Mata Pelajaran Kesusasteraan
Melayu sebenarnya telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara sejak
zaman penjajahan British lagi berdasarkan Laporan Barnes tahun 1951. Pada
peringkat awal, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu diajarkan di
sekolah-sekolah bertujuan untuk memantapkan pendidikan Bahasa Melayu di samping
memberi kesedaran kepada rakyat untuk mengenali diri dan budaya mereka di Tanah
Melayu pada waktu itu. Dalam Laporan Razak 1956, mata pelajaran Kesusasteraan
Melayu telah diasingkan daripada mata pelajaran Bahasa Melayu. Pada tahun 1957
mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sebagai mata pelajaran
pilihan dalam peperiksaan FMC ( Federation of Malay Certificate ) yang setaraf
dengan peperiksaan SPM ( Sijil Pelajaran
Malaysia
) sekarang. Pada tahun 1984, iaitu tahun bermulanya KBSM, mata pelajaran ini telah dijadikan mata
pelajaran elektif di peringkat sekolah menengah tingkatan empat dan lima ( SPM ) sehinggalah
sekarang.
Kesusasteraan
Melayu merupakan mata pelajaran yang diajar di peringkat tingkatan empat dan lima sekolah-sekolah
menengah seluruh negara. Bagi memantapkan lagi kandungan dan pengisiannya, mata
pelajaran Kesusasteraan Melayu telah mengalami beberapa kali semakan dan
perubahan sukatan pelajaran. Semakan semula dan perubahan sukatan pelajaran
telah dilakukan pada tahun 1984, 1991 dan terakhir pada tahun 2002 yang
pelaksanaannya pada tahun 2003.Penyemakan terhadap sukatan pelajaran ini
dilakukan bagi memenuhi tuntutan perubahan dalam dunia pendidikan selaras
dengan era globalisasi dan perubahan zaman.
Dari
segi falsafahnya, pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia bertujuan untuk
menjana minda dan emosi. Mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa, dan
memupuk sikap berdaya saing ke arah pembinaan insan bestari ( KBSM, Sukatan
Pelajaran Kesusasteraan Melayu, PPK, KPM, 2002 ). Dan dari segi takrifnya,
Kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan ialah karya asal yang tertulis
dalam bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada dalam bentuk
novel, cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional bagi
mengimbangi perkembangan intelek, rohani, emosi, dan jasmani di samping
memaparkan nilai kemanusiaan, dan citra masyarakat selaras dengan intipati Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
Kedudukan mata
pelajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat menengah atas ( tingkatan 4 dan 5 )
peperiksaan SPM adalah sebagai mata pelajaran elektif kumpulan 1: kemanusiaan (
SPI, Bil.6/1991 ). Peruntukan masa untuk mata pelajaran ini ialah tiga kali
dalam seminggu ( SPI, Bil.17/1988, SPI Bil. 8/1990 ). Kurikulum dan sukatan
pelajaran terakhir yang diguna pakai sehingga sekarang ialah Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah ( Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu ) Semakan
Semula 2002 yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 di tingkatan
empat.
Dalam KBSM 1988 ( PPK, KPM ) aspek ilmu, kemahiran dan nilai murni
dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran hendaklah disampaikan secara gabungjalin,
tidak diajar secara terpisah, supaya wujud keseimbangan dalam diri pelajar atau
modal insan yang hendak dilahirkan. Tetapi di sini, saya cuba menghuraikan secara terpisah
supaya aspek yang hendak ditonjolkan
akan nampak lebih jelas. Namun begitu, aspek penggabungjalinan
ketiga-tiga unsur iaitu ilmu, kemahiran dan nilai tetap wujud dan berlaku.
Sharifah Alwiah Alsagoff ( 1983 ), mentakrifkan bilik darjah ialah tempat yang merumahkan murid buat sementara waktu, iaitu
selama lima hingga enam jam dalam satu hari, dan
untuk lima hari
dalam seminggu. Bilik ini merupakan persekitaran pembelajaran yang paling
penting kerana ketika murid berada di sekolah, hampir semua daripada masanya
dihabiskan di bilik ini.
Pada saya, bilik darjah ialah tempat khas di sekolah yang disediakan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
untuk guru mengajar dan murid belajar. Dengan erti kata lain tempat berlakunya
proses pengajaran dan pembelajaran secara formal. Untuk mencapai tahap
pengajaran dan pembelajaran berkesan, sesebuah bilik darjah mestilah berada
dalam keadaan ceria dan mempunyai
tampalan-tampalan bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.
Bilik darjah yang kondusif dan ceria
akan menimbulkan rangsangan dan minat belajar yang tinggi di kalangan pelajar .
Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 ) mendefinisikan penyampaian ialah
perihal menyampaikan sesuatu. Pengajaran ialah perihal segala sesuatu yang
berkaitan dengan mengajar seperti cara atau sistem mengajar. Pembelajaran ialah
proses ( kegiatan ) belajar. Berkesan ialah menimbulkan hasil yang diharapkan,
membawa kepada sesuatu perubahan. Mendatangkan sesuatu pengaruh kepada
pemikiran seseorang atau sesuatu golongan seperti mengubah sikap, membangkitkan
sesuatu kecenderungan atau perasaan. Menurut Mok Soon Sang ( 2004 ), pengajaran
merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu
pengetahuan atau kemahiran tertentu. Juga ditakrifkan sebagai sesuatu tugasan
dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan murid. Beliau mengatakan
pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran.
