Thursday 29 September 2011

Perubahan dan peristiwa yang berlaku di kampung Bukit Nibung selepas Jalil berhijrah ke Kuala Lumpur ( Novel DLKP, karya Ghazali Lateh )

Kerana sangat tidak tertahan dengan tekanan hidup di kampung, akhirnya sebaik selesai peperiksaan SPM yang diduduki, pada suatu petang selepas membakar dangau usangnya dan sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Latifah, Jalil menaiki kereta api malam menuju ke Kuala Lumpur. Tujuan Jalil ke Kuala Lumpur cuma satu, iaitu untuk mencari kerja dan mengumpul wang bagi membayar balik harga tanah arwah ayahnya yang dijual oleh ibunya kepada Pak Amat dengan harga RM10 ribu. 
Setelah berbelas tahun berada di Kuala Lumpur berkongsi rumah dengan abang Joe dan matlamatnya sudah tercapai bahkan lebih daripada itu, Jalil dipertemukan semula dengan Latifah, gadis yang pernah menjadi idaman dalam hidupnya. Melalui cerita Latifah kepada Jalil, telah banyak perubahan dan peristiwa yang berlaku di kampung Bukit Nibung dan kampung Bukit Jenun semenjak Jalil keluar dari kampung tersebut. Di antara perubahan dan peristiwa yang berlaku di kampung tersebut ialah:
  1. Sabariah/Biah, iaitu anak Pak Ngah Kadir yang  berkahwin beberapa bulan sahaja telah melahirkan anak menyebabkan dia diceraikan oleh suaminya ( sepupunya ). Dengan erti kata lain, Biah beranak di luar nikah.
  2. Pak Ngah Kadir, iaitu bapa Biah mengamuk dengan peristiwa tersebut dengan menuduh suami Biah seorang yang tidak bertanggung jawab.
  3. Pak Ngah Kadir sekali lagi membangkitkan peristiwa lama dengan menuduh Muhsin yang memperkosa Biah sehingga mengandung dan melahirkan anak luar nikah. Logiknya kerana selepas Biah ditunangkan dengan sepupunya, dia lari mengikuti Muhsin ke Kuala Lumpur dan tinggal menumpang di rumah sewa Muhsin di Jalan Ipoh.( Sebenarnya Pak Ngah Kadir sendiri yang memperkosa anaknya ).
  4. Pak Ngah Kadir telah ditahan polis, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara di atas perbuatan memperkosa anak gadisnya sendiri, iaitu Sabariah/Biah.
  5. Biah/Sabariah pula lari meninggalkan kampung dan rumah entah ke mana.
  6. Isteri Pak Ngah Kadir, iaitu Mak Yam mengalami tekanan mental dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa.
  7. Keadaan kampung Bukit Nibung yang semakin usang, banyak rumah yang kosong/tiada berpenghuni.
  8. Golongan anak-anak muda sudah tidak ada lagi di kampung Bukit Nibung.
  9. Ngah Ibrahim iaitu bapa arwah Mat Tohid sekeluarga telah berpindah ke kampung Baloh.
  10. Rumah Pak Ngah Kadir sendiri sudah tidak ada lagi di kampung tersebut.
  11. Kudin, iaitu abang Biah/Sabariah telah berpindah ke Pendang dan bekerja sebagai pemandu kereta sewa di sana.

No comments:

Post a Comment