi  tidak juga berjumpa.
  83. Pada waktu malam kucing putih dan kucing hitam telah memasuki ke dalam pagar kawasan rumah mangkubumi negeri Mesir.
  84. Kucing putih dan kucing hitam mendengar perbualan di antara mangkubumi dengan isterinya yang mengatakan kembang kuma-kuma putih yang berada di tangan Tuan Puteri Ra'na Kaseen bersama dengan Muqaddam dan Muqaddim telah ditangkap dan dibawa lari ke negeri Peringgi oleh utusan Raja Peringgi.
  85. Kucing putih dan kucing hitam yang mendapat maklumat daripada mangkumi pergi ke tempat naga kuna di dalam gua dan memberitahu kepada naga kuna bahawa Caya Langkara telah ditangkap dan dibawa lari ke negeri Peringgi oleh utusan Raja Peringgi.
  86. Naga kuna sangat marah  mendengar berita mengenai Caya Langkara daripada kucing putih dan kucing hitam tersebut.
  87. Naga kuna terjun ke laut dan berenang untuk pergi mencari Caya Langkara di negeri Peringgi.
  88. Selama tiga hari dan tiga malam berenang di laut, naga kuna telah bertemu dengan Caya Langkara yang sedang berpegang pada sehelai daun kembang kuma-kuma putih di tengah laut.
  89. Caya Langkara menjilat gemala di kerongkongan langit-langit naga kuna menyebabkan tubuhnya yang lemah kembali segar seperti sedia kala.
  90. Caya Langkara menceritakan kepada naga kuna peristiwa dia terjatuh ke dalam laut kerana ditolak oleh Muqaddam dan Muqaddim sewaktu hendak mengambil daun kembang kuma-kuma putih di puncak gunung Mesir. 
  91. Caya Langkara naik ke atas belakang naga kuna yang berenang menuju ke negeri Peringgi untuk pergi membebaskan Tuan Puteri Ra'na Kaseen, Muqaddam dan Muqaddim yang ditawan dan dibawa lari oleh orang-orang Peringgi ke negeri Peringgi.
  92. Di kuala negeri Peringgi, Caya Langkara memberitahu kepada Perputat Andang-andang kedatangannya ke negeri Peringgi ialah untuk mengislamkan ajar-ajar ( Penunggu ) yang berada di atas bukit Peringgi.
  93. Caya Langkara berperang dengan ajar-ajar dan Raja Jin Kafir. Ajar-ajar dan Raja Jin Kafir tewas dan mengaku kalah kepada Caya Langkara.
  94. Ajar-ajar dan Raja Jin Kafir sujud menyembah kaki Caya Langkara dan meminta ampun.
  95. Caya Langkara menyuruh ajar-ajar dan Raja Jin Kafir memeluk agama Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadat.
  96. Ajar-ajar dan Raja Jin yang telah memeluk agama Islam berjanji akan taat setia dan membantu Caya Langkara pada bila-bila masa jika ada masalah/kesusahan.
  97. Caya Langkara pergi ke tempat Muqaddam, Muqaddim dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen yang ditahan di penjara negeri Peringgi.
  98. Caya Langkara bertemu dengan penunggu penjara negeri Raja Peringgi dan menuduh Raja Peringgi yang mencuri kembang kuma-kuma putih dari puncak gunung negeri Mesir.
  99. Caya Langkara dengan dibantu oleh Raja Jin berperang dengan penunggu penjara negeri Raja Peringgi.
  100. Mangkubumi dan rakyat negeri Raja Peringgi berperang dengan Caya Langkara tetapi dengan bantuan Raja Jin, mangkubumi dan rakyat Raja Peringgi tewas dan berjaya ditangkap.
  101. Caya Langkara menuduh Raja Peringgi mencuri kembang kuma-kuma putih bersama dengan Tuan Puteri Ra'na Kaseen.
  102. Raja Peringgi marah dan memerintahkan rakyatnya menangkap Caya Langkara. 
  103. Tuan Puteri Ratna Dewi ( Puteri Raja Peringgi ) yang terpandang wajah Caya Langkara amat tertarik dan terpikat hati.
