Tuesday 27 September 2011

Peranan watak Latifah terhadap Jalil dalam novel Dari Lembah ke Puncak ( Ghazali Lateh )

Latifah dalam novel Dari Lembah ke Puncak, karya Ghazali Lateh merupakan watak pembantu/protagonis. Latifah ialah anak gadis Pak Lang Ali, adik bongsu kepada Fauziah dan Hasnah. Selepas tamat persekolahan peringkat menengah, beliau ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke Scotland selama tujuh tahun dalam bidang perakaunan sehingga ke peringkat ijazah sarjana. Latifah seorang gadis ayu yang berjiwa sentimental, tetapi banyak membantu watak utama Jalil dalam novel ini. Pergerakan watak utama Jalil yang terhimpit dengan seribu kesusahan dan kepayahan sehingga sampai ke mercu kejayaannya, memang tidak dapat dinafikan sebahagiannya adalah kesan pengorbanan watak Latifah yang berhati mulia ini. Kemuliaan hati dan peranan Latifah terhadap Jalil dapat dilihat sebagai berikut:
  1. Latifah memberi tahu kepada Jalil harga sebenar tanah arwah Pak Teh yang dibeli oleh Pak Amat daripada Mak Teh melalui Pak Lang Ali ialah sebanyak RM5 ribu. Selebihnya RM5 ribu lagi dikebas oleh bapanya sendiri.
  2. Latifah amat bersimpati dengan penderitaan hidup Jalil di kampung Bukit Nibung.
  3. Latifah telah menghantar nasi berlauk kari ikan haruan kepada Jalil pada waktu tengah hari.
  4. Latifah telah tolong membalut luka di tapak kaki Jalil kerana terpijak serpihan kaca di tapak semaiannya angkara perbuatan jahat Kudin anak Pak Ngah Kadir.
  5. Latifah telah bertanya khabar keadaan Jalil selepas bergaduh dengan Rosman dan rakan-rakannya di tengah jalan sekembali dari membeli minyak tanah di kedai Ah Bee.
  6. Latifah pergi ke dangau Jalil pada waktu malam dengan membawa minyak tanah untuk diberikan kepada Jalil.
  7. Latifah tolong menyampaikan wang kiriman daripada ayahnya Pak Lang Ali kepada Jalil untuk membayar yuran peperiksaan SPM.
  8. Latifah menerima tawaran Jalil untuk bekerja di Syarikat Alam Hijau miliknya sebagai pegawai akaun dengan tujuan membantu memajukan syarikat tersebut.
  9. Latifah sebagai pendorong dan pemberi semangat dalam hidup Jalil.
  10. Latifah bersetuju menjadi isteri atau teman hidup Jalil untuk sepanjang hayat.
          Kerana mengenang jasa dan sumbangan Latifah yang terlalu besar kepadanya itulah yang mungkin menyebabkan Jalil menawarkan kepada Latifah jawatan sebagai pegawai akaun di syarikatnya tanpa melalui proses temuduga seperti orang lain, di samping ada niat dalam hatinya untuk menjadikan Latifah sebagai teman hidup sejati.

No comments:

Post a Comment