Daripada definisi dan takrifan
di atas, saya berpendapat bahawa penyampaian pengajaran dan pembelajaran
berkesan ialah suatu proses pemelajaran di bilik darjah yang menyeronokkan,
menimbulkan rangsangan dan menarik minat para pelajar. Suatu proses pemelajaran
yang berakhir dengan kepuasan dan meninggalkan kesan perubahan minda, kemahiran
dan tingkah laku positif kepada pelajar.
Untuk mencapai taraf pengajaran dan pembelajaran berkesan di kelas, ia
harus bermula dengan guru. Guru perlu mempunyai persediaan yang rapi selain
daripada mempastikan bilik darjah senantiasa dalam keadaan ceria. Sikap guru
yang berpakaian kemas ( SPI Bil.13, 1969: SPI Bil. 6, 1985 ), berdisiplin,
yakin diri, adil, bersungguh-sungguh merupakan asas utama ke arah pengajaran
dan pembelajaran berkesan di kelas. Guru harus menguasai mata pelajaran yang akan diajar kepada
pelajar. Menguasai kurikulum, sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran
terkini. Menguasai pedagogi (
pendekatan, kaedah, teknik, aktiviti, aplikasi kemahiran bernilai
tambah, sistem penilaian, aspek pengisian kurikulum dan sebagainya ). Guru mesti
mampu merancang dan menyediakan rancangan pengajaran tahunan dan rancangan
pengajaran harian yang memenuhi spesifikasi KBSM sesuai dengan tajuk, aspek,
objektif, HPU, HPK dan HHP yang hendak dicapai. Di samping itu, guru juga harus
memiliki dokumen-dokumen rasmi pengajaran dan pembelajaran seperti sukatan
pelajaran, huraian sukatan pelajaran terkini dan buku rekod mengajar guru. Guru
seharusnya boleh mencipta teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran baru atau
paling kurang mengadaptasikan daripada teknik-teknik yang sedia ada. Dan untuk
lebih memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran berkesan di bilik
darjah, guru seharusnya mampu membina sendiri
alat bantu mengajar sama ada
dalam bentuk dokumen bertulis, audio visual seperti pita rakaman, cakra padat
CD atau DVD.
Sebagai kesimpulan, dalam rangka untuk menzahirkan pengajaran dan
pembelajaran berkesan di bilik darjah, guru tidak boleh mengabaikan beberapa
strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah ditetapkan oleh Pusat
Perkembangan Kurikulum, KPM ( 2002 ), yakni pendekatan berpusatkan murid,
kepelbagaian pendekatan, kaedah dan teknik, kepelbagaian sumber dan pembacaan
luas.
Modal insan ialah warga negara atau rakyat, dan dalam konteks pendidikan ialah pelajar.
Dalam Wawasan 2020, ditegaskan bahawa
dalam usaha kita untuk maju, tidak ada yang lebih penting daripada pembangunan
sumber manusia ( Dr. Mahathir Bin Mohamad,
Perdana Menteri Malaysia, 1991 ). Misi Nasional dan Rancangan Malaysia
Ke-9 telah menetapkan “ Pembangunan modal insan berminda kelas pertama “
sebagai salah satu daripada lima teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020 (
Datuk Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, PIPP,
2006-2010 ). Berhubung dengan modal insan di atas, YB.
Menteri Pelajaran Malaysia telah menggariskan ciri-ciri modal insan yang hendak
dilahirkan oleh Kementerian Pelajaran melalui PIPP 2006-2010, antara lain ialah
modal insan yang seimbang dari aspek
jasmani, intelek, rohani, emosi, kepercayaan kepada Tuhan, berilmu, berkemahiran,
berakhlak mulia, berpegang kepada nilai-nilai murni, berkeyakinan tinggi,
berketrampilan dan mengamalkan gaya hidup sihat ( Perutusan Tahun Baru 2008,
Menteri Pelajaran Malaysia ).
Kamus Dewan
Edisi Keempat ( 2007 ), mendefiniskan berkemahiran ialah mempunyai kemahiran,
terlatih untuk mengerjakan sesuatu, mempunyai kecekapan, kelancaran dan
kepandaian. Jadi modal insan yang berkemahiran ialah sumber tenaga, rakyat,
warga negara atau tenaga kerja yang mempunyai kemahiran, kecekapan, kepandaian
serta mampu melakukan, dan dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik.