  104. Tuan Puteri Ra'na Kaseen memberitahu kepada Tuan Puteri Ratna Dewi bahawa Caya Langkara ialah anak raja besar ( Raja Negeri Ajam Saqat ), mempunyai kuasa kesaktian, ada naga kuna, berjaya mengambil kembang kuma-kuma putih di puncak gunung negeri Mesir.
  105. Tuan Puteri Ratna Dewi menyuruh inangnya melarang/menasihati ayahandanya ( Raja Peringgi ) supaya tidak menangkap dan membunuh Caya Langkara kerana dia anak raja besar dan mempunyai kesaktian luar biasa.
  106. Raja Peringgi tidak jadi untuk menangkap dan membunuh Caya Langkara, sebaliknya telah melayan dan mempelawa Caya Langkara tinggal di istananya.
  107. Raja Peringgi telah melayan Caya Langkara seperti adat anak raja-raja besar di istananya dengan memberikan persalinan pakaian keemasan.
  108. Raja Peringgi amat rapat dan sayang kepada Caya Langkara.
  109. Caya Langkara mencadangkan kepada Raja Peringgi supaya mengahwinkan Tuan Puteri Ratna Dewi dengan Muqaddam dan Raja Peringgi bersetuju.
  110. Muqaddam dikahwinkan/dinikahkan dengan Tuan Puteri Ratna Dewi ( Puteri Raja Peringgi ).
  111. Raja Peringgi menjamu makan naga kuna beberapa ekor kerbau, unta, lembu, kambing, kijang, setimbun nasi dan daging.
  112. Caya Langkara menyuruh naga kuna pulang semula ke laut selepas diberi makanan.
  113. Mangkubumi Raja negeri Mesir datang berjumpa dengan Raja negeri Peringgi untuk mengambil kembang kuma-kuma putih yang dibawa lari oleh orang-orang Peringgi.
  114. Raja Peringgi memberitahu kepada mangkubumi Raja negeri Mesir bahawa kembang kuma-kuma putih itu ada pada Caya Langkara.
  115. Mangkubumi Raja negeri Mesir bertemu dengan Caya Langkara dan meminta kembang kuma-kuma putih untuk dibawa kepada Raja Mesir.
  116. Caya Langkara enggang memberi kembang kuma-kuma putih kepada mangkubumi Raja negeri Mesir dengan mengatakan Raja Mesir tidak layak memiliki/memakainya.
  117. Caya Langkara dengan dibantu oleh Raja Jin dan rakyat Raja Jin berperang dengan mangkubumi Raja negeri Mesir dan berjaya menangkapnya.
  118. Raja Peringgi sangat hairan melihat kesaktian Caya Langkara menangkap mangkubumi Raja negeri Mesir bersama dengan pengikutnya sekali.
  119. Mangkubumi Raja negeri Mesir yang tertangkap menangis dan meminta ampun pada Caya Langkara.
  120. Caya Langkara mengarahkan Raja Jin supaya membebaskan mangkubumi Raja negeri Mesir yang tertangkap.
  121. Caya Langkara memberitahu kepada mangkubumi Raja negeri Mesir yang dia sendiri akan membawa kembang kuma-kuma putih itu kepada Raja negeri Mesir.
  122. Mangkubumi Raja negeri Mesir memberitahu kepada Caya Langkara bahawa Tuan Puteri Ratna Dewi Kemala ( Puteri Raja Mesir ) akan menderita dan mati jika tidak mendapatkan kembang kuma-kuma putih.
  123. Caya Langkara merasa simpati dan belas kasihan kepada Tuan Puteri Ratna Dewi Kemala selepas diberitahu oleh mangkubumi Raja negeri Mesir.
  124. Caya Langkara bersama dengan Tuan Puteri Ra'na Kaseen meninggalkan negeri Peringgi menuju ke negeri Mesir dengan menaiki naga kuna yang berenang terlalu laju di dalam laut.
  125. Caya Langkara bersama dengan Tuan Puteri Ra'na Kaseen yang membawa kembang kuma-kuma putih tiba di kuala negeri Mesir.
  126. Mangkubumi negeri Mesir memberitahu kepada Raja Mesir bahawa Caya Langkara ialah anak seorang raja besar di negeri Ajam Saqat yang berjaya mengambil kembang kuma-kuma putih di puncak gunung negeri Mesir dengan bantuan naga kuna yang terlalu besar.
  127. Mangkubumi negeri Raja Mesir memberitahu kepada Raja Mesir kembang kuma-kuma putih ada pada tapak tangan Tuan Puteri Ra'na Kaseen yang tumbuh berakar.
  128. Raja Mesir bersama puterinya Tuan Puteri Ratna Dewi Kemala pergi menemui Caya Langkara di kuala negeri Mesir untuk mendapatkan kembang kuma-kuma putih tetapi tidak dapat diambilnya kerana kembang kuma-kuma putih itu tumbuh berakar di tapak tangan Tuan Puteri Ra'na Kaseen.
  129. Raja Mesir membawa Caya Langkara dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen tinggal di istananya dengan menyediakan makan minum seperti adat anak raja-raja besar.
  130. Tuan Puteri Rakna Dewi Kemala sangat tertarik hati kepada Caya Langkara.
  131. Raja Mesir menawarkan kepada Caya Langkara Tuan Puteri Ratna Dewi Kemala sebagai isteri.
  132. Caya Langkara menolak cadangan Raja Mesir tersebut dengan mencadangkan kakandanya Muqaddim dikahwinkan/dinikahkan dengan Tuan Puteri Ratna Dewi Kemala.
  133. Raja Mesir bersetuju dengan cadangan/permintaan Caya Langkara tersebut.
  134. Muqaddim dinikahkan/dikahwinkan dengan Tuan Puteri Ratna Dewi Kemala ( Puteri Raja Mesir ) mengikut adat-istiadat raja-raja besar.
  135. Caya Langkara dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen menaiki naga kuna menuju ke negeri Ajam Saqat.
  136. Raja Saiful Muluk ( ayahanda Caya Langkara ) di negeri Ajam Saqat telah sembuh daripada penyakitnya seperti sediakala.
  137. Caya Langkara dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen menghadap dan sujud kepada ayahandanya Raja Saiful Muluk.
  138. Raja Saiful Muluk bertanya Caya Langkara di manakah Muqaddam dan Muqaddim?
  139. Caya Langkara memberitahu kepada ayahandanya Raja Saiful Muluk bahawa Muqaddam sudah dinikahkan dengan Tuan Puteri Ratna Dewi ( Puteri Raja Peringgi ) manakala Muqaddim telah dinikahkan dengan Tuan Puteri Ratna Dewi Kemala ( Puteri Raja Mesir ).
  140. Bonda Muqaddam dan Muqaddim ( Tuan Puteri Sekandah Bayang-Bayang ) yang keluar dari dalam kelambu istana memeluk dan mencium Caya Langkara sambil bertanya dimanakah Muqaddam dan Muqaddim?
  141. Caya Langkara memberitahu kepada Tuan Puteri Sekandah Bayang-Bayang bahawa Muqaddam berada di negeri Peringgi manakala Muqaddim berada di negeri Mesir dan mereka berdua akan datang ke negeri Ajam Saqat mengunjungi ayahanda bonda tidak berapa lama lagi.
  142. Caya Langkara memohon keizinan daripada ayahandanya Raja Saiful Muluk untuk pergi ke tempat bondanya ( Tuan Puteri Sekandrum ) di dalam hutan.
  143. Caya Langkara menyembah, memeluk dan mencium bondanya sambil menangis kerana belas kasihan melihat keadaan bondanya.
  144. Caya Langkara memberitahu kepada bondanya yang dia telah berjaya mendapatkan kembang kuma-kuma putih di puncak gunung Mesir.
  145. Caya Langkara menceritakan kepada bondanya dari awal hingga ke akhir kisah dia mengembara  ke puncak gunung Mesir untuk mendapatkan kembang kuma-kuma putih, kecuali peristiwa dia ditolak jatuh ke dalam laut Mesir oleh Muqaddam dan Muqaddim yang tidak diberitahu kepada bondanya.