Konsep berkemahiran ini ada ditegaskan dalam Dasar Wawasan 2020 untuk Malaysia
mencapai status negara maju, bahawa kita tidak
boleh tidak perlu berhasrat untuk
mencapai taraf paling tinggi dari segi kemahiran rakyat kita ( Dr. Mahathir Bin
Mohamad, Wawasan 2020, 1991 ). Ke arah untuk membangun modal insan yang
berkemahiran, PIPP 2006-2010 telah menegaskan bahawa bagi meningkatkan kualiti
murid dari segi bina upaya insan ( human capacity building ) perlu adanya
sistem pentaksiran peringkat sekolah. Sistem pentaksiran holistik ini memberi
tumpuan kepada pemupukan nilai-nilai yang menyeluruh seperti nilai kreatif,
inovatif, kritis, berdisiplin dan berakhlak mulia di kalangan pelajar ( Kad Laporan
Kedua PIPP 2006-2010, KPM ).
Melalui mata
pelajaran Kesusasteraan Melayu, banyak
aspek kemahiran yang boleh dibina untuk pembangunan pelajar atau modal insan.
Di antaranya ialah kemahiran membaca, bercakap, berdialog, mendengar,
menghayati, mendeklamasi sajak, melagukan syair, berpantun, berlakon, mencipta
puisi ( sajak, pantun, syair dan seloka ), menghasilkan skrip drama, membuat
projek sastera dan sebagainya. Daripada pengalaman saya mengajar di bilik
darjah, kesemua kemahiran di atas boleh dibina di kalangan pelajar, iaitu
melalui penyampaian pengajaran dan pembelajaran berkesan.
Salah satu
daripada kemahiran yang perlu diajar kepada pelajar tingkatan empat dan lima seperti yang
terkandung dalam sukatan pelajaran mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, KBSM (
Sukatan Semakan Semula 2002 ) ialah menghasilkan dan mempersembahkan puisi (
KBSM, PPK, KPM ). Aspek menghasilkan dan mempersembahkan puisi ( sajak, pantun,
syair, gurindam dan seloka ) merupakan perkara asas yang perlu diajar kepada
pelajar. Untuk mengaplikasi dan merealisasikan aspek kemahiran membina dan
mempersembahkan puisi, memerlukan
kepakaran guru ( pengajaran dan pembelajaran berkesan). Misalnya selepas tajuk
dan objektif p & p telah ditetapkan, iaitu pelajar boleh membina
dan mempersembahkan sajak dengan baik. Proses p & p seterusnya ialah
aktiviti guru dan pelajar mencipta dan mempersembahkan sajak. Tema sajak yang
hendak dibina dan dipersembahkan ialah ‘ Kebesaran Tuhan’. Aspek pedagogi yang
digunakan ialah pendekatan berfokus, kaedah mendengar pita rakaman, soal jawab,
teknik penerangan, latihan, menggunakan lembaran kerja, aplikasi kecerdasan
pelbagai, aktiviti melengkapkan lembaran peta grafik, mencipta dan
mendeklamasikan sajak. Penilaian dibuat secara formatif ( lisan, pemerhatian
dan penulisan ). Kerja pengukuhan ialah menjelaskan tema dan
persoalan-persoalan sajak yang dibina.
Set induksi
dimulakan dengan guru menyoal pelajar tajuk dan jumlah rangkap sajak yang
dipelajari pada pelajaran lepas. Perkembangan pengajaran dan pembelajaran
diteruskan dengan guru memperdengarkan pita rakaman deklamasi sajak berjudul ‘
Ibadat ‘ karya Sabar Bohari ( 1995 ) yang dideklamasikan oleh R. Azmi ( guru
dari SMK. Machang ). Beberapa soalan seperti jumlah rangkap dan unsur agama
yang terdapat dalam sajak tersebut dikemukakan kepada pelajar. Seterusnya guru mengedarkan kepada setiap
pelajar LPG ( carta pai ) yang tercatat tema
dan kunci kata untuk pembinaan setiap rangkap sajak.
Berdasarkan
kunci kata yang diberikan, pelajar diminta membina baris- baris
ayat dengan bahasa yang puitis dalam
masa tiga puluh minit. Selepas setiap petak siap dibina dengan bimbingan guru, dan sajak siap dicipta, satu dua orang
pelajar diminta mendeklamasikannya di depan kelas. Guru menegur aspek kelemahan
deklamasi pelajar seperti gaya,
nada, suara dan penghayatan jika perlu.
Kesimpulannya,
potensi dan kemahiran pelajar boleh
dipupuk dengan bimbingan guru di kelas
secara berkesan dan bijaksana. Apabila pelajar sudah terbiasa dengan teori dan
konsep kemahiran mencipta sesuatu, maka dengan mudah projek-projek tugasan lain
di luar bilik darjah yang disuruh guru, pelajar boleh laksanakan dengan baik.
Misalnya tugasan projek folio sastera yang mempunyai lima
puluh tajuk yang diberikan, telah dapat diselesaikan oleh pelajar dengan
sempurna. Kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang seperti dihuraikan inilah yang hendak dibina dan
dicapai dalam PIPP 2006-2010, iaitu modal insan sebagai penyumbang dan bukan
lagi sekadar pengguna.
Disediakan oleh,
DRS. AB. AZIZ HAJI OMAR,
Guru Cemerlang Sastera,
SMK. Sultan Ibrahim Satu,
17000 Pasir Mas, Kelantan.
No comments:
Post a Comment