  146. Caya Langkara bermalam/tidur bersama dengan bondanya di dalam gua di hutan rimba.
  147. Muqaddam dari negeri Peringgi dan Muqaddim dari negeri Mesir tiba di negeri Ajam Saqat dan disambut oleh ayahandanya Raja Saiful Muluk lalu dibawa masuk ke dalam istana.
  148. Muqaddam dan Muqaddim sekali lagi cuba mengganggu Tuan Puteri Ra'na Kaseen ketika makan bersama-sama di istana ayahandanya.
  149. Muqaddam dan Muqaddim pergi untuk membunuh Caya Langkara di dalam gua di hutan rimba.
  150. Tuan Puteri Ra'na Kassen melarikan diri dari istana Raja Saiful Muluk pergi ke tempat Caya Langkara di dalam gua di hutan rimba kerana bimbang dan takut diganggu oleh Muqaddam dan Muqaddim.
  151. Bonda Caya Langkara ( Tuan Puteri Sekandrum ) sangat hairan melihat kecantikan rupa paras Tuan Puteri Ra'na Kaseen dan mengatakan amat sesuai menjadi isteri Caya Langkara.
  152. Muqaddam dan Muqaddim yang tiba di gua tempat Caya Langkara bersama bondanya telah menyuruh rakyatnya menutup pintu gua dengan kayu dan batu dengan tujuan untuk membunuh Caya Langkara yang berada di dalam gua tersebut.
  153. Caya Langkara bermimpi didatangi oleh seorang tua yang memberitahu bahawa pintu gua telah ditutup oleh Muqaddam dan Muqaddim dengan kayu dan batu yang kemudian akan dibakarnya gua tersebut.
  154. Naga kuna datang membantu mengeluarkan Caya Langkara, Tuan Puteri Ra'na Kaseen dan Tuan Puteri Sekandrum keluar dari dalam gua melalui pintu belakang gua.
  155. Caya Langkara meminta naga kuna menghantarnya bersama Tuan Puteri Ra'na Kaseen dan bondanya ke negeri Madinah kerana Tuan Puteri Ra'na Kaseen sudah lama tidak berjumpa dengan ayahandanya.
  156. Muqaddam dan Muqaddim menyuruh rakyatnya membakar pintu gua dan menganggap Caya Langkara telah mati kerana lemas dalam asap gua. Muqaddam dan Muqaddim pun pulang ke istana ayahandanya.
  157. Caya Langkara bersama dengan Tuan Puteri Ra'na Kaseen dan bondanya yang menaiki naga kuna yang berenang di laut selama tujuh hari dan tujuh malam tiba di negeri Madinah dengan selamatnya.
  158. Raja Madinah telah menyambut ketibaan Caya Langkara, Puteri Ra'na Kaseen dan Tuan Puteri Sekandrum dengan penuh adat-istiadat raja-raja besar lalu dibawa masuk ke istana.
  159. Tuan Puteri Ra'na Kaseen memperkenalkan dan memberitahu kepada ayahandanya ( Raja Madinah ) bahawa Caya Langkara ialah anak raja besar ( Saiful Muluk ) dari negeri Ajam Saqat.
  160. Rakyat negeri Madinah berpesta selama tujuh hari dan tujuh malam untuk melihat wajah Caya Langkara dan Tuan Puteri Ra'na Kaseen.
  161. Raja Madinah menyerahkan dan melantik  Caya Langkara sebagai pemerintah negeri Madinah dan puterinya ( Tuan Puteri Ra'na Kaseen ) untuk dijadikan isterinya.
  162. Naga kuna telah pergi menjemput raja-raja besar mengunjungi Caya Langkara yang berada di negeri Madinah  dan raja-raja besar semuanya datang.
  163. Naga kuna telah pergi ke negeri Ajam Saqat untuk menjemput Raja Saiful Muluk datang ke negeri Madinah bagi meraikan perkahwinan Caya Langkara dengan Tuan Puteri Ra'na Kaseen.
  164. Naga kuna memberi amaran kepada raja-raja besar yang tidak mahu menurut kata-kata Caya Langkara, negerinya akan dibinasakan.
  165. Muqaddam dan Muqaddim yang mendengar arahan naga kuna merasa hairan kerana Caya Langkara masih hidup yang pada sangkaannya telah mati selepas menutup pintu gua dan membakarnya.
  166. Raja Saiful Muluk ( Raja negeri Ajam Saqat ) bersama dengan puteranya ( Muqaddam dan  Muqaddim ), Raja Mesir dan Raja Peringgi  datang ke negeri Madinah.
  167. Caya Langkara dikahwinkan/dinikahkan dengan Tuan Puteri Ra'na Kaseen ( Puteri Raja Madinah ).
  168. Caya Langkara menyuruh kadi mengahwinkan/menikahkan bondanya ( Tuan Puteri Sekandrum ) dengan Raja Madinah.
  169. Raja Saiful Muluk ( ayahandanya ) sangat malu kepada Caya Langkara kerana Tuan Puteri Sekandrum ( bekas isterinya ) atau bonda Caya Langkara dikahwinkan/dinikahkan dengan Raja Madinah.
  170. Tuan Puteri Ra'na Kaseen menggunakan kuasa saktinya mengeluarkan hidangan makanan seperti adat raja-raja besar.
  171. Naga kuna naik ke darat dan menyemburkan dari mulutnya emas, perak, permata dan intan kepada rakyat negeri Madinah yang miskin. Rakyat negeri Madinah yang miskin telah menjadi kaya raya.
  172. Caya Langkara makan sehidangan dengan Muqaddam, Muqaddim, Tuan Puteri Ra'na Kaseen, Tuan Puteri Rakna Dewi, Tuan Puteri Rakna Dewi Kemala dan Tuan Puteri Sekandrum ( Bondanya ).
  173. Raja Madinah makan sehidangan dengan Raja Saiful Muluk ( Raja negeri Ajam Saqat ). Raja Saiful Muluk tidak berselera makan kerana malu kepada Raja Madinah yang berkahwin/bernikah dengan bekas isterinya.
  174. Caya Langkara mengarahkan raja-raja besar menghantar ufti ke negeri Madinah pada setiap tahun. Jika tidak, naga kuna akan membinasakan dan menakluki  negeri mereka.
  175. Caya Langkara memberitahu kepada Muqaddam dan Muqaddim negeri Mesir  dan negeri Peringgi mesti menghantarkan ufti kepadanya pada setiap tahun kerana Raja Mesir dan Raja Peringgi berdosa besar kepadanya.
  176. Muqaddam dan Muqaddim menyembah dan meminta ampun pada Caya Langkara kerana pernah menderhaka dan membuat jahat kepadanya ( saudaranya ).
  177. Caya Langkara mengampunkan dan memaafkan Muqaddam dan Muqaddim di atas kesalahan mereka yang lalu dan memberi nasihat supaya jangan berdengki/berdendam sesama makhluk kerana  Allah SWT tidak menyukainya.
  178. Caya Langkara memberitahu kepada Muqaddam dan Muqaddim perbuatan-perbuatan jahat yang pernah dilakukan oleh mereka terhadap dirinya. Dan memberitahu jasa-jasa baiknya kepada Muqaddam dan Muqaddim.
  179. Raja Madinah melantik Caya Langkara menggantikan dirinya sebagai Raja Madinah.
  180. Negeri dan rakyat Madinah menjadi aman dan makmur sejak Caya Langkara dilantik menjadi Raja Madinah.
  181. Caya Langkara telah memerintah negeri Madinah dan rakyat dengan adil berdasarkan hukum-hukum Allah SWT.
  182. Rakyat negeri Madinah dan raja-raja besar di bawah taklukannya sangat sayang kepada Raja Caya Langkara  yang pemurah, penyayang, beriman  dan adil.
  183. Raja Caya Langkara menjadikan raja-raja besar di bawah taklukan seperti saudaranya sendiri.
  184. Raja-raja besar di bawah taklukan Raja Caya Langkara yang datang mengunjungi Raja Caya Langkara merasa berat hati dan menangis sewaktu hendak berpisah dengan Raja Caya Langkara untuk kembali ke negeri masing-masing.
  185. Sila rujuk teks/cerita/hikayat asal untuk lebih memahaminya...................................











No comments:

Post a Comment